Seraut wajah jelita dan berperwatakan manja Diana

DIKURNIAKAN seraut wajah jelita dan berperwatakan manja, pasti Diana Danielle yang baru menyambut hari lahir ke-17 semalam (22 November) menjadi impian setiap jejaka. Ramai yang ingin mendekatinya namun anak tunggal kepada Norsiah Ramli, 45 itu, tidak mahu lagi berbicara soal hati dan perasaan.

dianadainelle.jpg

Walaupun Diana dikatakan intim dengan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Datuk Yusof, apabila diajak berbual mengenai hubungan mesra itu, kata-kata yang terluncur dari mulut mongelnya adakala sukar dimengertikan.

Pernah juga mengaku hubungan mereka seperti abang dan adik. Pada lain masa pula, Diana lebih suka membiarkan peminat tafsirkan sendiri persahabatan mereka. Apa yang nyata, demi menjaga hati banyak pihak Diana sangat berhati-hati menitipkan kata bimbang ada yang terasa.

Diana yang kini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedang merencanakan masa depannya dengan sebaik mungkin. Ia juga antara perkara yang paling menggembirakannya pada tahun ini kerana jika selama ini dia terpaksa membahagikan masa antara sekolah dan berlakon, tetapi dengan berakhirnya peperiksaan itu dia boleh memokuskan perhatian kepada kerjaya seninya.

“Seronok kerana peperiksaan hampir tamat tetapi gementar menantikan keputusannya kerana semua orang mengharapkan yang terbaik daripada saya. Waktu peperiksaan percubaan tempoh hari saya mendapat enam A. Semoga saya dapat mencatat keputusan lebih cemerlang pada peperiksaan yang sebenar.

“Saya harapan mama. Pastinya saya mahu buat yang terbaik dalam semua perkara. Jadi untuk waktu ini, kita ketepikan dulu soal cinta. Asyik bercakap pasal cinta sedangkan saya muda lagi.

“Saya mahu fikirkan karier dulu. Apa yang terlintas di hati sekarang saya mahu bekerja kuat, bukan saja dalam bidang lakonan tetapi dalam apa juga lapangan yang diceburi dan menjadi anak yang baik.

“Selepas mendapat keputusan SPM saya berhasrat menyambung pengajian di kolej atau universiti tempatan. Saya berminat menyambung pengajian di Universiti Monash, Australia yang mempunyai program berkembar dengan universiti di sini.

“Mengenai kursus yang bakal diambil bergantung kepada keputusan periksa. Mama mahu saya menjadi ahli sains tetapi tengoklah keadaan macam mana. Selaku anak tunggal keutamaan saya kepada mama. Seperti mama yang begitu menyayangi dan mengambil berat mengenai saya, saya juga akan melakukan perkara serupa untuk mama,” katanya.

Dua beranak ini sangat rapat. Bimbang timbul pelbagai persepsi tidak baik pada anak daranya itu, Norsiah sering menemani Diana. Sehingga pada satu peringkat, Norsiah turut menjadi mangsa gosip.

Kehidupan dua beranak itu kini bertambah ceria dengan kehadiran ahli keluarga baru iaitu seorang bayi lelaki berusia enam bulan. Diana menamakan adik angkatnya itu Hailey Hayden. Kali pertama menjalankan peranannya sebagai kakak memang kekok.

“Sebelum ini saya tidak pernah berkongsi barang. Tetapi apabila ada Hailey terpaksalah saya beralah. Saya pun memang teringin hendak ada adik lelaki jadi terpaksalah saya menyesuaikan diri dengannya.

“Saya selalu dengar orang kata susah jaga baby tetapi selepas saya melaluinya sendiri, tidaklah susah sangat. Hailey bayi yang baik. Sekarang mama sibuk menjaga Hailey dan rumah pun tidak sunyi lagi,” katanya.

Menceritakan sambutan hari jadinya pada tahun ini, Diana sengaja mengadakan satu majlis kecil di Urban, Hotel Istana, Isnin lalu. Ini kerana Diana ingin meraikan hari jadinya itu bersama penyanyi baru dari Indonesia, Afgan Syah Reza, 18, yang datang ke sini untuk mempromosikan album sulungnya.

Diana yang meminati jejaka tampan itu tidak melepaskan peluang menyambut hari jadinya bersama Afgan. Pada pertemuan yang diatur Bill Bora itu, Diana menjemput rakan baiknya, Liyana Jasmay untuk memeriahkan suasana.

