Zila dan NABIL
Read Here
CINTA itu sukar dijangka. Walaupun hanya mengenali beberapa bulan tetapi kalau hati sudah suka, tidak perlu menunggu lama. Begitulah juga kisah percintaan dua bintang realiti TV popular yang bakatnya dicungkil Astro ini.
Seorang datang dari Akademi Fantasia musim keempat (AF4) dan seorang lagi tentunya Raja Lawak 2. Namun, keserasian yang wujud antara mereka membawa hubungan terjalin itu ke gerbang pertunangan dan akhirnya perkahwinan.
Memilih 9 November ini untuk mengikat pertunangan, Nur Azilah Saeron atau Zila, 20, menemui cinta sejati dengan anggota kumpulan Cham, Muhammad Nizamudin Ahmad (Along), 25. Pasangan itu mengenali dan bercinta enam bulan lalu.
Zila berkata hatinya tertarik dengan Along kerana lelaki kelahiran Muar, Johor itu suka membuat dia ketawa. Malah, lebih penting mereka ‘satu kepala’.
Menurut Zila lagi, perangai Along tidak menyebabkan dia pening kepala dan tahu bawa diri.
“Selalunya, kalau sudah nama ‘pelawak’ mesti asyik berlawak walaupun tidak kena tempat. Tetapi, Along lain kerana dia peka pada situasi. Tidaklah dia lawak merapu dan itu menyebabkan saya amat menyenangi sikapnya. Pada saya, kami sesuai.
“Jadi, apabila sudah saling menyukai buat apa hendak tunggu lama-lama. Lagipun, saya tidak mahu menjadi bahan umpatan masyarakat. Biasalah, bukan senang hendak memuaskan hati orang. Oleh itu, jalan terbaik biar kami bertunang dulu,” katanya.
Ditanya berapa tahun mereka akan bertunang, Zila berkata mungkin satu setengah tahun. Akuinya, biarpun sedar tempoh itu lama tetapi ia bergantung pada keadaan. Namun, jauh di sudut hatinya, dia sudah bersedia bergelar isteri serta hidup berumah tangga.
Berbicara mengenai majlis bersejarahnya dengan Along, gadis yang menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini berkata, sederhana saja tetapi tetap meriah.
Katanya mereka akan berbalas sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan dan tujuh (lelaki).
“Apapun, mengenai wang hantaran usahlah dibicarakan dulu. Saya lebih senang dibincangkan pada majlis itu yang akan berlangsung di kediaman keluarga di Felda Loi Selatan,” kata Zila mengakui keluarga Along datang merisik pada 12 Oktober lalu.
Menyentuh pula soal karier nyanyiannya, anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata dia masih lagi aktif menyanyi. Bahkan, kontraknya bersama Maestro pun tinggal beberapa bulan lagi. Namun, kata Zila dia tidak bercadang untuk sambung.
“Selepas tampil dengan album sulung Zila Seeron – Realiti, saya kini dalam proses mengumpul meterial untuk single terbaru. Melihatkan keadaan pasaran sekarang, saya berpendapat lebih baik tampil dengan single berbanding album penuh.
“Bagaimanapun, bukan mudah saya memperoleh lagu yang betul-betul bagus. Oleh itu, saya tidak putus asa mencari sekalipun mengambil masa lama. Bagi saya, kualiti amat penting dan saya mahu penerimaannya baik di kalangan pendengar nanti,” katanya.
Mengenai kontrak yang enggan disambung, kata Zila dia sudah bersedia untuk bergerak sendiri.
Menurutnya, sekalipun laluan agak sukar tetapi puas. Akui gadis yang tersingkir pada minggu keempat AF4 lalu, dia ingin mencuba dan sahut cabaran.
Use the form below to search the site: