ADA tiga pelakon drama TV di Malaysia yang bernama Rosnah dan dikenali ramai iaitu Rosnah Johari, Rosnah Mohd Noor dan Rosnah Mat Aris. Saya secara peribadi agak rapat dengan Rosnah Johari dan Rosnah Mohd Noor kerana beberapa kali berjumpa dan pernah menemubual mereka beberapa tahun lalu tetapi sepanjang menjadi wartawan hiburan, saya pun pelik kerana tidak pernah berkesempatan menemubual Rosnah Mat Aris.
Kini, Rosnah Johari masih aktif berlakon manakala Rosnah Mohd Noor sudah tidak aktif lagi berada di depan kamera kerana khabarnya sudah menjadi produser dan ahli perniagaan. Rosnah Mat Aris paling aktif berlakon dari dulu sampai kini dan dia juga memang laris terutama menerusi drama komedi.
Kalau tak silap pada Februari tahun lalu, nama Rosnah Mat Aris menjadi bualan ramai gara-gara dia terlepas cakap dalam satu rancangan hiburan TV3 yang dibuat secara langsung berjudul Sensasi. Rancangan Sensasi menjemput beliau menjadi tetamu di studio dan dalam satu topik yang diperkatakan Rosnah Mat Aris, dia dikatakan terlepas cakap dan ada unsur menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Saidina Siti Khadijah. akibatnya, berlaku kontroversi selepas itu.
Rosnah dalam rancangan Sensasi, dia mengeluarkan kenyataan secara sensitif mengenai usia isteri Rasulullah SAW dan perkahwinan mereka yang berbeza jarak usianya, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi tidak puas hati umat Islam. Ia merujuk kepada soalan mengenai diri Rosnah yang sering dikaitkan suka mendampingi lelaki lebih muda daripada usianya. Akibatnya, rancangan Sensasi diarah dihentikan oleh kerajaan menerusi Suruhan Jaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pada masa sama RTM bertindak menggam atau menggantung kemunculan Rosnah dalam mana-mana program atau drama siarannya untuk tempoh setahun.
Rosnah kemudian tampil meminta maaf secara terbuka dan mendakwa bukan niatnya menghina isteri Rasulullah. Dia juga membuat rayuan terhadap RTM. Kemudian kontroversi itu senyap tetapi rancangan Sensasi terus berkubur hingga sekarang, manakala Rosnah sudah boleh muncul semula dalam drama siaran RTM.
Namun, kontroversi Rosnah Mat Aris nampaknya kini berlaku lagi tetapi nadanya berbeza. Kali ini kontroversi berlaku apabila Rosnah dikatakan sudah bernikah dengan seorang pemuda berusia 27 tahun pada 13 November lalu di sebuah masjid di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur. Namun, cerita yang dianggap gosip pada awalnya dikatakan satu berita sahih sebab dalam Metro Ahad minggu lalu dilaporkan kenyataan daripada juru nikah masjid berkenaan yang mengakui menikahkan Rosnah Mat Aris dengan pasangannya pada jam 3.30 petang 13 November lalu.
Lebih sensasi, daripada kenyataan Rosnah yang selama berbelas tahun bergelar janda atau ibu tunggal pula, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mengatakan dirinya tidak bernikah lagi, malah beliau akui kini lebih selesa hidup didampingi empat anak serta lima cucunya. Situasi ini menjadikan berita yang dipaparkan jadi pelik, keliru dan membingungkan pembaca dan peminat Rosnah sendiri.
Apa yang lebih pelik ialah Rosnah enggan mengaku dia bernikah lagi sedangkan daripada sumber sahih mengakui dia sudah bernikah dan didaftarkan secara sah. B*Pop minggu ini mendapatkan sendiri maklumat daripada sumber paling sahih iaitu pihak yang berurusan dengan pendaftaran nikah Rosnah Mat Aris dengan suami barunya itu, Tajul. Apabila ditunjukkan bukti borang daftar nikah dan segala butir latar belakang pasangan itu kepada wakil B*Pop, ternyata ia memang sah perkahwinan itu. Apa lagi yang hendak dinafikan Rosnah?
Mungkin Rosnah malu kerana dulu isu dia dikritik dalam rancangan Sensasi berkait dengan gosip dirinya yang suka berkawan lelaki muda sehingga terlanjur kata mengaitkan usia Siti Khadijah yang berkahwin dengan Nabi Muhammad. Kini, dirinya juga sudah terjerat apabila dia sendiri bertemu jodoh dengan anak muda berusia 27 tahun, iaitu 26 tahun lebih muda daripada usia Rosnah sekarang.
Soalnya, kenapa dan apa motif sebenarnya Rosnah nak berahsia sampai begitu sekali? Kenapa Rosnah sanggup menipu pembaca, peminat dan masyarakat malah dirinya sendiri. -
