PROGRAM Melodi TV3 Dalam DILEMA

PROGRAM Melodi ketika mula diterbitkan di bawah Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV3 kira-kira 20 tahun lalu, dibuat dengan tujuan untuk memaparkan perkembangan dunia hiburan. Ia lebih bersifat berita atau laporan terhadap dunia seni, hiburan dan budaya yang berlaku dalam serta luar negara.

Di peringkat awal, pendekatan program ini lebih santai saja sifatnya. Tetapi masa sudah berubah. Bersesuaian dengan perkembangan dan persekitaran dunia hiburan yang pantas berubah, corak persembahan program Melodi juga turut berubah. Rancangan ini mula menjadi lebih agresif dan sensasi. Ini mungkin tuntutan untuk mendapatkan atau mengekalkan rating yang tinggi pada setiap kali ia disiarkan.

Program Melodi mula menjadi sebutan dan sensasi apabila Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy bertindak sebagai perantaranya. Sebagai hos, Ogy menggabungkan personaliti dan gayanya yang tersendiri menyebabkan ia nampak sentiasa hangat kerana dirinya bukan kandungan program itu sendiri.

Selepas Ogy meninggalkan program ini, pendekatan yang sensasi, panas dan agresif terus dikekalkan dalam setiap laporan yang dipaparkan oleh program Melodi. Bahkan, pendekatan ala paparazzi seperti terjah diamalkan dalam program ini dalam usahanya untuk mendapatkan berita yang lebih eksklusif.

Dalam hal ini, ia mungkin bagus kepada program ini kerana penonton melihat betapa beraninya wartawan Melodi membuat laporan dan pada masa boleh mengetahui apa yang boleh dijawab oleh artis apabila mereka diserang hendap. Bagaimanapun, kadang-kadang kita juga terfikir, apakah pendekatan seperti ini boleh mengundang risiko saman berjuta ringgit daripada golongan artis dan personaliti atas alasan ia menjatuhkan maruah mereka.

Sehingga kini, kita belum mendengar artis atau personaliti yang ‘diserang hendap’ ini mengheret program Melodi ke mahkamah. Mereka masih ‘sporting’ dengan Melodi. Kalau ada yang tidak puas hati, kebanyakannya hanya merungut dan ‘cakap belakang saja’.

Pernah juga beberapa kali personaliti dan penggiat seni hiburan tanah air yang menjadi ‘serangan hendap’ ini mengheret program Melodi ke mahkamah. Kita tidak mahu membuat sebarang ulasan atau pendapat kerana untuk membuat saman atau tidak, itu adalah hak masing-masing.

Kita juga sering mendapat maklum balas yang kurang bagus mengenai program itu. Namun, bagi kita itu adalah hak penerbit Melodi dan TV3 secara umumnya untuk menentukan hala tuju program Melodi. Berdasarkan apa yang dipaparkan oleh program ini, sudah tentu tidak salah untuk beranggapan ia mendapat restu daripada pengurusan stesen televisyen ini.

Terbaru pada minggu lalu apabila kita menerima teks pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang melahirkan rasa tidak puas hati cara program Melodi melaporkan majlis perkahwinan Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari. Kita akui tidak menonton program ini, tetapi individu itu melahirkan rasa kesal kerana laporan Melodi itu seolah-olah majlis perkahwinan Ashraf dan Bunga Citra kecoh.

Dan, berdasarkan maklumat daripada beberapa rakan setugas yang menghadiri majlis itu, mereka mengakui majlis perkahwinan Ashraf dan Bunga Citra sebenarnya lancar dan tidak berlaku sebarang kekecohan atau kelam kabut seperti yang dipaparkan dalam Melodi. Sebaliknya program ini mempergunakan sedutan visual yang tidak sepatutnya dipaparkan sebagai bahan utama. Akibatnya, laporan ini sudah memalukan dan menjatuhkan maruah keluarga kedua-dua pengantin.

