Selendang berbunga

HANYA mengenakan selendang berbunga dililitkan ke kepala, blaus labuh paras lutut yang dipasangkan dengan seluar rona gelap, tiada bezanya Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman, 26, dengan gadis Melayu bertudung yang lain.

Namun di sebalik penampilannya itu, ada sesuatu yang membuatkan dia lebih istimewa. Khasif bukan calang-calang gadis apabila dia sebenarnya qariah yang memenangi Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-50, baru-baru ini.

Berasal dari Ipoh, Perak, penampilan Khasif tidak menggambarkan dirinya seorang qariah yang biasanya berbaju labuh dan bertudung litup. Jika disebut qariah, kita membayangkan begitulah imej mereka. Yang berusia sedikit, jubah menjadi pilihan. Khasif adalah qariah moden yang tidak dibayangi etika seperti itu.

Katanya, tidak perlu mengaburi mata masyarakat dengan berpakaian sedemikian sedangkan dirinya bukan begitu. Lebih baik ditonjolkan dirinya yang sebenar.

“Walaupun saya seorang qariah, tidak semestinya pakaian perlu seperti ustazah, bertudung litup labuh dan berstokin. Itu bukan gambaran diri saya. Saya senang gaya begini, ringkas dan bersahaja. Saya perlu ikhlas dengan diri sendiri.

“Yang penting saya masih berpegang kuat kepada akidah Islam dan tahu membataskan yang halal dan haram. Saya juga maklum, bagaimana mahu menggayakan tudung dan berpakaian mengikut kesesuaian usia serta keadaan.

“Jika ada yang menganggap pakaian begini boleh menjejaskan kredibiliti sebagai qariah, saya fikir itu tanggapan sempit dan tidak berasas.

“Sepatutnya kita berfikir secara positif dan meluas kerana maksud qariah itu sendiri tidak bergantung pada pakaian semata. Banyak lagi aspek, cuma yang pentingnya apabila berpakaian perlu yang bertutup dan sopan,” katanya.

Selepas diangkat sebagai Naib Johan Akademi Al-Quran musim ketiga, nama Khasif kian dikenali. Apatah lagi sebaik menjadi Johan Tilawah Al-Quran Kebangsaan, dia dilamar menjadi kakitangan stesen televisyen satelit berbayar, Astro.

Rentetan itu, anak bongsu daripada dua beradik ini menjelaskan tidak gentar berdepan pandangan serong masyarakat mengenai pembabitannya dalam dunia penyiaran, sebaliknya dia mempunyai matlamat dan misi tersendiri.

Allah yang mengetahui niat suci Khasif membuka laluan kepadanya untuk berdakwah dengan caranya sendiri apabila dia dilamar mengacarakan program Kalam Suci di Astro Oasis, bermula Disember ini. Khasif sudah membulatkan tekad mahu berdakwah secara halus menggunakan pendekatan al-Quran.

“Kalau tidak golongan muda seperti saya bertindak menarik lebih ramai belia menceburi bidang berkaitan al-Quran, siapa lagi. Saya rasa bertanggungjawab melakukannya.

“Peluang diberi Astro untuk mengacara Kalam Suci akan saya gunakan sebaik mungkin. Ini saja landasan buat saya menyebarkan ilmu, mencari lebih ramai qari dan qariah pelapis di kalangan remaja.

“Apapun tanggapan masyarakat mengenai penampilan saya, saya percaya dalam usaha menyebarkan ilmu al-Quran kepada orang muda, ia perlu disusuli perbuatan dan tingkah laku menepati perasaan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mampu menghadapi cabaran pahit getir dunia hiburan, Khasif yang berdarah campuran Yaman (ayah) – Melayu (ibu) ini ada prinsip sendiri.

“Asalkan kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, Insya-Allah saya yakin dapat menyesuaikan diri dalam industri ini. Paling utama tetapkan iman dan pendirian kita.

“Dalam pada itu, saya tetap mengharapkan teguran dan tunjuk ajar daripada semua pihak. Saya sedia menerima teguran sekiranya ia dapat membantu saya menjadi manusia yang lebih baik,” katanya.

Meskipun bakal sibuk dengan pengacaraan dan kerjaya di Astro, Khasif yang mula membaca al-Quran sejak berusia empat tahun memberitahu akan tetap menyertai tilawah al-Quran.

Dia kini sedang mempersiapkan diri untuk menyertai pertandingan tilawah peringkat kebangsaan pada tahun depan di samping mengajar ilmu Taranum secara sambilan di Shah Alam.

Bercerita lanjut mengenai program Kalam Suci yang akan dikendalikannya, Khasif memberitahu segmen baru iaitu Keindahan Kalam Suci khusus diadakan bagi mengajar Taranum.

Profil

NAMA PENUH: Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman

TARIKH LAHIR: 5 Ogos 1982

ASAL: Ipoh, Perak.

KACUKAN: Yaman (ayah) – Melayu (ibu)

ADIK BERADIK: Bongsu daripada dua beradik

STATUS: Solo

PENDIDIKAN: Sarjana Muda Kewangan, Universiti Tenaga Nasional, Bangi.

PENCAPAIAN:

Naib Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-50;

Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-51;

Naib Johan Akademi Al-Quran musim ketiga

Finalis Akademi Al-Quran musim pertama

This entry was posted in Fesyen. Bookmark the permalink.

Leave a Reply