DEFINISI lagu puisi memberikan makna yang mendalam. Bukan hanya hiburan semata-mata, penyampaian lagu menggunakan lirik daripada puisi suatu yang indah untuk dihayati.
Namun, jarang sebenarnya lagu puisi dibawa ke pertandingan lagu. Kebanyakan lagu yang dipertandingkan hanya tertumpu pada aspek populariti berbanding pengisian mesej yang terkandung dalam sesebuah lagu.
Menyedari kepentingan lagu puisi perlu diberi perhatian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Sayembara Mencipta Lagu Puisi.
Bermatlamat memperluas pengetahuan khalayak dengan lagu puisi di samping menimbulkan kesan estetik puisi pada lagu, minat serta apresiasi masyarakat, penganjuran acara ini juga mampu menarik perhatian komposer untuk menghasilkan lagu puisi bermutu.
Menariknya, acara ini yang mendapat kerjasama RTM dianjurkan buat kali kesembilan dan terus meraih sambutan hebat di kalangan komposer dan penulis puisi. Sebanyak 10 lagu puisi dipertandingkan pada peringkat akhir yang diadakan di Auditorium DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berbeza dengan penganjuran tahun sebelumnya, acara kali ini secara keseluruhan berjaya menarik perhatian 68 lagu puisi gubahan 44 komposer. Pada peringkat akhir ini, komposer turut mempertaruhkan lagu mereka untuk disampaikan penyanyi popular antaranya Rozita Izlyn, Widy (kumpulan Gerhana Ska Cinta), Roy, Sarah Raissuddin dan Zamani Slam.
Selain sambutan menggalakkan daripada komposer dan penulis puisi untuk menyertai pertandingan ini, sambutan penonton pada malam itu juga tidak mengecewakan. Ruang Auditorium DBP dipenuhi penonton hingga dua layar putih yang menggunakan projektor ditayangkan di luar.
Menghayati setiap lagu puisi yang dipersembahkan, masing-masing mempunyai kekuatan sendiri dengan kisah penceritaan dan mesej di sebaliknya. Lebih menghiburkan, persembahan mereka disampaikan dengan cara tersendiri mengikut susunan lagu yang digubah komposer.
Bagaimanapun, rezeki memihak kepada Badrul Hisham Abd Hamid yang bekerjasama dengan Mirza Eleno dan Roy sebagai penyanyi. Lagu Menanti Ruang Waktu yang pernah disampaikan penyair Sabar Bohari menambat hati lima juri profesional untuk memilih lagu berkenaan menjadi juara.
Setiap lagu puisi yang dipertandingkan diadili lima juri profesional iaitu Mohd Azam Sulong atau Azam Dungun, Helen Yap, Syafinaz Selamat, Zullkeply Mohamad dan Tuan Syed Indera Syed Omar (Siso).
Atas kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM8,000. Merakam kejayaan bermakna itu, Badrul menyatakan ia kejayaan kali kedua lagu puisinya menerusi penyertaan keempat dalam pertandingan sama.
Tahun lalu, Badrul berjaya menerusi puisi berjudul Suatu Senja Datang Keinsafan. Katanya, kejayaan kedua ini adalah kejayaan bersama antara penulis puisi, komposer dan penyanyi.
“Puisi mempunyai makna yang sangat luas. Lirik dalam lagu puisi ini umpamanya mengisahkan manusia yang diberi peluang dalam kehidupan dan suatu ketika segalanya cuba lenyap dari pandangan.
“Namun, kejayaan lagu ini bukan hanya pada saya seorang. Malah, saya rasa lagu ini mengangkat kredibiliti Roy sebagai penyanyi.
“Roy berjaya membawa lagu ini dengan baik. Bukan semua penyanyi mampu membawa lagu ini dan Roy mempunyai kelebihan.
“Pada saya, memang sepatutnya pertandingan ini diadakan setiap tahun dan diteruskan pada masa akan datang. Ini memberi peluang ramai komposer baru dan penulis puisi untuk turut serta.
“Di peringkat akhir, hanya 10 lagu dipertandingkan dan diketahui khalayak. Namun, jika ia diteruskan saya percaya lebih banyak lagu puisi dapat dicipta.
“Menerusi penciptaan lagu puisi, ia memberi pemahaman kepada masyarakat untuk mengenali lagu puisi. Di sebalik hiburan, terselit keindahan dalam mesej yang ingin disampaikan,” katanya.
Bagi Roy pula, lagu puisi mempunyai kekuatan berbeza yang memberi peluang kepada pendengar untuk menghayati keindahan lirik yang ingin disampaikan. Walaupun hanya menyanyi dia perlu memahami lagu berkenaan dengan mendalam untuk mendapat penghayatan menyanyi dengan baik.
“Lagu ini mencabar kerana ia memerlukan saya menyanyi dalam pernafasan panjang. Ketika menyanyi saya juga perlu mengikut tempo muzik agar persembahan berjaya,” katanya.
Pemenang tempat kedua pula menerusi lagu Menanti ciptaan Nornazalina Abdullah dibuat berdasarkan syair yang ditulis Salmiah Ismail. Lagu berkenaan yang disampaikan Widy meraih hadiah wang tunai RM6,000.
Mengulas kemenangan itu, Nornazalina berkata pertandingan berkenaan belum mendapat perhatian meluas dan dijangka tambah meriah menerusi penyertaan lebih ramai komposer serta penulis puisi pada masa akan datang.
Katanya, pertandingan sedemikian sepatutnya dihebahkan kepada khalayak agar sambutan bertambah. Sebagai komposer, dia percaya masih ramai komposer seangkatannya yang mahu menggilap bakat di pentas pertandingan. Atas minat mendalam menjadi komposer terhadap lagu puisi, dia juga kini menyiapkan beberapa lagu puisi lain.
Karya kedua Salmiah berjudul Sepasang Kekasih meraih tempat ketiga dengan membawa wang tunai RM5,000. Lagu berkenaan dicipta Norakmal Kamarulzaman dan disampaikan Sarah Raisuddin berduet dengan Izzad Izzuddin.
Menyerikan pertandingan pada malam itu, Jamal Abdillah dan Sabihah A Wahid tampil sebagai penyanyi jemputan. Acara juga berjalan lancar apabila Abby Nadzri dan Izwan Pilus digandingkan selaku pengacara
