MENYELAK penghias muka depan Rap (Rentak Artis Popular) pasti ramai tertanya mengapa pelakon meningkat naik, Haryati Hamzah (Yatt), 28, bergambar dalam dua ‘mood’ yang berbeza.
Manis bergaun putih, simbolik kepada perwatakan Yatt yang sebenar kerana di luar gelanggang lakonan, gadis cantik ini sememangnya cukup disenangi dengan sikap peramah serta berbudi bahasa.
Sementara gaun merah dan hitam yang mengubah penampilan Yatt menjadi lebih dramatik dengan perwatakan antagonis umpama menjelaskan keghairahannya terhadap bidang lakonan ketika ini yang lebih menjurus memilih watak hitam.
Pelik tapi itulah hakikatnya… Jika kebanyakan pelakon wanita lebih senang membawakan watak baik untuk kelihatan mulia pada pandangan masyarakat, Yatt pula sebaliknya dan rela dibenci penonton asalkan dia mampu menguji keberkesanan lakonan.
“Saya memang mengharapkan kebencian penonton kerana jika mereka benci melihat watak saya bermakna lakonan saya berjaya.
“Orang selalu kata muka saya ‘baby face’, tidak sesuai bawa watak jahat. Justeru, sebagai pelakon saya mahu pecahkan pendapat itu dan buktikan tanggapan mereka tidak semestinya tepat.
“Seperkara lagi yang sering saya perhatikan sejak dulu dalam kebanyakan drama dan filem, watak jahat sering dikaitkan dengan mereka yang kurang kacak dan cantik. Manakala si tampan dan jelita digambarkan sebaik-baik manusia.
“Sedangkan di dunia ini Yang Maha Esa menjadikan manusia ada baik dan buruknya selain mempunyai kelebihan serta kekurangan.
“Malah, ramai juga yang berwajah sederhana memiliki keperibadian lebih mulia daripada mereka yang hanya bersandarkan kecantikan luaran,” katanya.
Keghairahan Yatt untuk melakonkan watak jahat bermula ketika kali pertama membintangi drama, Rencong. Kemudian kemampuannya terus diuji menerusi telemovie, Madu Cinta.
Namun, bagi Yatt semuanya belum mampu memberi kepuasan maksimum kepadanya apatah lagi tempoh untuk sebuah telemovie terlalu singkat.
Justeru, peluang yang ditawarkan pengarah muda dan semakin meningkat naik, Feroz Khan untuk membintangi drama 26 episod, Issandre, dengan menyerahkan watak antagonis kepadanya, sesuatu yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Yatt.
“Sejak membintangi drama Madu Cinta, saya semakin ghairah untuk membawakan watak jahat bahkan sekarang ini tengah dalam ‘mood’ untuk melakonkan watak sedemikian.
“Menerusi Issandre, saya sebagai Danisha mempunyai dua perwatakan. Depan keluarga dia berlagak baik namun di belakang dia perancang untuk menjatuhkan kakaknya, Issandre (Eira Syazira).
“Danisha tidak menyukai kakaknya kerana mereka berlainan ibu selain Issandre sering mendapat perhatian lebih daripada bapa mereka. Dia melakukan pelbagai helah sehingga mendatangkan banyak masalah namun, akhirnya Issandre juga yang dipersalahkan.
“Saya sukakan watak ini, walaupun Danisha tidaklah sepandai mana dalam pelajaran namun, dalam mengatur muslihat dia cukup pantas. Pastinya lebih puas dapat melakonkan watak seperti itu dalam siri 26 episod, yang tempohnya panjang,” katanya.
Selain Issandre, Amanah Karmila juga sebuah lagi drama 26 episod menampilkan Yatt dengan watak antagonis sebagai Sally. Bagaimanapun, peranan itu sedikit berlainan kerana dia melakonkan watak wanita cantik yang angkuh dan sombong.
Mengimbas semula lakonannya menerusi Madu Cinta (belum ditayangkan), Yatt memegang watak Mastura seorang rakan yang mencemburui teman baiknya sejak kecil, Atirah (lakonan Shira Iskandar).
“Atirah yang serba-serbi lebih beruntung daripadanya. Perasaan dengki terus menyelinap sehinggalah mereka remaja. Tatkala Atirah sedang berbahagia pada majlis pertunangan, Mastura menerima berita buruk apabila ditinggalkan kekasih.
“Tidak lama kemudian, Atirah menerima tawaran melanjutkan pengajian di luar negara dan ketika itulah Mastura mengambil kesempatan memerangkap Hisham.
