CAMELIA Penyanyi jelita kelahiran Bumi Kenyalang

LEBIH 10 tahun bergelar anak seni, penyanyi jelita kelahiran Bumi Kenyalang, Camelia masih menganggap perjalanan kerjaya seninya masih jauh.

Malah, kata Camelia, 34, atau atau nama sebenarnya Dayang Nur Camelia Abang Khalid yang turut dikenali sebagai pengacara, model iklan dan ikon fesyen ini mengakui masih banyak ilmu perlu ditimbanya untuk menjadi penyanyi yang bagus dan disegani pada masa depan.

“Setiap hari saya belajar perkara baru dalam hidup. Saya juga memberi fokus aspek vokal dan persembahan untuk memantapkan prestasi sedia ada. Tapi saya tidak mengambil guru vokal kerana berlatih menyanyi di rumah setiap kali ada masa terluang.

“Pada masa sama, saya masih memenuhi undangan persembahan makan malam untuk korporat dan persendirian.

“Apabila banyak membuat persembahan pentas, sedikit sebanyak ia membaiki persembahan dan keyakinan diri ketika berada di pentas dan berkomunikasi dengan penonton,” katanya.

Lebih bermakna, kata Camelia atau lebih mesra dengan panggilan Mimie dia juga sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada komposer terkenal M Nasir untuk mendapatkan lagu lama dendangan komposer itu, Sentuhan Listrikmu menjadi single terbarunya nanti.

“Kami sudah berbincang untuk mendapatkan lagu itu dan ia akan diberi nafas baru sebagai single terbaru saya. Terus terang, saya memang sudah lama mengagumi karyanya dan baru sekarang impian untuk mendapatkan lagunya itu kesampaian.

“Ia memang peluang keemasan bagi saya. Mengikut perancangan, proses rakaman single ini juga dijangka siap tahun depan,” katanya.

Camelia ditemui Rap ketika menjayakan sesi fotografi eksklusif di kediaman mewahnya yang berkonsep Neo Barouque atau moden klasik di Taman Maluri, Cheras, baru-baru ini.

Ketibaan wartawan dan jurugambar Rap juga disambut begitu mesra sekali oleh Camelia dan pengurusnya, Magie Abang Saufi termasuk dijamu dengan laksa Sarawak yang lazat juga resepi istimewa ibunya.

Ketika ditanya mengenai hiasan dalam kediaman mewahnya itu, bekas pengacara Casa Impian ini mengakui dia menghias kediaman itu mengikut cita rasanya sendiri.

“Semua hiasan dan susun atur perabot dalam rumah ini mengikut kreativiti sendiri. Saya memang suka menghias rumah sebab itulah saya terima tawaran mengacara program Casa Impian dulu.

“Kalau ada tawaran untuk buat program hiasan dalaman selepas ini, saya akan tengok dulu kandungan program berkenaan sebelum mempertimbangkannya,” katanya. Mengenai pelantikannya sebagai duta produk Brand’s Inner Shine Pati Prun, Camelia berkata, dia mengikat kontrak selama dua tahun sebagai duta produk berkenaan sejak 1 November lalu.

“Sebenarnya, saya sudah mengamalkan produk ini sejak Ramadan lalu selepas diperkenalkan ibu yang juga mengamalkan produk ini. Selain ibu, anggota keluarga lain juga menyukai produk ini.

“Justeru, apabila ditawarkan menjadi duta produk ini saya tidak teragak-agak menerimanya. Ibu juga gembira dapat tahu saya ditawarkan menjadi duta produk ini. Sebagai duta, sudah pasti saya perlu mencuba keberkesanan produk ini terlebih dulu sebelum meyakinkan orang lain,” katanya.

Camelia berkata, produk pati prun itu bagus kerana ia membersihkan toksin dalam badan dan membekalkan vitamin C serta fiber untuk tubuh.

Pelantikannya sebagai duta dan pelancaran lagu tema produk juga berlangsung di Carat Club, Pavillion, Kuala Lumpur, 13 November lalu.

