Bahtera perkahwinan
Read Here
Maya Karin akui faktor masa bataskan proses penyesuaian dengan suami
SUDAH empat bulan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Maya Karin Roelcke, melayari bahtera perkahwinan dengan pengarang jantung hatinya, Muhammad Ali Abdullah, 38 atau Steven David Shorthose.
Pasangan sejoli ini diijabkabulkan di Tasik Como, Bellagio, Itali pada 14 Ogos lalu. Baru-baru ini, sewaktu bertemu dengan wanita bermata cantik ini, tawa riangnya masih seperti dulu apatah lagi kehidupan rumah tangga yang baru dibina cukup membahagiakannya.
Secara tulus dan jujur, Maya mengakui kehidupan berdua yang sedang dinikmatinya kini bukanlah satu tanggungjawab semudah menghafal ABC. Susah sedikit katanya, apatah lagi faktor masa menjadi penghalang bagi mereka untuk menyesuai dan membiasakan diri.
Secara berseloroh, Maya menjelaskan, bayangkan suaminya bangun jam enam pagi untuk bekerja sedangkan dirinya masih dibuai mimpi.
Saat diaju dengan persoalan bilakah Maya dan suaminya bakal menerima kehadiran ‘orang ketiga’ di dalam hidup mereka, pintas Maya bersungguh-sungguh, setakat ini belum lagi ada tanda ke arah itu.
BERGAMBAR kenangan dengan Julian Hyde (kiri) dan Pengarah Reef Check Malaysia, Datuk Peter Wentworth sewaktu majlis ulang tahun kedua Reef Check Malaysia 2008.
“Dua tahun lagi untuk kami memikirkan soal anak dan inilah dinamakan perancangan keluarga. Biarlah kami nikmati masa berdua terlebih dulu sebelum mula memikirkan soal cahaya mata. Biarlah kita merancang selangkah demi selangkah. Sedangkan masa berdua pun agak sukar untuk diuruskan apatah lagi berbicara soal anak.
“Masa kami selalunya bercanggah tetapi andai ada masa terluang bersama, kami akan menikmati hidangan makan tengah hari di hujung minggu,” katanya sewaktu ditemui di majlis ulang tahun kedua Reef Check Malaysia 2008 di Hotel Melia pada 10 Disember lalu.
Tahun 2008 yang bakal melabuhkan tirai lebih kurang tiga minggu menyaksikan kes perceraian membabitkan artis di negara kita semakin bertambah hari demi hari. Situasi ini sedikit sebanyak membuatkan duta kepada International Year Of The Reef 2008 ini berasa gementar di hati.
Sebagai manusia biasa, Maya tidak boleh menghukum atau memberi komen secara lanjut mengenai permasalahan yang melanda ini. Cuma secara tegas, Maya Karin memberikan pendapatnya yang tersendiri mengenai pentingnya kursus kahwin dianjurkan dan dihadiri bakal pengantin baru. Cuma dia berharap isi kandungan dan inti pati kursus kahwin ini perlu dirombak kembali.
“Hampir setiap kali membaca surat khabar, reaksi saya pasti berbunyi, ada lagi?. Tapi saya tidak ada hak untuk berkata apa-apa secara khusus mengenai isu ini. Di dalam hati hanya mampu berdoa, mohon dijauhkan, minta simpang daripada terkena batang hidung sendiri.
“Kalau boleh saya ingin lihat ada pihak tertentu membuat penyelidikan dan bancian mengenai peratusan kes perceraian golongan selebriti dengan orang biasa. Kenyataan saya ini bukan berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak, cuma apa yang saya sendiri lalui sewaktu menghadiri kursus kahwin, saya berasakan ia tidak banyak membantu pasangan merencanakan hala tuju rumah tangga.
“Kualiti diadakan kursus kahwin itu perlu dilihat secara menyeluruh. Selama dua hari dalam durasi 16 jam menghadiri kursus kahwin, jujur saya akui tidak banyak faedah yang saya dapat. Saya tidak rasa program ini betul-betul fokus kepada aspek yang penting membina masjid.
“Saya ingat lagi, apabila pihak ini menunjukkan keratan apa yang perlu saya masak untuk suami sedangkan kursus ini perlu menekankan soal komunikasi, tolak ansur dan hormat menghormati di antara suami isteri,” katanya dalam nada serius.
Mahu kerjaya lancar pada 2009
MENGENAI perkembangan seninya, Maya baru saja selesai penggambaran filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly. Memegang watak Bella, Maya perlu berusaha keras menunjukkan kelainan dan lakonan penuh penghayatan kerana Bella digambarkan seorang wanita yang manja dan gedik.
Kata Maya, Februari dan April 2009, dia akan kembali ke gelanggang filem dan salah satu filem itu memerlukan Maya bersilat pula.