“Mastura menuduh Hisham menidurinya sehingga Atirah menasihati Hisham supaya bertanggungjawab hingga akhirnya mereka berkahwin. Malangnya, Hisham tidak pernah mahu menyentuh Mastura lalu mendesaknya membomohkan Hisham,” katanya.
Ditanya, apakah dia tidak bimbang kesan daripada keberkesanan lakonannya akan membuatkan penonton benci kepadanya selain dilabel pelakon jahat, gadis persis penghibur terkenal, Kris Dayanti ini, ternyata tidak bimbang dengan percaturannya.
“Taklah, saya tidak bimbang langsung kerana yakin penonton sekarang sudah pandai menilai dan tahu apa yang dipaparkan dalam drama mahupun filem hanyalah lakonan semata-mata.
“Saya yakin jika seorang pelakon itu pandai membawa diri mereka ketika berhadapan dengan peminat dan masyarakat, selain tahu menjaga batas pergaulan serta menghargai maruah diri, mereka tetap disanjung sebagai pelakon yang dihormati,” katanya.
Selain tawaran berlakon drama yang melimpah ruah, Yatt turut menjadi rebutan pengarah dan produser filem. Selepas diperkenalkan menerusi Impak Maksima, Yatt kembali sekali lagi ke lokasi penggambaran filem pada Disember ini.
Filem keduanya itu berjudul Kecoh Betul terbitan Sri Sahib Production yang turut dibintangi Diana Daniella dan Nabil Raja Lawak.
“Kecoh Betul, cerita mengenai kehidupan ‘Mat Despacth’. Dalam filem ini saya bawakan peranan Nisha, seorang gadis yang terperangkap dalam tubuh lelaki atau erti kata lain, tomboi.
“Meskipun belum dapat menjangkakan apa yang berlaku, yang nyata bidang lakonan cukup unik dan menyeronokkan apabila kita berpeluang melakonkan watak yang bukan diri kita sebenar,” katanya.
Sekadar mencatat drama lakonannya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, Juana akan bersiaran 11 November setiap Selasa jam 10.30 malam di TV1. Diikuti Nani, setiap Khamis jam 9 malam, juga di stesen yang sama.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa dan Pengajian Media, turut terbabit dalam program tengah 4C (Cantik, Ceria, Cergas, Citarasa), yang kini hangat ditayangkan di TV2, setiap selasa jam 6.30 pagi.
Beralih pada kisah peribadi, Yatt yang mengikat tali pertunangan dengan Pengurus Futsal Sport Planet, Ampang, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 28, pada 2 Februari lalu merancang mengakhiri zaman bujang tahun depan.
“Memandangkan terlalu sibuk saya tidak sempat pilih tarikh tapi bagaimanapun kena langsungkan juga tahun depan. Sebabnya, seperti yang dijanjikan keluarga tempoh pertunangan kami cuma setahun.
“Insya-Allah apabila sudah dapat tarikh yang sesuai i saya akan maklumkan kepada teman media,” katanya memilih majlis perkahwinan yang sederhana.
>Profil
NAMA: Haryati Hamzah
PANGGILAN: Yatt
LAHIR: 13 April 1980 di Muar, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi Massa dan Pengajian
Media
KERJAYA: Model, pengacara dan pelakon
ANTARA DRAMA: Nasi Lemak Kukus, Rencong, Kaber Hero Kaber Zero, Hidayah,
Belladan Ritma Kolej, Juana, Nani, Amanah Karmila, Madu Cinta dan Issandre.
FILEM: Impak Maksima dan Kecoh Betul

Norman, seolah-olah melepaskan anjing yg tersepit…. Itu yg dpt ku katakan. Dulu sekali diberi peluang untuk berubah tapi kamu mensia-siakan peluang itu…amat rugi bagi mu kerana peluang baik hanya datang sekali sahaja dalam hidup dan kamu tidak menghargai pengorbanan isteri mu. Terus terang ku katakan tak seorang wanita pun sanggup menerima suaminya semula selepas mengetahui dia ada hubungan sulit dgn wanita lain…Tapi aku salute Abby kerana sanggup menerima kau semula buat kali pertama dulu…tapi kali ini kalau Abby menerima kamu semula, kamu akan lupa diri dan akan melakukan lagi perkara yg sama kerana kau akan menganggap Abby tak kan boleh hidup tanpa kamu… Kau silap Norman, kesabaran wanita ada batasnye, sekarang Abby semakin kuat tanpa kamu bersamanya…. Harap2 kau akan ditinggalkan supaya kau sedar diri kamu, bagaimana rasanye hidup mu tanpa isteri dan anak2 yang kamu sia2kan selama ini….