“Saya minum pati prun ini sekali sehari iaitu pada waktu malam sebelum tidur. Sejak mengamalkan produk ini, saya lebih sihat dan bertenaga kerana saya sentiasa sibuk setiap hari. Sebagai duta, saya juga terbabit mempromosikan produk ini kepada kepada orang ramai termasuk sesi bertemu peminat,” katanya.

Camelia berkata, selain menjadi duta, dia juga menyanyikan lagu tema produk itu yang juga single berjudul Bukan Sekadar Luaran ciptaan Hadi Hassan/Habsah Hassan.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan dua komposer berkenaan. Lagu itu sudah siap tidak sampai sebulan dan iklan juga sudah disiarkan di televisyen dua minggu lalu. “Saya juga tidak ada masalah sepanjang proses rakaman single berkenaan. Kali pertama dengar lagu ini saya sudah suka dan seronok. Proses rakaman single ini hanya membabitkan tempoh sejam di studio,” katanya .

Selain duta produk Brand’s Inner Shine Pati Prun, Camelia juga dilantik sebagai duta Ara Hill selama tiga tahun sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, kota Paris, London dan Milan bagaikan sudah menjadi rumah kedua buat Camelia. Boleh dikatakan, Camelia berulang-alik ke sana saban tahun untuk menghadiri pelbagai acara termasuk pertunjukan fesyen pereka ternama dunia.

Apabila ada peluang, Camelia turut membuat persembahan di tempat eksklusif sekali gus mempromosikan albumnya di sana.

“Saya baru kembali daripada menghadiri majlis pertunjukkan fesyen anjuran Christian Dior di Paris pada Julai lalu. Saya berada di sana selama sebulan. Banyak ilmu yang ditimba sepanjang berada di sana. Saya juga dapat idea yang lebih segar apabila kembali ke tanah air terutama dalam dunia fesyen,” katanya.

Tidak lengkap, jika tidak menyentuh kehidupan peribadi, Camelia yang nampaknya belum bernasib baik dalam percintaan setakat ini.

Selain pernah mengalami keruntuhan rumah tangga sebelum ini, hubungan cinta penyanyi jelita ini dengan anak seorang kenamaan juga dikatakan sudah putus di tengah jalan.

Sekalipun diasak Rap dengan soalan berbaur peribadi seperti itu, Camelia tetap tenang dan bersikap profesional.

“Terus terang, saya tidak mencari cinta kerana saya yakin jodoh itu ketentuan Tuhan. Saya juga tidak serik untuk menjalin hubungan cinta baru sekalipun pernah mengalami keruntuhan rumah tangga. Bagi saya, apa yang berlaku dulu sudah tinggal sejarah dan sekarang ingin memandang ke hadapan.

“Sebagai wanita, saya juga ingin berkahwin dan mempunyai anak sendiri seperti orang lain. Tapi, apakan daya, masa saya belum sampai untuk itu. Dalam soal jodoh, saya tidak memandang pada kebendaan kerana bagi saya kemewahan itu tidak menjamin kebahagiaan seseorang.

“Apapun, hidup saya tidak sunyi kerana sentiasa dikelilingi keluarga dan mereka yang rapat serta menyayangi sepenuh hati. Apabila sibuk dengan kerja dan aktiviti, segala kekosongan itu terisi,” katanya.

PROFIL CAMELIA

NAMA SEBENAR: Dayang Nur Camelia Abang Khalid

TARIKH LAHIR: 20 Jun 1974

ASAL: Kuching, Sarawak

PROFESION: Penyanyi, model iklan, ikon fesyen, pengacara dan duta produk

ALBUM: Camelia (1997), I,II,III (1998), Memori, Mimpi & Kompilasi

(1999), Untukmu (2003) dan Mysticam (2007)

IKLAN/PRODUK: L’oreal, Epson, Nescafe, Ara Hill (Sime Darby Property), Brand’s Inner Shine Pati Prun

PROGRAM TV: Casa Impian (Astro Ria)

PENCAPAIAN: Artis Baru Terbaik/Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Industri Muzik Malaysia 1998)

guess.jpg

This entry was posted in Artis, Camelia. Bookmark the permalink.

Leave a Reply