kerjaya seni Norman dan Memey Dalam Dilema

SEPANJANG minggu ini memang riuh dan kecoh dengan isu rumah tangga pelakon Norman Hakim dengan Abby Abadi, berikutan kes tangkap khalwat Norman dengan artis baru, Memey. Soal sama ada Norman dan Memey bersalah atau tidak, tunggulah pendakwaan dan perbicaraan terhadap mereka.

Begitu juga soal sama ada Norman dan Abby akan bercerai secara sah, hanya masa yang menentukan. Sekarang keadaan masih panas. Ramai juga peminat yang menghubungi pejabat B*Pop untuk meminta nombor telefon Norman dan Abby. Mereka hendak hubungi Norman sendiri kerana mahu hamburkan kemarahan pada Norman dan ada peminat mahu hubungi Abby untuk beri kata-kata semangat. Agak pelik situasi begini kerana cerita artis nak bercerai selalunya kerap terjadi tetapi kes Norman dan Abby jadi berbeza, malah aksi pertengkaran suami isteri itu yang berlaku di lokasi penggambaran drama menjadi sejarah menarik dalam dunia hiburan tahun ini. Maknanya, insiden yang sememangnya satu realiti itu macam babak drama pula.

Dalam menunggu sejauh mana keadaan ini akan berlanjutan, hanya masa menentukan. Soalnya sekarang, keadaan sebegini sebenarnya memberi kesan buruk terhadap kerjaya seni Norman mahupun Memey. Masyarakat sebenarnya sudah menghukum Norman dan Abby. Simpati akan lebih bertumpu pada Abby apatah lagi Abby baru saja bersalin dan sebaik habis saja pantang, dia dapat tahu suaminya ditangkap khalwat. Bukan calang-calang dugaan yang ditempuh Abby. Jadi, ramai akan rasa simpati terhadap Abby dan di sini memperlihatkan Abby tidak bersalah apa pun dan menjadi mangsa sikap suaminya.

Malah, peminat dan masyarakat kini mula memandang ‘curiga dan serong terhadap Norman dan Memey gara-gara kes tangkap khalwat mereka. Mereka tidak kira lagi soal salah atau tidak sebaliknya apabila sudah ditangkap khalwat dalam satu pejabat pada jam 2 pagi, pelbagai andaian boleh dibuat. Ia disebabkan bukan soal mereka bercinta atau ada hubungan sulit antara seorang artis remaja dengan suami orang tetapi soalnya ialah sebelum berita tangkapan khalwat mereka, bertubi-tubi mereka saling membuat kenyataan media mengenai gosip cinta mereka selama ini.

Mereka menafikan gosip itu bagai nak rak, malah siap dengan pelbagai kenyataan yang sekali baca memang sesiapa saja boleh mempercayainya. Malah, kenyataan Memey dalam sebuah akhbar memperlihatkan dia memang licik untuk bersandiwara dengan wartawan. Begitu juga Norman, dia sanggup menipu wartawan semata-mata untuk mengelak cerita benar hubungan intim dia dengan Memey akan terbongkar. Namun, akhirnya segala tembelang pecah berderai dan satu negara terkejut dengan apa yang berlaku.

Selepas ini, kerjaya seni Norman dan Memey juga akan menghadapi risiko kerana isu ini boleh menyebabkan peminat mereka muak dan mual dengan sikap mereka, lalu tidak lagi meminati lakonan mereka. Peminat di Malaysia lain sikit kerana soal peribadi mempengaruhi rasa minat mereka terhadap seseorang artis itu. Jadi, risiko di sini bererti selepas ini lakonan Norman akan menjadi kebosanan pada penonton dan tentunya Norman akan mengambil masa lama untuk membaiki keadaan ini.

Begitu jug Memey. Sebagai pelakon baru, sebenarnya ramai lagi yang belum kenal dirinya. Malah, ramai tidak tahu pun apa drama atau filem lakonannya. Kini, nama Memey menjadi popular mendadak dek isu tangkap khalwat. Jadi, Memey mungkin sukar untuk mencipta nama sebagai pelakon yang berjaya ekoran insiden ini. Mungkin ramai mula membenci Memey yang dilihat baru saja nak jadi artis sudah terbabit dalam skandal cinta dengan suami orang. Inilah harga yang harus dibayar oleh Memey. Sesuatu harus dilakukannya untuk membersihkan namanya.

Semua yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya. Bagi artis lain yang masih suka dan tengah asyik mencipta skandal cinta dengan suami orang atau isteri orang, eloklah beringat dan insaf. Bagi mereka yang sudah beristeri, fikirlah banyak kali kalau bercadang untuk beristeri dua atau tiga. Jangan rosakkan hati insan lain semata-mata mahu menggembirakan hati sendiri.

Sudah terbukti tidak pernah ada tupai yang pandai melompat di atas apa jenis pokok sekali pun, tidak pernah jatuh ke tanah…

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply