BUKAN mudah untuk membahagikan masa melakukan tiga tugas serentak apabila semuanya penting dan menjadi ‘bekalan’ pada hari tua. Namun, bagi penyanyi muda berbakat, Syazliana Abd Karim, 22, cabaran itu dapat dilaluinya dengan baik tanpa menjejaskan kosentrasinya sebagai pelajar.
Sejak menuntut di semester pertama dalam bidang seni bina hiasan dalaman di The One Academy, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Syazliana sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan selain bergelar penyanyi.
“Disebabkan minat mendalam pada kedua-dua bidang nyanyian dan perniagaan serta pada masa sama terikat dengan komitmen sebagai pelajar, saya perlu bijak membahagikan masa dan memberi perhatian penuh kepada semua bidang yang diceburi.
“Kalau diikutkan memang sukar melakukan tiga perkara serentak dalam masa sama. Namun, berkat doa dan sokongan semua pihak, saya bersyukur dapat melaluinya dengan baik sehingga lulus cemerlang dengan mendapat Gred A dalam Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman sewaktu konvokesyen, baru-baru ini,” katanya.
Syazliana yang menghadiri majlis konvokesyen di Hotel Sheraton Subang pada 5 Oktober lalu, menyifatkan kejayaannya menamatkan pengajian dengan cemerlang tidak bermakna pembelajarannya sudah tamat. Sebaliknya gadis jelita ini menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di Australia pula.
Ketika menuntut di The One Academy, Syazliana mengharumkan nama kolejnya apabila memenangi Anugerah Pereka Bentuk Dalaman Muda LG (LG Young Best Designer 2007).
Minat mendalam di bidang nyanyian dan perniagaan membuatkannya tidak kisah berkorban untuk kedua-dua bidang itu. Katanya, nyanyian lebih kepada hobi dan minatnya sejak kecil, manakala perniagaan pula lebih kepada persediaan menghadapi hari tua selain mengamalkan ilmu yang dipelajarinya.
Kini Syazliana menumpukan perhatian kepada dua syarikat yang dimilikinya di Kelana Jaya iaitu Seinna Entertainment Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya dan Seinna Studio Sdn Bhd yang memfokuskan kepada rekaan grafik.
Ternyata, darah usahawan yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada bapa, Datuk Abdul Karim Munisar yang juga bukan nama asing dalam dunia korporat.
“Selain menyanyi, saya memang minat dengan hiasan dalaman. Insya-Allah, apabila dua syarikat saya ini stabil, saya bercadang membuka syarikat hiasan dalaman sendiri, Seinna Interior Design pula,” katanya.
Biarpun berdepan kesibukan menguruskan dua syarikat, Syazliana tetap membahagi masa meneruskan kariernya di bidang seni yang mula diceburinya sejak berusia 13 tahun lagi.
Awal bulan depan album terbaru Syazliana yang memuatkan 10 lagu akan menemui peminat di bawah edaran Sony BMG Music. Album yang dihasilkan melalui syarikat miliknya sendiri, Sienna Entertainment Sdn Bhd ini menampilkan ramai komposer ternama sebagai penerbit.
Antara komposer yang terbabit dalam album keempatnya ialah Iman Wan, Hazami, Adnan Abu Hassan, Yasin dan Neves Pretty Ugly. Selain itu, Syazliana sendiri turut menyumbang idea menjayakan pembikinan album terbarunya yang berkonsepkan pop & balada itu.
“Album kali ini memang unik dan lain daripada sebelumnya. Bukan saja mengetengahkan konsep dan idea yang segar, malah menampilkan sesuatu yang baru mengikut aliran semasa.
“Saya sebenarnya cukup teruja dan bangga dapat bekerja dengan ramai nama besar dalam industri muzik seperti Hazami yang baru pertama kali terbabit dengan saya. Walaupun berkonsepkan pop, ia menyelitkan elemen baru yang berbeza daripada album lain,” katanya.
Hujung minggu ini, Syazliana akan turun padang mengadakan persembahan di booth Harian Metro sempena Jomheboh di Batu Kawan, Pulau Pinang. Sebelum ini dia pernah menjayakan persembahan sama pada Jomheboh di Johor Bahru pada Jun 2006.
Katanya, dia gembira dan terharu kerana diundang akhbar berbahasa Melayu nombor satu negara mengadakan persembahan buat kali kedua. Jemputan ini disifatkannya sebagai platform untuk bertemu peminat dengan lebih dekat di tempat berbeza.
“Saya berterima kasih kepada Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh kerana sudi menjemput saya memeriahkan program ini. Saya tidak kisah mengadakan persembahan di tempat kecil seperti booth Harian Metro. Walaupun kecil, sambutannya tetap meriah.
“Inilah masanya untuk saya berbakti kepada Harian Metro yang banyak menyokong karier seni saya terutama dari sudut publisiti. Saya tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan ini kerana ia memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Profil
NAMA: Syazliana Abd Karim
TARIKH LAHIR: 25 Julai 1986
TEMPAT LAHIR: Subang Jaya Medical Centre, Selangor
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman di The One Academy
ALBUM: Singgahsana (2001), Demi Cinta (2003), Sinar Baru (2005) dan Syaz (2008)
PENCAPAIAN: Peringkat Separuh akhir, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (AJL18) dalam Kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia (2003) dan finalis AJL17 dalam kategori sama pada 2002
