Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cuba menyelinap keluar rumah melalui tingkap bilik tidurnya di tingkat 11 sebuah pangsapuri dengan meniru aksi memanjat dinding ala ‘Spider-Man’ membawa padah apabila dia terjatuh, semalam.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Joye, 10, dipercayai keluar dari tingkap bilik tidurnya di sebuah pangsapuri 17 tingkat di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini.
Menurutnya, murid sekolah rendah itu dipercayai merancang mahu melarikan diri dari rumah.
“Bagaimanapun, dia yang terkurung nekad cuba keluar melalui tingkap biliknya.
“Tindakan berani mangsa itu dipercayai dipengaruhi filem pernah ditontonnya. Adegan dalam filem itu tampak mudah menyebabkan mangsa cuba meniru,” katanya.
Bagaimanapun, ketika sedang memanjat tingkap pangsapuri itu, dia tergelincir sebelum terjatuh atas jalan di bawah pangsapuri itu.
“Mangsa yang parah di kepala mati serta-merta di tempat kejadian. Mayatnya yang ditemui penduduk pangsapuri itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat,” katanya.
Difahamkan, mangsa cuba lari dari rumah berdasarkan penemuan sebuah beg galas bersamanya.
“Pemeriksaan terhadap beg galas itu menemui satu komputer riba, pakaian, berus dan ubat gigi yang sengaja dibawa sebagai bekal untuk meninggalkan rumah,” katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui di bilik mayat PPUKM enggan memberi sebarang ulasan.
Kejadian itu mengulangi insiden sama empat bulan lalu apabila seorang gadis maut selepas tali yang digunakan untuk turun melalui tingkap di tingkat sembilan sebuah kondominium mewah di Bukit Kiara di sini, terputus ketika cuba melarikan diri dari rumah untuk bertemu kekasihnya.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 22 tahun parah di kepala dan tubuh.
Lebih mengejutkan apabila bedah siasat mendapati mangsa mengandung beberapa bulan hasil hubungan dengan teman lelakinya.
Sebelum itu, Ayuna, 15, anak pelakon Mustapha Kamal turut terjatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium di Taman Desa, Jalan Kuchai Lama pada 21 Oktober. Mangsa adalah anak penerbit drama, Yong Rahimah Johari hasil perkahwinan kedua dengan Mustapha Kamal.
Ayuna yang baru menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hampir dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
