SERING kali Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tampil membantu dan menyelesaikan masalah yang membabitkan golongan artis.
Menerusi skim pencen yang diperkenalkan empat tahun lalu Karyawan bertindak membela nasib artis veteran mahupun hilang upaya.
Kini Karyawan mempunyai 26 artis di bawah skim ini dan mensasarkan 50 penerima menjelang 2010.
Sebelum ini, Karyawan juga menghantar satu memorandum bantahan kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor mengenai kuota 90:10 yang ingin disyaratkan kepada stesen radio tempatan iaitu 90 peratus penyiaran lagu tempatan manakala baki diberikan pada karya luar negara.
Namun, biar apapun keputusan yang dicapai, Karyawan sentiasa memastikan usaha mereka tidak terhenti begitu saja.
Muktahir ini, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez turut mengambil langkah proaktif dengan menghantar satu surat kepada Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengusulkan tiga perkara yang mempunyai kaitan dengan nasib artis.
Perkara utama adalah membuat aduan mengenai Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd atau Prism yang dikatakan gagal menunjukkan prestasi selepas lapan tahun menjalankan operasi.
Kata Freddie, Prism yang ditubuhkan pada 2001 bertanggungjawab membayar royalti kepada artis yang menjadi ahli. Turut mendaftar ahli Karyawan sebagai ahli Prism, bagaimanapun mereka tidak diberi sebarang keterangan selama tujuh tahun mengenai status kewangan, jumlah kutipan yang dibuat, butiran keluar masuk wang Prism dan perkara lain berkaitan kewangan.
Di samping itu, Karyawan mempersoalkan organisasi Prism yang tidak mengadakan pemilihan dan pelantikan jawatan pengerusi atau lembaga pengarah secara demokratik hingga menafikan hak ahli untuk memilih calon yang layak.
Berdasarkan perjalanan Prism sejak tujuh tahun, tiada sebarang usaha untuk mendaftar lebih ramai ahli khusus artis muda.
Sambil mempersoalkan kedudukan Datuk Aziz Bakar sebagai Presiden Prism, Karyawan melihat hanya penyanyi dan pemuzik yang layak menjadi ahli persatuan itu dan mendapatkan royalti.
Sebaliknya nasib pelakon tidak diberi perhatian hingga menunjukkan kelemahan Prism dalam menjaga hak pelakon.
“Prestasi Prism sebagai badan kutipan royalti amat mengecewakan berbanding Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) dan Badan Persembahan Awam Malaysia Sdn Bhd (PPM) yang mengutip lebih RM25 juta tahun lalu manakala kutipan Prism tidak sampai RM1 juta.
“Pengedaran royalti Prism sebelum ini hanya diadakan dua kali iaitu pada 2005 dan 2006 manakala bayaran royalti hanya RM300 diberikan kepada setiap artis.
“Kami menulis surat kepada Prism awal tahun ini untuk membincangkan hal berkenaan, tetapi tiada jawapan dari mereka walaupun mereka mengesahkan ada menerima surat kami.
“Kami berharap Kementerian Penerangan dapat bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat siasatan terperinci mengenai semua aktiviti Prism sebelum ini,” katanya.
Perkara kedua pula Karyawan meminta penjelasan mengenai kes pelakon Wan Nor Azlin yang pernah mencetuskan kontroversi video peribadi bersama suami. Walaupun kes itu sudah empat tahun berlalu, tetapi kebanyakan produser masih ragu untuk mengambilnya berlakon kerana bimbang drama lakonannya tidak disiarkan RTM.
Katanya, Karyawan berharap satu kenyataan terbuka dibuat atau arahan diberikan kepada RTM yang membenarkan pelakon itu mengambil bahagian dalam mana-mana penerbitan termasuk drama.
Perkara ketiga pula, Karyawan memohon agar diberikan peluang kepada artis untuk menerbitkan program televisyen menerusi beberapa cadangan seperti program realiti terbaru membabitkan artis popular dengan tokoh korporat, persembahan lagu evergreen yang dinyanyikan artis muda dan program bual bicara membincangkan isu semasa.
“Karyawan mempunyai pelbagai bakat sama ada pelakon, pengarah, penerbit, pemuzik, penyanyi, penari dan tenaga kerja yang diperlukan untuk sebuah produksi. Kami berharap dengan kekuatan yang ada, RTM dapat memberi peluang pada kami untuk menerbitkan program TV.
“Kami mempunyai banyak idea mengenai program TV menarik yang dapat memeriahkan senarai program RTM. Sebelum ini RTM memberikan peluang pada Persatuan Seniman Malaysia dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) untuk menerbitkan program, tetapi malangnya Karyawan tidak mendapat perhatian langsung dalam hal ini,” katanya.
