DARIPADA sembilan peserta yang tinggal, mereka adalah pasangan suami isteri yang paling muda.
Namun, lagak dan langkah Mohd Kharulnizam Mohammad Wahi (Khai), 28 dan Rosmayati Sidik (Rosma), 23, kektika mempersembahkan tarian untuk dua episod berturut-turut, Sehati Berdansa, menampakkan perasaan mereka paling sejiwa tatkala menari.
Dari minggu pertama lagi, pasangan yang dicungkil menerusi Akademi Fantasia musim pertama (AF1) pada 2003 ini sudah menempah kedudukan selesa apabila memperoleh undian tertinggi dari penonton termasuk juri profesional.
Persembahan mereka sempena rakaman episod kedua di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Khamis lalu, menerusi lagu Ayuh Juragan lebih meyakinkan. Meskipun, muncul sebagai peserta pertama membuat persembahan, jelas tarian mereka kemas serta menghiburkan.
Barangkali, pengalaman menyertai AF1 memberi kelebihan kepada Khai dan Rosma kerana berpeluang menimba ilmu dibawah bimbingan jurureka tari terkenal, Linda Jasmine.
Tidak dinafikan, pengalaman di AF1 sedikit sebanyak membantu. Namun bagi Khai, apa yang dituntut dalam Sehati Berdansa lebih mencabar dari apa yang pernah dipelajari dalam AF1.
“Apabila artis AF menyertai pertandingan ini dianggap sudah handal menari dan penonton meletakkan harapan yang tinggi.
“Kalau baru enam bulan keluar dari AF, mungkin orang boleh kata ia satu kelebihan untuk kami kerana segala gerak dan langkah yang diajar masih ‘fresh’.
“Tetapi sudah lima tahun kami tidak menari hingga badan pun terasa keras. Justeru, kami berasakan turut melalui kesukaran seperti pasangan lain,” katanya.
Rosma yang bersetuju dengan pendapat suaminya itu mengakui tekanan mula dirasai apabila peminat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka.
“Ada kalanya mereka tertekan namun kami anggap itu sebagai cabaran. Lagipun ini pertandingan realiti di mana juri mewakili markah 50 peratus begitu juga dengan penonton.
“Setiap minggu, kami cuba menari sebaik mungkin dan cuba mengelak dari membuat kesilapan meskipun persembahan minggu pertama dan yang kedua ini masih ada beberapa kesilapan dilakukan. Apa yang kami harapkan dapat membuat persembahan terbaik,” katanya.
Tambahnya lagi, demi memastikan persembahan mereka benar-benar sejiwa dia dan Khai lebih suka berlatih dalam keadaan tenang, menyeronokkan dan tidak terlalu serius.
Namun, dalam masa yang sama, kami tetap fokus dengan apa yang diajar jurureka tari mereka, Norhayati Yusof.
“Kami harus berasa seronok dengan apa yang kami lakukan dan paling penting pasangan perlu ada keserasian ketika menari barulah pergerakan dan emosinya seiring,” katanya.
Ditanya, antara dua episod yang sudah dijayakan mereka yang mana satukah paling mencabar, Khai mengakui, malam bertemakan Melayu Kontemporari paling menguji kesabaran mereka.
“Minggu lalu tema Retro pergerakannya agak ringkas. Tetapi persembahan malam ini saya akui pergerakannya lebih rumit apatah lagi muncul sebagai peserta pertama, memang terasa sangat tekanannya.
“Untuk mempelajari teknik tarian ini bukannya mudah, lebih-lebih lagi dengan tempoh latihan yang cuma tiga hati. Hari pertama contohnya kami kena belajar ‘step’ manakala hari kedua mesti kuasai setiap pergerakan sebelum hari ketiga membuat persembahan.
“Bayangkan, kerana terlalu rumit selepas selesai latihan, saya dan Rosma berlatih pula di rumah tidak kiralah jam berapa pun sampai kami puas hati.
“Kami mahu lakukan yang terbaik untuk mengumpul dana bagi Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia,” katanya.
Sekalipun, persembahan mereka memukau malam itu namun dari segi pemarkahan juri profesional yang diadili Linda Jasmine; pensyarah UiTM, Hamzah Mohamed Tahir dan penyanyi etnik, Noraniza, Khai dan Rosma tewas kepada pasangan Amyza Adnan dan suaminya, Khairil Azhar.
Mereka memperoleh markah purata 90 atau 262 bagi keseluruhan mata diatas persembahan ‘outstanding’ dan berani.
Menyentuh keseluruhan persembahan, menurut ulasan dua juri tetap Linda Jasmine dan Hamzah, kesemua peserta minggu ini menunjukkan peningkatan sangat ketara.
Antara yang mendapat pujian, penyampai Sinar FM, Jamal Jamaluddin dan isterinya, Noor Faridah. Watak serius penari Jawa yang dipersembahkan Jamal memikat penonton hinggakan saat persembahan berakhir pun dia masih mengekalkan karektor itu.
Persembahan bertenaga Shasha Saidin dan suaminya, Salyo juga menarik dengan beberapa aksi akrobatik yang memberi rasa keterujaan pada mereka yang menonton.
Begitu juga dengan pasangan model, Mazin Ameen Siraj dan isterinya, Ida Chairunisa. Ada unsur-unsur drama dalam tarian mereka yang menjelaskan sebahagian kisah daripada lirik lagu Joget Mengidam Rindu.
Dua lagi peserta yang mendapat markah selesa adalah Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin dan Lis Dawati (Lisda) dan Fauzi Nawawi.
Menariknya, mengenai persembahan Lisda dan Fauzi, penutup persembahan mereka cukup kreatif di mana kain selendang yang ditarik si suami tercatat perkataan ‘Lisda cinta Fauzi’.
Bagaimanapun, persembahan Ani Mayuni dan suami, Zairi Azmi serta Shahril Arshat dan Isterinya, Noraini Morat, kurang menyengat hingga menyebabkan markah purata mereka kurang dari 80 markah.
Semua sembilan lagu yang mengiringi persembahan peserta adalah lagu dendangan Noraniza Idris iaitu Ayuh Juragan (Khai/Rosma), Hatinya Tak Tahan (Jamal/Ida), Ngajat Tampi (Rian/Shahrin), Racau Sang Khalifah (Shah/Ani), Layar Batuta (Amyza/Khairil), Joget Mengidam Rindu (Mazin/Anisa), Hati Kama (Lisda/Fauzi), Zapin Beradat (Ani/Zari) dan Hala Timur (Sasha/Salyo).
Kejayaan peserta beraksi di minggu kedua ini secara automatik menambahkan jumlah dana RM1,000 kepada RM2,000 untuk yayasan yang diwakili mereka.
Program Sehati Berdansa dikendalikan bekas pasangan kekasih, Linda Onn dan Fahrin Ahmad. Ia disiarkan setiap Sabtu jam 9 malam dan penyingkiran (Debaran Sehati Berdansa) pada waktu yang sama di Astro Ria

saya suka lihat sehati berdansa kerana saya suka
lihat muka lisda yang cantik 2.
lagi satu saya suka tengok lisda@fauzi &
khai@rosma menari.
SELAMAT MENARI
SEMOGA BERJAYA
SEMOGA SIHAT SELALU
huhu sapa agaknya akan kluar minggu ni ek… huhu