“Saya tahu mengenai Afgan daripada kawan-kawan. Ada di antara mereka menjadikan lagu Afgan sebagai ring tone. Atas jasa baik Bill Bora, kami dipertemukan di Urban kerana pada waktu sama, Afgan melancarkan albumya di hotel ini.

“Memahami jadual kerjanya padat, saya terus bersetuju apabila Bill Bora mahu mengadakan majlis hari jadi itu di sini,” katanya.

Walaupun hanya mereka bertiga tetapi kemesraan dipamerkan Diana dan Liyana menghapus rasa malu Afgan. Diapit dua gadis jelita tentu saja membuatkan Afgan teruja. Tetapi sayangnya, pertemuan itu singkat sekali namun pasti ia meninggalkan kenangan manis buat mereka bertiga.

Seterusnya kata Diana, sekali lagi dia akan mengadakan majlis sambutan hari jadinya pada 27 November ini bersama kawan-kawan rapat. Lokasinya belum tahu lagi.

“Setiap tahun saya menyambut hari jadi bersama kawan sekolah. Selain Liyana, saya tidak begitu rapat dengan rakan artis,” katanya.

Perkembagan seni, Diana sedang menanti tayangan tiga filem lakonannya, Maut (Malaikat Maut), Bohsia dan Setem. Dia juga menerima tawaran berlakon dalam filem baru, Kecoh Betul (dengan Nabil Raja Lawak), Evolusi KL Drift 2 dan Magica KRU.

Diana juga akan hadir dengan album sulung terbitan syarikat milik sendiri, April depan. Buat masa ini, dia dan ibunya sedang berbincang mencari lagu single.

“Sejak kecil suka menyanyi tetapi bakat saya lebih dulu diuji dalam lakonan. Duet saya dengan Dafi AF ketika menjayakan Minggu Setiausaha tahun lepas membuka ruang untuk saya bergelar penyanyi. Konsep album dan sebagainya belum ditentukan lagi,” katanya.

Menyentuh persahabatannya dengan Liyana, jelasnya, mereka berkenalan apabila bersama-sama dijemput membuat persembahan pada konsert Akademi Fantasia musim keenam di Istana Budaya.

“Kami menjayakan sketsa filem Gila-Gila Remaja. Daripada situ kami menjadi mesra. Bagaimanapun kami tidak pernah keluar bersama. Kalau berjumpa pun pada majlis hiburan dan sesi penggambaran seperti ini.

“Meskipun jarang bertemu tetapi saya senang berkawan dengan Liyana kerana dia matang dan banyak memberi nasihat. ‘Kepala’ dia juga ok. Persamaan lain kami sama-sama ‘anak ibu’,” katanya.

Liyana yang sedang menantikan tayangan filem barunya, Histeria, juga menyukai Diana yang ringkas dan ‘sporting’. Dia juga sempat mengusik Diana jangan lupa menjemputnya pada majlis hari jadinya nanti.

“Tidak semestinya kawan baik perlu berjumpa selalu. Adakala kerap bertemu akan jadi gaduh. Lebih baik sesekali berjumpa banyak cerita boleh dibualkan. Saya tua tiga tahun dari Diana dan menganggapnya seperti adik.

“Sempena hari jadinya yang ke-17, saya doakan Diana berjaya mencapai segala impian di hati dan maju jaya dalam apa juga lapangan diceburi,” katanya.

Liyana yang sudah membuktikan kehebatannya di pentas lakonan juga akan tampil dengan album sulung berkonsepkan pop teen rock. Untuk menguji pasaran, Liyana muncul dulu dengan single, Aku Tak Percaya, ciptaan Ajai juga selaku produser album itu.

“Nyanyian saya bukanlah seperti Misha Omar. Dia terlalu bagus. Saya memilih konsep dan lagu yang sedap di dengar. Apabila album itu siap nanti, saya bercadang membuat klip video di Indonesia. Saya dengar kualiti pembikinan klip video di sana bagus.

“Di sini bukan tidak bagus, cuma saya ingin mencuba sesuatu yang baru. Walaupun kemampuan saya dalam bidang nyanyian belum terbukti lagi tetapi azam saya ingin memberikan yang terbaik kepada pendengar dan peminat muzik,” katanya.

This entry was posted in Artis, Diana Danielle. Bookmark the permalink.

Leave a Reply