PELUANG melihat gajah secara dekat, selain apa yang sering dilihat di zoo adalah pengalaman paling indah bagi mereka yang pertama kali melihat habitat haiwan yang besar lagi gagah itu.
Bagi pengguna Lebuhraya Gua Musang-Kuala Berang, Pusat Santuari Gajah Sungai Ketiar, Terengganu adalah persinggahan terbaik untuk berehat sambil menyaksikan haiwan ini dalam habitat semula jadinya.
Santuari ini adalah pusat kedua selepas Kuala Gandah, Lancang, Pahang.
Ketika mula dibuka Januari tahun ini, ia bertujuan menempatkan dua gajah yang diselamatkan iaitu Suria dan Chalil.
Bagaimanapun, ia sudah popular di kalangan pelancong tempatan apabila mencatatkan lebih 15,000 pengunjung. Kini, kawasan itu dikelilingi hutan hijau sekali gus menarik kunjungan ramai pencinta alam.
Selain berpeluang merakamkan kenangan bersama gajah, pengunjung dapat menimba pengalaman berkaitan habitat haiwan itu.
Pengunjung dapat melihat Suria dan Chalil yang dijinakkan ini menjalani latihan dengan bantuan lima kakitangan santuari antara jam 9 dan 11 pagi setiap hari.
Tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung untuk masuk ke pusat santuari ini.
Ketua Pusat Santuari Gajah Sungai Ketiar, Zulkifli Ayob, berkata gajah yang dinamakan Chalil diselamatkan selepas terperangkap di perigi Felda dekat Gua Musang, manakala Suria dijumpai tersesat di satu kawasan di Permaisuri, Terengganu.
“Selain memberikan peluang pengunjung melihat gajah, santuari terbabit turut berperanan memberikan pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat supaya menyelamatkan hidupan terbabit daripada pupus”.
Menurutnya, berdasarkan kehadiran pengunjung yang datang ke santuari terbabit, ia memberikan peluang yang cerah dan berpotensi untuk maju serta menjadi salah satu pusat pelancongan sekiranya diberikan promosi secara meluas.
Yang nyata, Pusat Santuari Gajah Sungai Ketiar bukan saja menjadi tempat pemuliharaan haiwan berkenaan, tetapi turut memberi kesedaran kepada masyarakat kepada pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar
