SESUATU yang menarik tentang Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baru, Datuk Razali Ibrahim ialah, biarpun tiada latar belakang dunia perfileman, tetapi beliau peka terhadap bidang tersebut.
Kepekaan Ahli Parlimen Muar, Johor ini misalnya, berhubung soal semakin banyak anugerah berkaitan industri perfileman yang dianjurkan di negara ini, di mana ia dikatakan tidak selaras serta sering bertindan antara satu sama lain.
Pada Majlis Sua Industri Bersama Pengerusi Baru Finas di perbadanan itu di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini, Razali telah menyentuh perkara tersebut yang disifatkannya boleh menjejaskan prestij anugerah sedia ada.
“Kita ada banyak anugerah atau festival, tetapi pada masa sama kualiti dan prestij di dalamnya juga haruslah bermakna. Setakat ini, kita belum ada suatu penanda aras yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur ke arah itu,” katanya.
Kalaulah individu seperti Razali yang sebelum ini tidak terbabit secara langsung dalam industri perfileman dapat melihat senario itu, maka para penggiat terutamanya pihak penganjur anugerah sepatutnya lebih menyedari hakikat tersebut.
Setakat ini, Festival Filem Malaysia (FFM) dan Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) merupakan festival filem yang diiktiraf oleh kerajaan melalui Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).
Anugerah lain yang dianjurkan di negara ini termasuklah Anugerah Oskar, Anugerah Skrin dan Anugerah Sri Angkasa, di mana ia kebanyakannya turut mempertandingkan kategori-kategori yang hampir sama.
Sebagai contohnya, kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Filem Terbaik, Telefilem Terbaik, Drama Terbaik, Lakon Layar Terbaik ataupun Pengarah Terbaik biasanya akan dipertandingkan pada setiap festival filem.
Malah, pada masa sama terdapat banyak lagi anugerah termasuklah membabitkan genre telefilem, drama dan muzik turut dianjurkan sama ada oleh persatuan-persatuan artis mahu pun stesen-stesen radio dan televisyen (TV) tempatan.
Senario itu sedikit sebanyak telah memberi kecelaruan bukan sahaja kepada para pengamal industri hiburan yang terdiri daripada bidang perfileman, muzik, drama, teater dan sebagainya.
Para peminat juga seolah-olah sudah tidak tahu lagi untuk membezakan, pemenang mana satukah yang layak diberi pengiktirafan sebenar?
Misalnya, ada filem yang sama muncul pemenang kategori Filem Terbaik pada sesuatu festival, namun yang agak menghairankan ia tewas pula kepada filem lain, tetapi pada anugerah yang lain.
Pada masa sama, peranan dan kredibiliti panel juri yang diberi tanggungjawab mengadili sesebuah anugerah atau festival juga akan dipersoalkan apabila berlakunya ketidakseragaman mengangkat karya-karya pada anugerah-anugerah yang berbeza-beza.
Perkara itu harus difikirkan semula terutamanya oleh persatuan-persatuan artis seperti Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang menaungi 11 persatuan artis tempatan dan juga stesen-stesen TV dan radio yang lain.
Finas mungkin serba salah apabila memberi bantuan kewangan atau menggalakkan persatuan-persatuan artis menganjurkan lebih banyak anugerah kerana mereka tidak mahu timbulnya kecelaruan seperti itu.
Inisiatif perbadanan di bawah KPKKW itu yang secara ihsan memberi bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM20,000 setahun kepada persatuan-persatuan artis di negara ini nampaknya telah diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.
Sebabnya, ada di kalangan persatuan artis yang seperti tidak tahu bersyukur dan mengharapkan bantuan yang lebih daripada jumlah bajet itu dengan menganjurkan festival yang dikatakan hampir sama anugerahnya seperti FFM.
Sehubungan itu, Finas seharusnya berbincang dengan kesemua persatuan artis termasuklah stesen-stesen TV dan radio bagi menyelaraskan anugerah atau festival yang akan dianjurkan pada masa depan.
Jika stesen TV mahu menganjurkan anugerah, biarlah ia lebih fokus kepada anugerah-anugerah yang berkaitan drama, iklan, telefilem, majalah dan dokumentari, sesuai dengan medium penyiaran mereka.
Sementara, persatuan seperti Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) pula memang selayaknya memberi fokus kepada anugerah yang berkaitan industri perfileman, contohnya menerusi FFM atau KLIFF.
Begitu juga dengan stesen-stesen radio yang sepatutnya berpakat dan menumpukan kepada industri muzik kerana mereka tentunya lebih dekat dan sesuai dengan bidang tersebut.
Justeru, memang ada benarnya pandangan ringkas Pengerusi baru Finas itu berhubung semakin banyaknya anugerah dan festival yang wujud dalam dunia hiburan tempatan telah menimbulkan kecelaruan sejak kebelakangan ini.
Industri hiburan kita yang tidak sebesar mana ini memerlukan para penggiatnya duduk berbincang bagi mengagih-agihkan anugerah-anugerah yang sesuai mengikut medium masing-masing.
Ia demi memastikan supaya anugerah-anugerah yang akan diberikan kelak bukan sahaja lebih selaras penganugerahannya, tetapi juga bagi mengelakkan daripada dipertikaikan oleh para peminat pada masa depan.
