Pengerusi Kaukus Integriti dan Kebebasan Kehakiman dan Ahli Parlimen, Karpal Singh, menggesa Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi meletakkan jawatan secara terhormat dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.
Jika gagal, beliau yang juga Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor akan mengemukakan usul terhadap Zaki mengikut Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan.
Karpal berkata, penjelasan Zaki mengenai kenyataannya yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini bahawa beliau pernah merasuah kakitangan mahkamah ketika berkhidmat sebagai peguam adalah pembohongan dan mengelirukan rakyat.
Sambil menyifatkan tindakan itu mencerminkan integriti yang rendah, beliau berkata, Zaki tidak layak memegang jawatan tinggi itu di mana kesinambungan jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara memalukan kehakiman.
“Tan Sri Zaki tidak boleh dan tidak harus menafikan hakikat beliau ada menyebut kata-kata berkenaan. Ada rakaman audio terhadap apa yang diperkatakannya di Kuching itu,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan penjelasan Zaki mengenai kenyataan terdahulunya itu dengan menegaskan beliau tidak pernah memberi atau menerima rasuah.
Selain itu, Karpal meminta Kelab Penyokong Barisan Nasional memberikannya senarai nama mereka yang berminat menyertai kaukus berkenaan.
