Candi Preah Vihear dan Angkor Wat
Read Here
ADA beberapa tapak warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco), pernah penulis lawati sebelum ini seperti Candi Borobodour di Jogjakarta (Indonesia), Tembok Besar China (China), Petra (Jordan) dan London Tower (United Kingdom).
Justeru, apabila ditawarkan melawat satu lagi tapak warisan dunia Unesco iaitu Candi Preah Vihear dan Angkor Wat di Seam Reap, Kemboja, ia sukar ditolak.
Tawaran Management Science University (MSU) ketika mengikuti ekspedisi kemanusiaan di Kemboja baru-baru ini memberi pengalaman berharga melihat dua candi purba yang dulu dikenali hanya melalui pembacaan.
Keletihan menempuh pengalaman selama hampir lima jam dari Phenom Penh bagaikan hilang sebaik saja kaki melewati Seam Reap. Bandar purba moden ini meskipun tidak dihiasi bangunan pencakar langit masih mempunyai daya tarikannya sendiri.
Taburan pelbagai hotel daripada bajet kepada lima bintang membuktikan Seam Reap pesat membangun dan menjadi tumpuan pelancongan dunia.
Dihiasi pula dengan kebudayaan mesra dan ramah yang menjadi tradisi masyarakat Kemboja, Seam Reap menjanjikan pengalaman baru kepada pelancong.
Kerana kepenatan, aktiviti menjelajah tapak warisan dunia terpaksa diadakan keesokan hari. Meskipun tinggal di hotel bajet, kemudahan serba lengkap dan selesa menjadikan tidur malam kami lena.
Bagaimanapun, jika anda seorang yang gemarkan aktiviti malam, Seam Reap bukan tempatnya. Berbanding negara jiran Kemboja, Thailand yang terkenal dengan kehidupan malam penuh keseronokan, bandar Seam Reap sepi selepas jam 10 malam.
Awal pagi, kami bersiap sedia. Pemandu pelancong, John, begitu informatif dan banyak memberi maklumat sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira- kira 20 minit dari hotel.
Sebaik tiba di pintu utama, pengunjung diminta berbaris untuk mengambil gambar. Ia akan dicetak pada tiket masuk bagi membolehkan pihak pengurusan mengetahui jumlah pelancong memasuki tapak itu sehari.
“Angkor Wat adalah tapak warisan dunia, justeru jumlah pelancong akan dihadkan. Ini bagi memastikan keasliannya tidak musnah.
“Pada masa sama, ia bagi tujuan keselamatan. Jika ada sesuatu berlaku, pihak pengurusan sudah mempunyai rekod,” katanya.
Selesai semua urusan, kami terus dibawa melawat Candi Preah Vihear. Perjalanan berjalan kaki ke tapak itu yang mengambil masa 15 minit tidak memenatkan kerana disajikan pemandangan alam semula jadi. Ditambah hiburan daripada alatan muzik tradisional yang dimainkan warga Kemboja cacat mangsa peperangan di kiri kanan jalan.
Candi Preah Vihear dikatakan berusia ribuan tahun. Meskipun banyak runtuhan, binaannya masih kukuh dengan pelbagai ukiran kuno.
Terdapat sebatang pokok sebesar kira-kira sepuluh pemeluk orang dewasa menjulang tinggi di tengah-tengah binaan candi.
Di sini juga filem antarabangsa, Lara Croft Tomb Raider lakonan Angelina Jolie menjalani penggambaran beberapa tahun lalu.
Seterusnya, kami ke Angkor Wat. Sebaik saja menjejakkan kaki di lokasi Angkor terkenal dunia itu, mata terpegun melihat keindahannya yang dikelilingi tasik dan panorama menghijau.
Malah, struktur bangunannya teguh bagaikan tidak terasa Angkor itu dibina pada kurun ke 12.
Menurut sejarah, ia dibangunkan Raja Suryavarman II selama 30 tahun. Pembinaannya menurut kepercayaan Hindu yang meletakkan gunung Meru sebagai pusat dunia dan menjadi tempat tinggal dewa dewi Hindu.
Menara tengah Angkor Wat adalah menara tertinggi dan menjadi menara utama, kawasannya dikelilingi dinding dan terusan yang mewakili lautan serta gunung yang mengelilingi dunia.
Manakala jalan masuk utama ke Angkor Wat sepanjang setengah kilometer dihiasi susur pemegang tangan dan diapit laut buatan manusia yang dikenali sebagai Barays.
Jalan masuk ke Angkor Wat melalui pintu gerbang, mewakili jambatan pelangi yang menyambungkan antara alam dunia dengan alam dewa -dewa.
Angkor Wat berada dalam keadaan baik berbanding dengan lain kerana ditukar menjadi kuil Buddha dan diguna secara berterusan apabila kepercayaan itu menggantikan kepercayaan Hindu pada abad ke-13. Kuil ini juga pernah dijajah Siam pada 1431.
“Rakyat Kemboja berbangga memiliki Angkor Wat. Kami pernah mengharungi zaman sukar waktu peperangan dulu, namun semua memori pahit itu seakan lenyap apabila dunia mengetahui negara kami memiliki khazanah tiada tandingan.
“Malah rakyat Kemboja menganggap Angkor Wat sebagai simbol kekuatan jiwa dan rohani yang tidak boleh diruntuhkan dengan mudah,” kata John.
Mengunjungi Angkor Wat juga tidak bermakna pengunjung hanya berpeluang melihat candi, malah boleh merasai pengalaman menaiki gajah merentasi perjalanan hutan.
Bagi yang pertama kali, sudah tentu rasa gayat mengikut alunan badan gajah apatah lagi ketika menuruni denai curam malah ada yang terjerit- jerit sepanjang perjalanan.
Menghabiskan sehari suntuk di Angkor Wat memberi pengalaman berharga terutama bagi generasi muda seperti penulis, nilai sejarah dan tamadun manusia boleh dinilai.
Bagaimanapun, sepanjang perjalanan, kami rimas diekori peminta sedekah dan penjual. Itulah senario biasa di Kemboja.

Use the form below to search the site: