Segelintir kaki sabung ayam di negeri ini bukan saja menyeksa haiwan itu dengan aktiviti sabung ayam, tetapi turut menambah seksa dengan memasang sejenis susuk pada bahagian badannya bagi memastikan ia menang dalam setiap pertaruhan.
Difahamkan, mereka memasang sejenis kayu dikenali sebagai ‘teras keluat’ pada badan ayam sabung yang juga didakwa sama fungsinya dengan susuk yang ditanam pada badan manusia.
Kayu itu akan diasah sehingga tajam seperti jarum serta dipuja menggunakan jampi tertentu sebelum ditanam pada bahagian badan ayam sabung terbabit.
Malah, golongan ini juga akan meletakkan sejenis getah dari pokok ipoh pada taji ayam sabung itu yang berfungsi sebagai racun bagi memastikan kemenangan diperoleh dalam setiap pertaruhan.
Bekas kaki sabung ayam, Omar Ishak, 50, berkata pelbagai taktik digunakan bagi memastikan kejayaan mudah setiap kali bertaruh.
“Orang baru dalam bidang ini mungkin tidak tahu mengenai susuk untuk ayam tetapi bagi orang lama perkara ini biasa saja. Racun-meracun ini bukanlah suatu perkara asing.
“Setiap orang mahukan kemenangan terutama dalam pertaruhan besar. Istilah menang kalah adalah adat dalam pertaruhan sebenarnya tidak wujud dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kuala Kedah, dekat sini, semalam.
Menurutnya, selain memakaikan susuk kepada ayam sabung, mereka juga membasuhnya menggunakan air rebusan dari tumbuhan herba seperti akar seruntun, sintok, daun pakan termasuk getah gajus, daun manggis, limau dan beberapa herba bagi menjadikan kulit ayam berkenaan tidak tembus setiap kali ditikam ayam sabung lawan.
“Tempoh membasuh ayam itu sekurang-kurangnya dalam tiga minggu sebelum ia dipertaruhkan,” katanya.
Sementara itu, pengamal perubatan alternatif Islam, Halim Yaakob, berkata teras keluat mempunyai pelbagai fungsi dan ia antara spesies pokok yang sukar ditemui.
“Dalam perubatan tradisional, teras keluat diguna untuk membangkitkan tenaga dalaman individu yang sakit tetapi caranya tidak sama digunakan kaki ayam terbabit.
“Ia memang berkesan tetapi saya yakin bahawa kaki sabung itu melakukan pemujaan dalam memasukkan kayu itu ke dalam badan ayam sabung itu,” katanya.
Menurutnya, segelintir penyabung ayam akan memuja ketika membasuh ayam bagi membangkitkan semangat ayam terutama sehari sebelum pertaruhan.
Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata, kepercayaan golongan terbabit yang mendakwa pemakaian kayu yang membawa kepada kebal adalah perbuatan mengarut.
“Perbuatan memuja sebelum memasukkan kayu berkenaan ke dalam anggota badan ayam adalah syirik dan dilaknat Allah. Sudahlah mereka menyeksa binatang setiap kali bersabung, mereka juga menjadi hamba kepada syaitan dengan melakukan pertaruhan yang ternyata bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Beliau juga yang mengulas dakwaan segelintir kaki sabung ayam mendakwa hanya menjadikan aktiviti itu sebagai hobi adalah suatu yang membuang masa.
“Dalam Islam, lebih banyak hobi yang dibenarkan yang membawa keuntungan kepada diri, keluarga, bangsa dan negara. Bertaubatlah sebelum terlambat,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan tindakan seorang lelaki berusia 40-an yang menjadikan kawasan hutan di Bukit Perak, Sungai Tiang, Pendang sebagai gelanggang khas sabung ayam atau lebih dikenali sebagai ‘bond ayam’, sejak beberapa tahun lalu.
