ISU tangkap khalwat Norman Hakim dengan pelakon baru, Memey Suhaiza terus menjadi perbualan peminat dan masyarakat, termasuklah pihak dalam industri hiburan dan rakan artis. Cerita itu berkait juga dengan isteri Norman yang juga pelakon terkenal, Abby Abadi. Nama Abby sebenarnya lebih popular daripada Norman kerana sebelum ini beliau bukan saja dikenali sebagai pelakon siri Gerak Khas tetapi adalah penyanyi popular dari kumpulan Elite.
Sebaik saja kes tangkap khalwat tersebar, pihak media mula memburu Norman dan Memey, selain Abby. Kita tahu Abby baru saja melahirkan anak ketiga, hasil perkongsian hidupnya dengan Norman yang dikahwininya sejak enam tahun lalu.
Ada pihak bersimpati pada Abby terhadap apa yang menimpa rumah tangganya dek suami ditangkap khalwat. Ia bukan lagi soal gambaran benar atau salah suaminya dalam kes berkenaan tetapi kesan di hati si isteri tentunya akan terasa begitu pedih dan pilu apatah lagi sebelum ini Abby sememangnya resah dengan sikap Norman yang jarang pulang ke rumah tatkala Abby sedang sarat mengandung. Sebab itu ramai pihak bersimpati pada Abby kerana dugaan yang dihadapinya bukan calang-calang ujian. Kalau tak cekal dan kuatkan iman, boleh jadi ‘biol’ dibuatnya.
Namun, satu pihak lagi seolah-oleh membidas Abby dengan menganggap tindakannya terlalu beremosi kerana banyak memberi kenyataan mengenai luahan hati dan kekecewaan yang dialaminya kepada media massa. Pihak tertentu lebih suka Abby berdiam diri dan tak perlu untuk bercakap mengenai isi hatinya. Kenyataan yang diberikan kepada media dianggap terlalu mengikut perasaan dan cerita dalam kelambu tidak perlu untuk dikongsi oleh orang lain.
Kalau nak ikutkan, zaman moden ini tidak ramai lagi yang tidur malam menggunakan kelambu. Tetapi Abby memberi penjelasan kepada media dan berkongsi rasa dengan peminatnya bukan untuk mengaibkan suaminya atau mana-mana pihak tetapi Abby meluahkan segala duka lara dan nestapa jiwanya untuk dia mencari kekuatan. Secara psikologi jika kita tidak luahkan apa yang terbuku di hati dan ia menjadi makin berkecamuk dan berserabut, boleh mengundang derita berpanjangan. Apabila diluahkan, tentulah Abby akan berasa sedikit puas dan mencapai kelegaan buat seketika kerana isi hatinya dapat diluahkan, lebih-lebih lagi dia sekarang masih lagi menanggung sakit kelahiran anak ketiga.
Abby juga sedar, kenyataannya itu tentunya mahu didengar oleh wanita lain untuk berkongsi perasaan dan untuk peminatnya supaya mengetahui sejauh mana dirinya terpaksa menghadapi kemelut yang cukup menyiksakan ini. Kita harus faham derita jiwa dan tangisan hati yang sedang dialami Abby. Selain kita bersimpatri terhadap dirinya kita juga harus membiarkan dia untuk meluahkan apa yang mahu dikatakannya. Abby ada hak untuk beremosi kerana dia menjadi mangsa.
Bayangkan seorang isteri yang baru habis berpantang kemudian mendapat berita mengejutkan suaminya ditangkap khalwat. Tentunya ia perlu ketabahan luar biasa tetapi sejurus insiden itu berlaku Abby masih boleh bersabar dan dia masih boleh mengiringi suaminya dan memandu kereta untuk membawa Norman ke mahkamah syariah.
Selepas beberapa hari, Abby tampil dengan tindakan yang tidak disangka. Selepas gagal dalam permohonan fasakh di mahkamah syariah, Abby mencari suaminya itu di lokasi penggambaran drama Gerak Khas. Terjadilah babak realiti drama antara pasangan suami isteri itu. Sebelum itu wartawan juga hadir di mahkamah berkenaan dan akibat tekanan dan mungkin fikirannya celaru dan masih sedang marah, dalam masa sama ketika itu dirinya menjadi tumpuan wartawan, tentulah Abby memberitahu wartawan yang hadir di situ untuk mengikutnya bertemu Norman. Maka terjadilah peristiwa ‘drama sebabak’ di lokasi penggambaran drama. Insiden seperti itu memang tak pernah berlaku membabitkan mana-mana artis tetapi kita harus faham derita dan ketegangan yang Abby dihadapi ketika itu.
Ramai menyalahkan Abby kerana dituduh sengaja memanggil wartawan mengikutnya untuk menemui suaminya di lokasi penggambaran. Tetapi cara ajakan Abby bukannya dia menelefon wartawan atau sengaja tetapi ia kebetulan daripada kegagalan Abby untuk menuntut fasakh di mahkamah. Berilah ruang untuk Abby menenangkan fikiran selepas apa yang menimpa nasibnya sebagai seorang isteri. Luahan emosi yang dilakukan adalah jalan terbaik untuknya mencari dan membina kekuatan semula.
