Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia
Read Here
PADA 14 Disember lalu genap empat bulan pelakon jelita Maya Karin Roelcke, 29, melayari hidup berumah tangga bersama suami tersayang, Muhammad Ali Abdullah.
Walaupun usia perkahwinan mereka masih muda, Maya mengakui dia mula memahami tanggungjawab sebagai isteri.
Kata Maya, perkahwinan memerlukan pengorbanan kedua-dua pihak sama ada isteri atau suami untuk memberi komitmen terhadap pasangan dan pada masa sama menguruskan masa dengan bijak.
Bertemu dengan Maya, baru-baru ini, Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Anak Halal ini sasih seperti dulu, mudah senyum dan mesra dengan sesiapa saja.
Menyentuh kehidupan selepas kahwin, Maya menyatakan dia dan suami makin gembira apatah lagi mereka banyak menghabiskan masa bersama di rumah.
Namun, dalam gembira Maya juga akui mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan hidup berdua.
“Saya akui setiap perkahwinan melalui pelbagai cabaran dan kami juga perlu menyesuaikan diri dengan jadual kerja masing-masing supaya walau sesibuk mana sekalipun, kami masih mempunyai masa bersama di rumah.
“Hingga kini, kami masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga. Untuk mengekalkan kebahagiaan, saya fikir aspek perancangan keluarga perlu dititikberatkan. Malah, kualiti masa kami berdua perlu digunakan sebaik mungkin.
“Ada ketika kami juga sibuk dengan kerja hingga sukar menghabiskan masa bersama. Macam jadual kerja, suami saya bermula seawal jam 6 pagi manakala saya jam 11 pagi. Meskipun ada percanggahan masa, kami berusaha menyusunnya dengan baik,” katanya.
Sama seperti pasangan baru berkahwin, Maya turut diaju soalan sama ada kebahagiaan mereka kini bertambah dengan kehadiran insan baru iaitu anak.
Kata Maya, buat masa ini mereka masih mahu memberi tumpuan pada tanggungjawab masing-masing dan meletakkan harapan untuk mempunyai anak dalam tempoh dua tahun lagi.
Namun, melihat senario perkahwinan artis yang dilanda pelbagai dugaan hingga ada yang terpaksa mengambil jalan singkat untuk bercerai, Maya tidak terkecuali merasai kebimbangan dalam diri.
Katanya, dia terkejut dengan berita perceraian artis yang berlaku sejak kebelakangan ini yang mencatat sejarah terburuk dalam diari hiburan tempatan.
“Siapa yang tidak takut berhadapan dengan kegagalan berumahtangga. Saya juga terfikir mengapa kes cerai artis kerap berlaku sejak beberapa bulan lalu dan tahun ini rasanya yang paling teruk dalam sejarah artis kita.
“Mungkin bermacam punca mereka bercerai, tetapi saya minta maaf jika menyinggung perasaan sesiapa kerana saya berpandangan antara puncanya adalah kursus perkahwinan.
“Sebelum berkahwin dulu, saya dan suami turut mengikuti kursus kahwin selama dua hari, tetapi pada saya kursus ini sebenarnya tidak membantu pasangan untuk bersedia menjalankan tanggungjawab suami isteri. Kursus ini yang mengambil masa hingga 16 jam untuk dua hari dan ini pada saya tidak memberi sebarang faedah.
“Seharusnya pengisian kursus kahwin menekankan aspek komunikasi, toleransi, persefahaman dan menghormati pasangan. Fokus pada perhubungan suami isteri penting agar mereka tahu tanggungjawab selepas berkahwin,” katanya.
Menghitung pencapaian sepanjang tahun ini, Maya berkata, dia bersyukur dengan segala kejayaan yang diraih. Meskipun pada tahun ini Maya hanya muncul dengan satu filem iaitu Duyung berbanding tiga filem tahun lalu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya dan Waris Jari Hantu, Maya tetap gembira dengan pencapaian karier seninya.
Katanya, dia gembira kerana lakonannya diterima ramai tidak kira bangsa dan untuk azam tahun depan, Maya tidak meletakkan harapan berapa jumlah filem yang ingin dibintanginya.
“Jika ada tawaran menarik terhadap cerita dan watak yang ingin diberikan, saya terima. Atas pencapaian saya selama ini dalam bidang lakonan, saya fikir saya perlu bersikap selektif dalam memilih tawaran berlakon.
“Sebelum ini saya banyak bersabar untuk mendapat watak yang mampu membuktikan kehebatan saya sebagai pelakon hingga saya ditawarkan filem Pontianak Harum Sundal Malam.
“Bagaimanapun, hingga kini tawaran yang saya terima memberi cabaran baru pada saya seperti filem baru saya, Pisau Cukur arahan Bernard Chauly memberi saya peluang untuk belajar tarian ballroom.
“Tahun depan, mungkin saya berpeluang untuk bersilat dalam filem pula dan berharap mendapat tawaran berlakon dari luar negara.
“Aktiviti lain, saya kini sibuk dengan rakaman album baru. Ada rasa gementar selepas lima tahun tanpa album dan kini saya kembali semula menyanyi. Walaupun ada ketika ragu-ragu dan kurang yakin dengan album baru ini, saya bersyukur kerana rakan sekeliling saya memberikan sokongan.
“Sebenarnya saya pun tidak sangka masih ada peminat yang ingat pada lagu saya dan ada antara mereka yang terserempak dengan saya bertanya bila album baru saya hendak dihasilkan. Album ini yang turut berkolaborasi dengan komposer Audi Mok dijangka berada di pasaran pada Mac tahun depan.
“Walaupun saya merancang yang terbaik untuk album baru ini, ia juga sama seperti perkahwinan iaitu kita hanya mampu merancang, tetapi tuhan yang menentukan. Apapun, saya tidak mahu putus asa dengan apa yang saya lakukan,” katanya.
Dalam kesibukan di studio, Maya juga memberitahu dia akan muncul dengan program TV terbaru tidak lama lagi. Menariknya, program berkenaan menyaksikan Maya selaku pengacara yang bertanggungjawab melakukan kajian terhadap isu alam sekitar.
Buat masa ini, judul program sebanyak 13 episod itu masih belum diumumkan dan ia masih dalam proses penerbitan.
Masih berkaitan dengan alam sekitar, Maya juga dilantik sebagai duta sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Reef Check Malaysia yang bertanggungjawab dalam melindungi hidupan tumbuhan di dasar laut.
Kata Maya, dia gembira dengan pembabitan kerja sosial itu, tetapi sedih apabila kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar masih rendah.
>Profil
NAMA PENUH: Maya Karin Roelcke
TARIKH LAHIR: 20.10.1980
TEMPAT LAHIR: Bayreuth, Jerman.
KERJAYA: Pengacara, penyanyi, pelakon dan duta produk
FILEM: No Problem, Seri Dewi Malam, Pontianak Harum Sundal Malam,
Pontianak Harum Sundal Malam II, Jari Hantu, Anak Halal, 1957 Hati Malaya
dan Duyung.
PROGRAM TV: Wavelentgh, VJ Channel [V], Ratu Sehari dan pengacara
program Road To The Red Carpet, Sebalik Tabir Pembikinan Anugerah Akademi
ke-78 di Kodak Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.
ANUGERAH: Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di
Fukuoka, Jepun, Pelakon Terbaik Festival Filem Seram di Estepona,
Sepanyol, Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oskar anjuran Persatuan
Pekerja Filem Malaysia (PPFM) dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21.

Use the form below to search the site: