Ikan tiga rasa dan udang mentega, antara menu ‘makan berdamai’ bakal pengantin baru, Asmawi Ani, 27, atau lebih dikenali sebagai Mawi dan Nora’shikin Rahmat, 29 atau Ekin yang akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, esok.
Majlis persandingan antara dua mempelai itu dijangka dimulakan pada kira-kira jam 8 malam dengan dihadiri kira-kira 1,200 jemputan membabitkan rakan, saudara-mara dan kenalan keluarga.
Ibu Ekin, Fatimah Saad, 53, berkata keluarganya merancang majlis sederhana tetapi meriah bagi menyambut menantu keduanya itu.
Menurutnya, tetamu akan dihidangkan nasi beriani gam, manakala hidangan istimewa ‘makan berdamai’ antaranya ikan tiga rasa dan udang masak mentega.
Katanya, selain bersanding dan menikmati makanan, tetamu akan dihiburkan dengan berzanji, marhaban dan tarian zapin oleh penari Yayasan Warisan Johor.
“Buat masa ini, kami sekeluarga agak sibuk berikutan majlis akan diadakan Sabtu ini namun Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
“Sekarang, hampir 90 peratus persiapan sudah selesai dan kami kini menumpukan persiapan terakhir sebelum majlis sebenar bermula,” katanya.
Menurutnya, mereka sedar ramai beranggapan Stadium Tertutup MBJB kurang sesuai untuk dijadikan tempat bagi satu-satu majlis perkahwinan, namun tidak sempat menempah dewan lain.
Ini kerana, katanya, keputusan untuk melangsungkan perkahwinan dan tempoh pertunangan singkat menyebabkan apabila mencari dewan lain, hampir semua penuh ditempah.
“Kami faham, antara kesukaran apabila mengadakan majlis di stadium berkenaan tempat letak kenderaan, namun percaya masalah itu boleh diatasi sekiranya orang ramai memberi kerjasama dengan petugas.
