Anugerah Juara Lagu

HEBAT dan cukup memberangsangkan. Itulah antara gambaran diberikan pemerhati mengenai persaingan pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik kategori pop rock yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Semua peserta terdiri daripada enam artis solo dan enam berkumpulan memberikan persembahan sebaik mungkin bagi memastikan lagu ciptaan komposer dan penulis lirik dipertandingkan layak ke Anugerah Juara Lagu.

Bagaimanapun, pemilihan lagu yang berjaya ke peringkat akhir bagi kategori pop rock sudah dijangka awal memandangkan kelima-lima karya itu popular dan diminati ramai.

Selain itu, dari sudut komposisi dan penghasilan lirik, lagu yang layak mempunyai kekuatan tersendiri.

Melalui pengumuman dibuat pengacara Faizal Ismail dan Cheryl Samad, lima lagu yang berjaya ialah Yang Pernah (Estranged), Bukan Di Sini (Sofaz), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussien), Kalis Rindu (Elyana) dan Aku Stacy (Stacy).

Keputusan dibuat juri terdiri daripada komposer, Fauzi Marzuki, Yassin Sulaiman, Johan Nawawi, penulis lirik, Amran Omar, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Pengurus Besar Perisian dan Kandungan Primeworks Studios Sdn Bhd, Azhar Borhan memerangkap ketua juri pastinya menggembirakan kumpulan Sofaz.

Ini kerana lagu ciptaan sepenuhnya anggota kumpulan itu, Bukan Di Sini pada asalnya hanya menggantikan Ku Merindu ciptaan sepenuhnya Datuk Syed Elias Syed Ahmad.

Bukan Di Sini menarik diri di saat akhir kerana masalah penyanyi jemputannya Ella mempunyai komitmen lain pada hari pertandingan.

Anggota kumpulan Sofaz teruja dengan keputusan juri kerana sebelum pertandingan berlangsung mereka berasakan sebagai lagu yang menjadi pilihan kedua harapan untuk Bukan Di Sini terpilih ke peringkat akhir agak susah.

Jelas penyanyi utamanya Ameer, yang ditemui selepas pengumuman dibuat, sebelum naik pentas lagi Sofaz sudah sematkan dalam hati bahawa tidak mahu menaruh harapan tinggi sebaliknya tampil untuk memberikan persembahan terbaik.

“Tahun lalu kami turut layak ke peringkat akhir dan saya masih ingat waktu itu saya kurang sihat. Pada malam ini, saya juga kurang sihat, tetapi rasanya persembahan yang kami lakukan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Pemilihan juara musim lalu, kumpulan Estranged layak ke peringkat akhir dengan lagu terbaru, Yang Pernah, turut dijangka awal peminat mahupun pihak media.

Ini kerana selain ia berjaya menguasai carta stesen radio tempatan sebaik disiarkan, kumpulan ini berjaya mengekalkan momentum penghasilan karya yang baik seperti lagu terdahulu, Itu Kamu.

Anggota kumpulannya, Andy menjelaskan pihaknya percaya pemilihan Yang Pernah dibuat juri kerana ia satu karya yang baru dan segar.

Malah, berbeza dengan Itu Kamu.

Menjelaskan mengenai kemungkinan berasa tertekan kerana harus mempertahankan kejuaraan menerusi Yang Pernah untuk tahun ini, kata Andy, kumpulannya tidak terlalu memikirkan soal itu.

“Kami berterima kasih kepada pihak TV3 kerana menganjurkan pertandingan seperti ini yang membuka ruang untuk kumpulan seperti Estranged mengetengahkan karya dihasilkan kepada umum.

“Tidak timbul soal tertekan untuk mempertahankan kejuaraan, tetapi pada kami apa yang lebih penting adalah persembahan dibuat agar penonton puas. Kalau menang, ia satu bonus buat kami,” katanya.

Saingan rapat Yang Pernah dalam kategori pop rock ini adalah Lagu Untukmu dendangan Meet Uncle Hussien, kerana sejak disenaraikan layak bertanding ia sudah dijangka akan berjaya layak ke Juara Lagu.

Bagi anggota kumpulan ini, Lan, Taja dan Tas menjadikan pertandingan dianjurkan TV3 sebagai pentas untuk mereka mengetengahkan bakat, sekali gus membuka ruang kepada banyak lagi kumpulan yang bergerak sendiri (indie) untuk menyertai industri.

“Sebelum ini kumpulan Estranged sudah membuka ruang dan tahun ini kami meneruskan kelangsungan itu. Diharapkan pada masa hadapan lebih banyak lagi kumpulan akan tampil dan bersama-sama kami memeriahkan Juara Lagu,” katanya.

Dua artis wanita solo iaitu Elyana dan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy turut berjaya dengan lagu dipersembahkan.

Menarik pada malam pertandingan, Elyana menunjukkan kemampuan menyanyikan lagu Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad sambil duduk.

Katanya, persembahan sebegitu dibuat kerana dia berasa kurang selesa berdiri di atas pentas dengan memakai kasut.

“Pada saya, tumpuan utama yang harus diberikan kepada lagu didendangkan dan bukan penyanyinya. Kerana itu saya cuba memberikan persembahan terbaik walaupun harus menyanyi sambil duduk,” katanya.

Sementara itu, Stacy menjelaskan, dia gembira apabila lagu Aku Stacy berjaya layak ke peringkat Anugerah Juara Lagu memandangkan semua yang terbabit dalam penghasilan lagu itu termasuk penciptanya, Intan Norul Azlin dan Layla Ismail orang baru.

Dalam sidang akhbar selepas pertandingan ditimbulkan persoalan beberapa lagu yang dirasakan tidak sepatutnya disenaraikan dalam kategori pop rock. Contoh lagu Bukti nyanyian Fiq dihasilkan Tony Iskandar dan lirik karya Allahyarham Loloq.

Mengulas sebagai ketua juri, Azhar mengakui perkara itu berlaku.

Malah, katanya, semua juri berpendapat ada lagu tidak sesuai ditampilkan dalam kategori dipertandingkan.

“Perkara itu seharusnya ditanyakan kepada pihak penganjur (TV3) bagaimana kesilapan seperti itu boleh berlaku. Begitupun, ia mungkin disebabkan syarikat rakaman sendiri yang mencalonkan lagu dalam kategori terbabit. Atau pihak penganjur sendiri mengubah kategori dipertandingkan. Perkara ini seharusnya dilihat semula,” katanya.

Lagu lain yang turut bertanding dalam kategori pop rock, Separuh Masa (Edry Abd Halim) dan didendangkan kumpulan Flava, Mila Bila Cinta (Audi Mok/Ad Samad/Mila), Cinta Si Rama-Rama (Edrie Hashim/Hattan), Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq/Mila), Rimas (Cat Farish/Roxy Tail/The Faboulous Cat) dan Mabuk (Tam/Loloq/Spider).

Dengan pemilihan lima lagu pop rock ke peringkat akhir, bermakna lengkap sudah senarai lagu yang layak berentap ke Anugerah Juara Lagu yang akan berlangsung 18 Januari ini.

Malah Jumaat lalu, penganjur turut membuat kejutan apabila mengumumkan lagu Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Azelea turut layak ke peringkat akhir bagi kategori balada menjadikan 14 lagu layak ke Anugerah Juara Lagu.

Penganjur berpendapat, lagu dendangan Ziana Zain itu layak kerana kategori Balada menampilkan lagu lebih berkualiti berbanding kategori lain, sekali gus menguasai jumlah lagu iaitu enam berbanding lima untuk pop Rock dan tiga etnik kreatif.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply