TV3 Jomheboh

ACARA terbesar anjuran TV3 iaitu Jomheboh sering kali menarik perhatian ramai pengunjung. Bermula hari ini dan esok, pengunjung berpeluang menghadiri acara ini yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung dan tentunya gerai akhbar bahasa Malaysia nombor satu, Harian Metro turut memeriahkan acara ini.

Dalam acara ini yang berlangsung selama dua hari bermula jam 9 pagi hingga 9 malam, gerai Harian Metro menganjurkan aktiviti menarik khusus untuk pembaca setia dan pengunjung. Malah apa yang menarik perhatian, pengunjung berpeluang bertemu artis pujaan mereka dengan lebih dekat menerusi persembahan artis yang diadakan.

Untuk kali ini, gerai Harian Metro menampilkan lima artis yang akan membuat persembahan iaitu Ali daripada kumpulan Mpire, Farawahida, Iqwal, Syazliana dan kumpulan baru, Antoo Fighter. Semua artis ini meluangkan masa untuk bertemu peminat dan sewajarnya peluang ini tidak dilepaskan.

Penyanyi kumpulan Mpire, Mohd Ali Ismail atau Ali berkata, persembahan artis di gerai Harian Metro memberikan tarikan tersendiri pada pengunjung yang mahu bertemu artis pujaan mereka secara eksklusif.

Katanya, kelebihan artis di sini dapat bermesra dengan peminat dalam suasana santai selain peminat dapat bersalaman, mendapat autograf dan bergambar dengan artis.

“Menerusi pembabitan saya sebelum ini bersama gerai Harian Metro dan Jom Heboh, saya melihat acara ini mendapat sambutan memberangsangkan. Inilah masa yang ditunggu artis dan peminat bertemu dengan lebih dekat.

“Peluang merapatkan hubungan artis dan peminat satu tarikan yang menarik ramai pengunjung untuk datang. Untuk persembahan kali ini, saya akan menyampaikan beberapa lagu antaranya, Hasrat yang dipetik daripada album kumpulan saya sendiri iaitu Mpire bersama lagu lain seperti Sakina (XPDC) dan Bunga Angkasa yang pernah dipopularkan kumpulan Terra Rosa.

“Selain itu, menerusi acara ini, saya juga ingin memberitahu peminat, saya kini penyanyi Mpire. Sebelum ini, masih ramai peminat yang keliru dan menyangkakan saya masih bersama XPDC.

“Walaupun rakan saya daripada Mpire tidak dapat hadir tetapi saya yakin, persembahan solo tetap menghiburkan pengunjung nanti,” katanya.

Bagi penyanyi yang pernah popular dengan lagu Tanpamu, Farawahida menyatakan perasaan gembira untuk menjayakan acara ini bersama peminatnya. Mahu peminat turut gembira bersamanya, dia tidak membataskan jumlah lagu yang ingin disampaikan.

“Persembahan saya bergantung pada sambutan peminat di gerai Harian Metro nanti. Jika ramai peminat yang mahukan saya terus membuat persembahan, saya akan sampaikan lebih banyak lagu termasuk dangdut dan rock. Mungkin kali ini peminat berpeluang menonton saya menyanyikan lagu dangdut, Pria Idaman yang pernah dipopularkan penyanyi Indonesia, Elvy Sukaesih.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mempromosikan single terbaru saya berjudul Hilang Segalanya. Meraikan peminat dan pengunjung di gerai Harian Metro, ia memberi peluang untuk saya dan peminat beramah mesra dengan lebih dekat.

“Saya senang untuk bekerjasama dengan Harian Metro kerana saya turut tumpang berbangga dengan pencapaian akhbar ini yang terus kekal sebagai akhbar bahasa Malaysia nombor satu. Apa yang saya harapkan, ramai pembaca setia, peminat saya dan pengunjung hadir di gerai Harian Metro kali ini,” katanya.

Bersama persembahan nyanyian artis popular, gerai Harian Metro juga menyediakan pelbagai aktiviti lain khusus untuk pengunjung. Antaranya, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, permainan rakyat, sukaneka, Pertandingan Berdansa bersama Harian Metro, cabutan bertuah, Pertandingan Syoknya Bola, persembahan tarian shuffle dan pengunjung bertuah berpeluang memenangi tiket wayang sumbangan United International Pictures dengan menyertai acara yang disediakan.

Pada hari ini, jam 4 petang, Pertandingan Mini Personaliti Harian Metro akan diadakan manakala Metro Idol yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 berlangsung pada esok hari, jam 2 petang.

Di samping itu, pengunjung berpeluang bergambar kenangan di muka depan Harian Metro iaitu untuk saiz A3 berharga RM20 manakala saiz A4 dikenakan RM5.

Pengunjung juga boleh mendapatkan barangan eksklusif Harian Metro dengan harga istimewa iaitu jersi (RM30), kemeja-T berkolar (RM30), kemeja-T bulat (RM20), kemeja- T kanak-kanak (RM15) dan topi (RM10).

This entry was posted in Artis, Forum. Bookmark the permalink.

One Response to TV3 Jomheboh

  1. This site seriously keeps improving every day. You should really be proud.

Leave a Reply