Bagi kita, tidak salah untuk melaporkan berita sensasi. Cuma, yang menjadi pertikaian ialah adakah sensasi itu berlandaskan fakta, motif dan situasi sebenar. Program Melodi ini mempunyai banyak kelebihan sama seperti program televisyen lain kerana ia membabitkan visual dan audio. Apa saja yang dipaparkan oleh program Melodi boleh membuatkan penonton percaya, biarpun situasi sebenarnya tidak seperti yang digambarkan oleh visual.

Malahan, sensasi yang dipaparkan oleh program ini juga banyak yang mengetengahkan isu yang remeh, malahan kadang-kadang agak tergantung. Misalnya, selepas bersungguh-sungguh memaparkan isu sensasi mengenai Norman Hakim dan Abby Abadi, program ini gagal membuat susulan untuk mendapatkan cerita daripada Memey Suhaiza pula.

Selain isu sensasi peribadi, terdapat banyak lagi isu besar dalam industri hiburan yang boleh digarap dengan baik dalam program Melodi.

Program ini boleh membuat laporan khas berhubung dengan trend penerbitan filem tempatan menggunakan teknologi CGI, perkembangan filem animasi yang dilakukan oleh anak muda tempatan, aliran lagu dan muzik masa kini dan kenapa pihak panggung wayang enggan membantu kos promosi filem tempatan.

Dalam erti kata lain, banyak isu dalam industri hiburan ini yang sedang berlaku tetapi tidak pernah dipedulikan oleh sesiapa pun. Isu seperti itu juga perlu diterjah dan apabila dihangatkan dan menjadi sensasi, ia boleh membawa kepada menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penggiat seni hiburan.

Laporan seperti ini lebih mendatangkan manfaat bukan saja kepada penonton tetapi juga penggiat industri hiburan. Bagaimanapun, ia tidaklah bermakna Melodi tidak boleh membuat laporan mengenai peribadi artis. Ia tidak menjadi halangan kerana artis adalah milik masyarakat tetapi kerana Melodi adalah gabungan visual dan audio, perlu juga difikirkan cara ia dilaporkan.

Sering kali kedengaran wartawan Melodi memulakan pertanyaan dengan “Ada orang kata..” atau ‘beberapa pihak mengatakan…’ boleh menjadi persoalan. Siapakah ‘orang’ dan ‘pihak’ yang dimaksudkan itu? Mungkinkah ‘orang’ dan ‘pihak tertentu’ itu sebenarnya datang daripada pihak Melodi sendiri?

Penerbit program ini bertindak sebagai penyunting harus ada pertimbangan mengenai kewajaran sesebuah visual dan skrip yang hendak disiarkan. Adakah visual yang ditunjukkan itu menggambarkan situasi sebenar.

Kita tidak nafikan pentingnya program Melodi kerana ia adalah program yang sentiasa berusaha untuk melaporkan perkembangan hiburan semasa dengan baik. Malahan, kita juga mengakui Melodi turut membantu kegiatan hiburan tanah air seperti memberikan promosi dan publisiti filem, muzik, teater selain seni dan budaya. Cuma, pada masa, dalam aspek tertentu, ada beberapa aspek yang perlu dikaji semula supaya cara pemaparan sesuatu perkara itu tidak dilihat sebagai keterlaluan atau melampau.

Kita sering juga mendapat maklum balas yang kurang bagus daripada orang ramai mengenai program itu. Bukan program Melodi tetapi corak persembahan dan pendekatan program ini.

Namun, bagi kita itu adalah hak penerbit Melodi dan TV3 sebagai organisasi yang menerbitkan program ini untuk menentukan hala tuju program Melodi. Berdasarkan apa yang dipaparkan oleh program ini, sudah tentu tidak salah untuk beranggapan ia mendapat restu daripada pengurusan stesen televisyen ini. Datuk Amrin nak jawab?

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply