SELAMA lebih 25 tahun terbabit dalam dunia pementasan dan berlakon dalam puluhan teater, tahun ini merupakan saat yang paling mengujakan buat Fauziah Nawi.
Ini kerana, mulai 21 November ini hingga 2 Disember depan, aktivis teater berasal dari Ipoh, Perak ini akan mementaskan monolog teater pertamanya berjudul Cinta Julia.
Menurut Fauziah, menerusi pementasan itu, beliau bukan sahaja akan bermonolog atau berlakon sendirian tetapi dia juga akan mempersembahkan jalan cerita yang ada kaitan dengan dirinya sendiri.
“Teater berkonsepkan monolog ini 50 peratus daripadanya berdasarkan kisah saya sendiri sejak dari kecil hinggalah sekarang. Ia juga berdasarkan kisah-kisah kawan-kawan baik saya.
“Cerita-cerita dalam monolog ini datangnya daripada enam orang kawan baik saya. Paling banyak cerita itu datangnya daripada ibu kepada kawan baik saya yang seolah-olah menyalahkan takdir.
“Saya gabungkan cerita kawan-kawan saya sebab tidak mahu mengeluarkan kesemua kisah berdasarkan kisah hidup saya. Takut nanti membuka aib sendiri pula.
“Bagaimanapun, saya sengaja tidak mahu mendedahkan nama-nama mereka kerana mahu menjaga nama baik mereka,” katanya pada sidang media sempena pratonton Cinta Julia di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.
Jelas Fauziah, antara cerita yang dimuatkan dalam teater itu ialah kisah hidupnya yang bermula di Jalan Bendahara, Ipoh sehinggalah dia berhijrah ke KL pada usia 17 tahun pada tahun 1970-an.
Sepanjang melalui tempoh penghijrahan itu, pelakon berusia pertengahan 50-an ini mengakui, dia telah melalui pelbagai pengalaman menarik yang boleh dikongsi bersama para penonton.
“Antaranya pengalaman saya yang pernah tinggal sekampung dengan pengacara Aznil Haji Nawawi di Kampung Datuk Keramat di KL pada tahun 1970-an masih segar di ingatan saya.
“Pengalaman saya sewaktu kecil apabila rumah saya sering dilalui oleh perempuan joget pada waktu malam juga turut diselitkan sebagai antara paparan yang diselitkan dalam monolog ini.
“Julia hanya dijadikan sebagai latar watak untuk mengembangkan cerita teater ini. Ia mengisahkan tentang ibunya yang bekerja sebagai perempuan joget, bapanya pula bekerja di kilang arak,” ujarnya.
Bagi mengadunkan jalan cerita, watak serta berdasarkan pengalamannya sendiri dalam teater ini bukanlah sesuatu yang mudah biarpun bagi pelakon dan pengarah berpengalaman sepertinya.
Sebaliknya, Fauziah sendiri mengambil masa yang agak lama untuk berbincang dengan penulis skrip Cinta Julia iaitu Iryanda Mulia Ramly sebelum menyudahkan naskhah tersebut.
Sakit jantung
Apatah lagi, beliau terpaksa menangguhkan proses pembikinan skrip ini apabila penulis skripnya, Iryanda telah dimasukkkan ke hospital kerana diserang penyakit jantung baru-baru ini.
Bagaimanapun, cabaran pelakon yang terkenal dengan gelaran pelakon air mata ini ialah bagi melakonkan teater dengan durasi hampir sejam ini secara bersendirian.
“Bukannya mudah untuk berlakon dan bermonolog sendirian seorang diri tanpa henti. Masalah utama saya sekarang ini ialah untuk menghafal skrip. Saya takut kalau lupa skrip masa pementasan nanti.
“Sebab itu, saya banyak berlatih untuk fokus pada teater ini dan terpaksa melupakan kerja-kerja lakonan yang lain. Apatah lagi pementasan ini diadakan selama 12 hari,” katanya.
Tambahnya mementaskan monolog bukan sahaja menjadi idaman kebanyakan pelakon teater tetapi ia antara lain merupakan cabaran dan kemuncak keupayaannya dalam bidang tersebut.
Banyak lagu-lagu baru dan lama akan dipersembahkan oleh beliau pada pementasan itu kelak, antaranya lagu berjudul Norlela yang pernah dipopularkan oleh Bing Slamet dari Indonesia.
Selain bermonolog, Fauziah tidak menafikan dia juga berasa teruja apabila akan turut menyanyi dan menari pada pementasan yang mengenakan harga tiket RM30 dan RM15 (pelajar) ini.
Cinta Julia yang akan dipentaskan pukul 9 malam pada tarikh tersebut merupakan satu lagi naskhah terbaru yang dipersembahkan oleh Sanggar Teater Fauziah Nawi atau Stefani sejak ia diasaskan 10 tahun lalu.
