Wayang Sapa wayang Kita

Semuanya tidak kena tetapi tidak pernah beri sokongan filem tempatan yang memang bermutu

APA kurangnya filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan. Ia menceritakan soal seni, budaya dan warisan dengan menjadikan wayang kulit sebagai subjeknya.

Filem itu juga mengangkat pertembungan pemikiran generasi muda dan tua dalam mempertahankan warisan dan budaya. Golongan muda mahu wayang kulit diubah suai untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, tetapi generasi tua pula berfikiran sebaliknya kerana mereka mahu melihat keaslian seni berzaman itu patut dikekalkan.

Masyarakat kita pada hari ini sering mengkritik kebanyakan filem tempatan sebagai terlalu ringan, melalaikan dan hiburan semata-mata. Faktor itu dijadikan alasan mereka, terutama golongan pertengahan dan profesional enggan ke panggung untuk menonton wayang.

Bagaimanapun, apabila Profesor Hatta tampil dengan filem Wayang, tiada pula yang hendak memberi sokongan. Artikel yang disiarkan oleh media, hampir keseluruhannya memberikan kritikan atau ulasan yang positif. Namun begitu, sambutan terhadap filem Wayang masih dianggap dingin saja.

“Saya nak tanya: berapa ramai penonton filem tempatan yang membaca ulasan di akhbar? Yang buat bising mengatakan filem kita tak bermutu dan mahukan sesuatu yang selaras dengan selera mereka, golongan ini tidak mahu ke pawagam. Ada yang beritahu saya kononnya mereka serik dengan filem Melayu (tempatan) kerana terlalu banyak yang mengecewakan.
IDA NERINA sebagai Makcik Esah menghalang Eman Manan (Awang Lah) membelasah Zul Huzaimy (Awi) dalam filem Wayang.

“Tetapi itu hanya alasan untuk tidak ke pawagam. Filem-filem yang mendapat ulasan yang baik di akhbar yang mereka baca tidak juga disokong. Wayang diterbitkan oleh UiTM. UiTM sudah berusia lebih 50 tahun. Graduannya berjaya dalam segala lapangan.

“Pelajar UiTM sekarang lebih dari 100 ribu, ini belum dikira jumlah pensyarah dan kakitangan pentadbiran dan ahli-ahli keluarga mereka. Mereka ini semua adalah golongan terpelajar yang sentiasa mengharapkan filem tempatan dengan kualiti atau mutu yang tinggi. Saya kira kalau separuh dari mereka menonton Wayang, ia satu perkara yang boleh dibanggakan,” kata Profesor Hatta kepada Hip.

Beliau tidak menafikan, faktor lain keengganan penonton untuk menonton filem seperti Wayang kerana kebanyakan daripada mereka sudah terbiasa dengan dengan cerita seram, komedi dan ‘kosong’ saja.

Katanya, penonton filem tempatan sudah terlalu lama disogokkan dengan filem berunsur jenaka (bukan komedi) ringan, cinta picisan, seram dan ganas.

“Pada mereka itulah filem Malaysia. Filem untuk hiburan seketika dan dilupakan. Apa saja yang berkait dengan realiti kehidupan akan dianggap sebagai berat dan akan menyeksa pemikiran mereka.

“Mereka tidak menyedari bahawa humour, cinta, ketakutan dan keganasan itu sebenarnya boleh terlahir dalam kehidupan hari-hari tanpa dipaksa.

“Sebuah filem boleh saja membawa berbagai watak baik, buruk, jahat, ganas, sensasi dan sebagainya. Kerana seorang pelakon yang terlatih dengan baik boleh memainkan apa saja peranan. Tetapi ramai yang tidak faham erti pelakon dan lakonan, watak dan perwatakan.

“Jadi siapa saja jadi pelakon dalam filem boleh terus menjadi dirinya sendiri atau kalau pun berlakon dan berwatak, watak itu cuma perlu hitam atau putih. Drama tv kita juga mengikut format begini,” jelasnya lagi.

Filem Wayang yang ditayangkan sejak 13 November lalu mengisahkan Awang Lah, seorang dalang tersohor, tiba-tiba di depani masalah mengajar wayang kulit kepada seorang kanak-kanak lelaki buta dan seorang kanak-kanak perempuan bersuara sengau.

Kekecewaannya terhadap anak sendiri yang tidak mahu mendekati panggung wayang kulitnya, membuatkan Awang Lah berusaha keras mengajar dan kanak-kanak istimewa itu. Awi sekalipun buta tetapi mampu menghafal cerita-cerita wayang kulit dengan baik, dan Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya di kelir mengiringi cerita yang dituturkan Awi.

Apabila dewasa Awi mencuba berbagai gaya tersendiri menyelitkan unsur jenaka pada cerita-cerita dari Hikayat Ramayana. Percubaan Awi tidak disenangi Awang Lah yang menganggap wayang kulit adalah seni yang tidak boleh dipinda atau diubah. Awang Lah menjadi bertambah serabut dengan gangguan Jusoh, sepupunya yang menganggap wayang kulit adalah bertentangan dengan agama.

Suatu hari, Awang Lah terjatuh sewaktu bermain wayang kulit. Persoalannya: mampukah Awi dan Melor meneruskan warisan kesenian wayang kulit? Adakah Awi yang buta dapat menghadapi Jusoh? Bolehkah anak lelaki Awang Lah yang kini remaja menerima wayang kulit? Adakah Awi dan Melor dapat hidup bahagia seperti Seri Rama dan Sita Dewi dalam cerita wayang kulit yang mereka mainkan?

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Eman Manan, Zul Huzaimy, Ida Nerina, Anuar Idris dan Mas Muharni.

Menerusi pengisian dan subjek yang dikemukakannya, ternyata filem Wayang semakin mendapat perhatian daripada penganjur festival tempatan dan antarabangsa. Wayang adalah antara filem tempatan yang tersenarai dalam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (KLIFF2008) yang berlangsung hujung minggu ini.

“Alhamdulillah. Sekurang-kurang ada pihak yang memberikan perakuan untuk filem ini mewakili negara. Soal menang atau kalah itu tidak penting. Saya tak fikir apa pun!

“Insya Allah. Selepas KLIFF2008, filem ini akan ke India dan selepas itu mungkin ke festival-festival lain. Saya mahu masyarakat antarabangsa mengenali filem dari Malaysia dengan wajah dan budaya kita sendiri,” katanya.

This entry was posted in Movie. Bookmark the permalink.

Leave a Reply