Krisis semasa ekonomi dunia menyebabkan pelbagai pilihan dicari untuk membekalkan tenaga elektrik yang akan menggerakkan kehidupan harian manusia. Kesedaran yang semakin meningkat terhadap keburukan bahan api berasaskan fosil terhadap alam sekitar menyemarakkan lagi usaha berkenaan.
Sememangnya diketahui penjanaan tenaga elektrik kini berkisar kepada penggunaan minyak, gas, arang batu, hidro dan nuklear, timbul persoalan kenapa pilihan tidak diberikan kepada sumber tenaga suria, sesuatu yang mudah diperoleh dan percuma.
Sebagai sebuah negara yang terletak di kawasan khatulistiwa, pastinya penggunaan sumber matahari dilihat lebih wajar ketika negara berura-ura untuk menggunakan tenaga nuklear yang didakwa berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.
Presiden Persatuan Photovoltik Industri Malaysia (MPIA), Shamsudin Khalid berkata, Malaysia mempunyai kadar sinaran sumber matahari yang sangat tinggi berbanding negara Eropah harus mengambil peluang tersebut melalui teknologi photovoltik.
Sambil mendakwa teknologi itu menawarkan kelebihan yang banyak, Photovoltik adalah aplikasi sel solar yang boleh menukarkan cahaya matahari secara terus kepada tenaga elektrik menggunakan panel solar silikon yang nipis dan kebiasaannya ditempatkan di atas bangunan atau kawasan luas yang terdedah secara terus kepada sinar matahari.
Kelebihan yang diperoleh dengan penggunaan photovoltik ini adalah setiap satu kilowatt tenaga yang disimpan boleh menjana 4200 kilowatt sejam tenaga elektrik dalam setahun.
Ini merupakan penjimatan kira-kira 1000 liter minyak serta mengurangkan pelepasan gas karbon sebanyak 2500 kilogram setahun.
Penjimatan itu adalah bagi setiap satu pengguna persendirian atau korporat, bayangkan sekiranya semua rakyat Malaysia menggunakan sistem photovoltik ini berapa banyak penjimatan dapat dilakukan.
Shamsudin berkata, apa yang menarik mengenai panel solar ini adalah ia boleh diletakkan di mana-mana asalkan dapat menerima cahaya matahari, ini juga dapat menjimatkan kos pembinaan loji menjana elektrik seperti sedia ada dan ia dapat bertahan untuk tempoh 20 hingga 30 tahun.
Sehubungan itu, Malaysia berpotensi untuk membangunkan teknologi ini bagi mengurangkan pengantungan terhadap arang batu, minyak dan mungkin melupakan hasrat untuk membangunkan penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga nuklear.
”Negara-negara maju seperti Jepun dan Jerman yang memiliki program nuklear mereka sendiri turut memajukan penjanaan tenaga elektrik menggunakan photovoltik ini menunjukkan kelebihan yang ketara ditawarkan oleh teknologi ini yang lebih mesra alam,” jelasnya.
Namun begitu, photovoltik mempunyai masalah yang tersendiri seperti kos yang tinggi untuk menyediakan panel solar tersebut, tetapi kebanyakan syarikat pembuat panel berkenaan sedang berusaha mengurangkan harga kos bagi menggalakkan pengguna individu menggunakannya.
Selain itu, kerajaan digalakkan membantu dengan memperkenalkan pelbagai insentif bagi menggalakkan pengguna mendapatkan panel ini dengan pemberian subsidi atau sebagainya.
Pada masa yang sama, kerajaan juga digesa mempunyai polisi yang jelas untuk menggalakkan pembangunan langkah alternatif dalam menjana tenaga elektrik terutama bagi tenaga solar ini.
Pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai juga adalah penting dalam usaha menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih mesra alam dan kelebihan yang boleh didapati dengan menggunakan tenaga solar ini.
Secara keseluruhannya negara perlu berfikir dengan sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang keputusan, kerajaan perlu mencari cara yang lebih selamat dan menjimatkan bagi menjana tenaga elektrik.
Sekiranya kerajaan berhasrat membangunkan teknologi ini, ia dapat terus dimulakan dengan segera selain kos panel yang mahal kelemahan teknologi ini adalah sangat minimal dan ia dapat dibangunkan dengan segera tanpa perlu menunggu sehingga 15 tahun untuk dibangunkan.
