ahkamah Rendah Syariah di sini mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap ke atas vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Mohd. Radhi Razali sekiranya dia masih tidak menghadiri prosiding tuntutan fasakh yang dikemukakan isterinya, Shazlin Sharif.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad menyatakan perkara tersebut ketika beliau menangguhkan prosiding sebutan kes buat kali ketiga hari ini.
Mahkamah menangguhkan kes bagi memberi peluang kepada Radhi atau yang lebih dikenali sebagai Radhi OAG yang dinamakan sebagai defendan mendengar tuntutan isterinya pada 23 Disember depan.
Shazlin selaku plaintif disoal hakim sama ada dia telah mematuhi prosedur yang ditetapkan iaitu memfailkan afidavit penyampaian saman sebagai bukti defendan sudah menerima dokumen tersebut.
‘‘Jika sudah diserahkan, defendan perlu hadir. Jika tidak, mahkamah boleh keluarkan waran tangkap terhadapnya,’’ kata hakim syarie tersebut.
Sementara itu, Shazlin yang berpakaian serba putih ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Radhi sudah dimaklumkan semalam bahawa kes berkenaan akan disebut pagi ini di mahkamah.
Namun, dakwa Shazlin, suaminya enggan hadir atas alasan tiada kes.
Dia yang tidak diwakili peguam mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor iaitu memohon cerai secara fasakh.
Plaintif bagaimanapun tidak ingat tarikh dia memfailkan permohonan tersebut, tetapi menurutnya, lebih kurang dua bulan lalu.
Permohonan itu telah disampaikan kepada Radhi namun suaminya enggan menandatangani dokumen tersebut.
Dalam pada itu, Shazlin turut mendakwa yang dia tidak ingat bila Radhi melafazkan cerai terhadapnya.
Ditanya sama ada permohonan yang difailkan itu berhubung permohonan perceraian ataupun mendapatkan pengesahan lafaz cerai yang telah dibuat, plaintif memberitahu, ia merangkumi kedua-duanya.
Menyentuh mengenai lafaz cerai yang didakwa dibuat oleh Radhi, Shazlin memberitahu: ‘‘Dia cakap mulut dan bukannya SMS (khidmat pesanan ringkas). Ketika itu di rumah, kami duduk sekali tetapi saya pernah membuat perjanjian dengannya. Kalau dia tidak berhenti apa yang dia buat, jadi saya akan tinggalkan dia.’’
Ketika ditanya apakah reaksi suaminya, Shazlin hanya menjawab: ‘‘It‘s personal’’.
Shazlin yang juga pelakon drama dan bekas anggota kumpulan Girls In Music (GIM) telah melangsungkan perkahwinan dengan Radhi pada 1 Januari 2005 setelah 12 tahun berkenalan.
Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahayamata lelaki, Mohd. Rifdhi Muslim yang kini berusia tiga tahun.
