Jaminan daripada Menteri Penerangan legakan Wan Nor Azlin
KEKELIRUAN mengenai kedudukan pelakon, Wan Nor Azlin Wan Hussain muncul di RTM yang pernah mencetuskan keraguan di kalangan penerbit drama untuk mendapatkan khidmatnya terlerai dengan jaminan yang diberikan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Jaminan itu dibuat dalam pertemuan antara pelakon yang pernah dikaitkan kontroversi, empat tahun lalu itu dengan Ahmad Shabery dan turut disertai Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez di lobi Parlimen, petang Selasa lalu.
Hela nafas lega mengiringi detik ‘penentuan’ itu, malah luahan rasa syukur atas pengertian serta timbang rasa Menteri Penerangan cukup membuatkan Wan Nor Azlin terharu.
“Sebelum ini penerbit yang menawarkan watak besar kepada saya terpaksa menimbang semula tawaran diberikan kerana bimbang ditolak oleh stesen televisyen dan menyebabkan mereka rugi.
“Disebabkan itu saya berharap sangat isu ini segera diselesaikan. Selain menjernihkan keadaan, saya juga ingin kepastian mengenai status serta kedudukan apakah sememangnya saya digam atau sebaliknya?
SHABERY menjelaskan pendirian RTM mengenai kekeliruan penerbit drama berkaitan kedudukan sebenar pelakon, Wan Nor Azlin.
“Alhamdulillah, jaminan yang diberikan Menteri Penerangan cukup melegakan. Saya sangat berterima kasih dengan keprihatinan beliau.
“Begitu juga dengan Persatuan Karyawan yang sentiasa berada di belakang saya untuk membantu menyelesaikan segala kemelut yang dihadapi. Tanpa mereka sukar untuk saya berdepan dengan masalah ini sendirian,” katanya mengulas berita gembira itu.
Hampir sebulan lalu, Wan Nor Azlin menerusi Persatuan Karyawan menulis surat kepada Kementerian Penerangan memohon penjelasan mengenai statusnya apabila penerbit menggugurkan namanya daripada memegang watak utama.
Disebabkan tiada kenyataan yang dikeluarkan secara rasmi mengenai kedudukan sebenarnya, membuatkan ramai produser bimbang untuk memperjudikan produk mereka.
Situasi itu luah Wan Nor Azlin, meletakkannya dalam kekeliruan kerana tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan mengenai kedudukannya kepada penerbit.
“Saya tidak menyalahkan mereka jika menyimpan rasa ragu untuk memberikan watak besar. Selagi belum menerima sebarang kenyataan hitam putih mengenai kemunculan di kaca televisyen, selama itu saya akan terus dihimpit dalam dilema ini.
“Sedangkan saya perlu meneruskan hidup dan tiada cara lain untuk saya mencari pendapatan kecuali dengan berlakon kerana hanya bidang ini yang saya mahir,” katanya.
Kata Wan Nor Azlin, jaminan yang diberikan Ahmad Shabery juga memberinya lebih ruang untuk terus meneroka peluang apatah lagi ketika ini dia perlu bekerja keras mencari wang untuk menyara keluarga.
“Jaminan Menteri Penerangan itu dibuat tepat pada masanya. Saya perlukan pekerjaan untuk menyara anak-anak selepas suami menghilangkan diri. Dengan adanya jaminan itu, saya berharap penerbit tidak lagi bimbang atau ragu-ragu untuk mendapatkan khidmat saya dalam produksi mereka.
“Apatah lagi, selepas bertudung watak untuk saya agak terhad. Saya perlu mencari peluang lebih besar supaya dapat menampung kehidupan kami anak beranak,” kata ibu tiga cahaya mata itu.
Penerbit wajar beri peluang berlakon
SEMENTARA itu, Freddie yang dihubungi berharap penerbit tidak lagi ragu untuk memberikan watak bersesuaian kepada pelakon itu.
Katanya, dengan penjelasan yang diberikan Ahmad Shabery, penerbit tidak perlu lagi takut atau was-was kerana semua persoalan yang bermain di minda mereka selama ini sudah terjawab.
“Berikanlah dia peluang kerana sebagai pelakon yang mempunyai bakat besar, kelebihan yang dimiliki Wan Nor Azlin tidak sepatutnya disia-siakan. Karyawan menyambut baik keputusan ini, malah berterima kasih kepada Menteri Penerangan yang sedia mendengar luahan hati insan seni yang memerlukan pembelaan.
“Daripada apa yang saya fahamkan, Wan Norazlin tidak pernah mempunyai masalah untuk muncul di mana-mana stesen televisyen sama ada di RTM atau swasta.
“Jadi isu dia digam atau sebaliknya tidak pernah timbul, cuma mungkin disebabkan tiada pihak yang memberikan kenyataan rasmi membuatkan penerbit ragu-ragu untuk mendapatkan khidmatnya dalam produk terbitan mereka,” katanya.
Freddie turut bersyukur kerana usaha mereka sejak sebulan lalu sudah menemui jalan penyelesaian dan berharap, penggiat industri akan terus memberikan sokongan kepada Wan Nor Azlin.
Akhbar Rabu lalu melaporkan Ahmad Shabery sebagai berkata, walaupun Wan Nor Azlin pernah melalui detik hitam dalam hidup sebelum ini tetapi itu bukan halangan kepada RTM untuk menyiarkan program membabitkan pelakon berkenaan.
Katanya, selagi Wan Nor Azlin tidak melakukan kesalahan jenayah hingga menyebabkan ditahan atau didakwa di mahkamah, tidak wajar dia dihukum atau digam stesen televisyen.