Mengikut perancangan ketika ini, Maya akan ke penggambaran filem seterusnya, namun belum ada kepastian dan memberi peluang kepadanya untuk fokus kepada proses menyiapkan program persekitaran yang dihoskannya.
Pada masa yang sama, Maya juga dalam rangka menyiapkan lagu singlenya dan Audi Mok antara komposer yang terbabit.
“Dunia nyanyian masih menjadi keghairahan dan minat saya. Sudah lima tahun saya tidak muncul dengan album dan lagu baru. Perasaan gementar, tidak yakin dan ada kala ragu-ragu masih melingkari perasaan saya untuk terus bernyanyi. Mujur pihak pengurusan saya begitu positif menyokong.
“Mengejutkan, ada juga orang awam contohnya seperti pengawal yang masih bertanyakan bila saya mahu bikin album dan terus menyanyi. Saya tidak sangka, orang yang tidak dikenali juga memberikan dorongan dan semangat untuk saya terus tegar menyanyi.
“Sepatutnya tahun ini saya sudah muncul dengan single, namun disebabkan beberapa perkara termasuklah menguruskan perkahwinan, semuanya terpaksa ditunda pada tahun depan. Harapnya saya akan terus menyambung apa yang saya sudah lakukan pada tahun ini. Moga kerjaya saya pada 2009 akan berjalan lancar dan sukses. Saya juga menanam cita-cita untuk ke peringkat antarabangsa, namun saya hanya mampu berharap dan terus bermimpi,” kata Maya yang pernah dikenali dengan lagu Erti Cinta.
Mengakui sangat selektif menerima tawaran berlakon, Maya memberitahu dia mengambil masa selama tiga tahun untuk membuktikan kepada khalayak yang dia sebenarnya boleh berlakon. Sebelum filem Pontianak Harum Sundal Malam mendekatinya, kata Maya, ada pihak yang lebih suka meminta dirinya bersara terus daripada bidang seni. Berkat percayakan rezeki dan masa akan tiba kepadanya untuk terus bersinar, Maya kini terus unggul di dalam liganya yang tersendiri.
Paling penting, Maya kini menarik nafas lega apabila dia bukan saja diterima baik golongan Melayu, sebaliknya seluruh kaum di Malaysia menyedari bakat dan kehadirannya. Seperti berlakon, Maya juga begitu memilih dalam soal menerima tawaran mengacara.
“Saya tidak menerima kerja mengacara secara mendadak dan tangkap muat. Saya lebih suka mengacara program yang menarik, berfaedah dan eksklusif. Yang penting program alam sekitar saya akan dilancarkan tidak lama lagi (kemungkinan besar pada tahun depan) dan Insya-Allah akan menjadi program yang lebih baik. Episod pengenalan program ini sudah dipersembahkan kepada stesen TV dan penaja. Ia mendapat maklum balas yang baik dan akan dipanjangkan daripada setengah jam menjadi sejam.
“Kalau jadi program ini akan diterbitkan sebanyak 13 episod. Program ini bukan seperti program Ratu Sehari yang saya pernah kendalikan sebelum ini. Untuk program ini, saya kena uruskan diri sendiri daripada A hingga Z. Saya yang kena mencari isu dan organisasi terbabit untuk melengkapkan program ini.
“Berbalik kepada kisah filem, alhamdulillah saya mendapat watak yang menarik. Strategi selektif saya itu mungkin hanya boleh dinilai 10 tahun lagi. Selepas filem Duyung, saya mengambil masa selama lima bulan untuk menerima tawaran berlakon Pisau Cukur. Jika filem Duyung memerlukan saya berenang dan menyelam, Pisau Cukur pula menuntut saya belajar menari tarian ballroom selama sebulan,” katanya.
INFO: Maya Karin
# Nama Penuh: Maya Karin Roelcke
# Tarikh Lahir: 29 Oktober 1979
# Tempat Lahir: Bayreuth, Jerman.
# Adik-Beradik: Anak sulung daripada tiga beradik. Adik lelakinya bernama Armin dan adik perempuannya Irina.
# Status: Berkahwin
# Suami: Muhammad Ali @ Steven David Shorthose
# Pendidikan: Limkokwing University Of Creative Technology, Pengajian Media dan Pemasaran.
# Kerjaya: Pelakon, Penyanyi dan Model
# Anugerah: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2001), Anugerah Media Hiburan (2001), Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (2004 di Fukuoka, Jepun), Pelakon Terbaik Estepona Fantasy and Terror Film Festival (2005 di Malaga, Sepanyol), Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oskar 2007, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 dan VJ Terbaik Buzz Editor’s Choice Awards (2006).
# Filem: Seri Dewi Malam, No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya dan Duyung
# Album: Erti Cinta dan Bukan Qalamaya

Use the form below to search the site: