Makin mesra selepas berlakon bersama dalam telefilem Lemas Dalam Cinta
MASIH terlalu awal untuk meramal, memperkata atau menafsir mengenai hubungan pelakon dan hos berbadan sasa, Fahrin Ahmad dengan pelakon baru yang semakin mendapat perhatian, Scha Yahya. Kemuncak kepada ledakan hubungan mereka hingga mencetus ‘sesuatu’ tanggapan ialah ketika mereka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) penghujung Oktober lalu.
Apa pun, kisah ini sedikit sebanyak menenggelamkan seketika perhatian serta kemelut Fahrin sendiri dengan rakan pengacaranya, Linda Onn menerusi program Sehati Berdansa. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi selama ini.
Ketika ini, sama ada baik Fahrin mahupun Scha sendiri, mereka tidak berselindung mengenai persahabatan yang sudah terjalin. Hanya masa yang menjadi faktor penentu kepada sejauh mana hubungan mereka bakal dikelaskan.
“Macam saya cakap sebelum ini, saya berpijak kepada alam realiti dan tidak akan berselindung mengenai apa juga kemungkinan yang bakal saya dan Scha lalui nanti. Ya, kami memang berkawan dan mula rapat sejak awal September lalu sewaktu terbabit dengan penggambaran telefilem Lemas Dalam Cinta. Itu lakonan sulung yang menyatukan kami berdua di kaca TV.
“Saya cuma berharap sebagaimana pasangan lain, berilah masa untuk kami berkawan dan jangan timbul spekulasi yang bukan-bukan. Cuma saya tidak mahu lagi meletakkan perhubungan saya dan Scha sebagai `teman tapi mesra’.
Scha
“Kami masing-masing mempunyai keluarga dan perlu menjaga banyak hati ramai pihak. Jika kami tidak berselindung, kami juga berharap semua pihak akan menghormati langkah dan keputusan kami,” jelas Fahrin.
Katanya, menyedari usianya yang semakin meningkat, dia juga berasakan sama seperti orang lain mahu menjalani kehidupan normal.
“Jangan risau, apa juga yang bakal terjadi pada waktu mendatang mengenai hubungan kami, saya akan beritahu,” katanya.
Kalau mahu diukur pengalaman seni, Fahrin lebih dulu berada dalam bidang ini berbanding Scha. Lalu, terbit juga kebimbangan di hati Fahrin terhadap apa juga perhatian yang sedang diraih Scha kini apabila hubungan mereka mula menjadi hidangan dan tatapan umum.
Fahrin
Menurut Fahrin, dia tidak mahu hubungan baiknya dengan Scha yang diberi perhatian berlebihan kerana ini sedikit sebanyak memberi tekanan sehingga mampu menjejaskan hubungan mereka.
Menyenangi sikap Scha, Fahrin juga meyakini kepada kewujudan Scha sebagai pelakon pelapis yang perlu diberi perhatian.
“Scha masih baru di dalam industri seni dan apabila hubungan kami menjadi perhatian. Saya kasihan dan terperanjat dengan perhatian yang diberikan kepadanya. Saya tidak mahu kerana tekanan ini termasuk daripada pihak media serta gosip yang berterusan ini akan memberi kesan kepada persahabatan kami yang baru saja bermula.
“Dia sangat bijak, periang dan satu perkara yang saya lihat, kematangannya melebihi usianya. Dia dikurniakan paras rupa dan bakat serta sangat merendah diri,” jelas Fahrin yang turut berlakon di dalam Fara musim ketiga di TV3 dan sibuk memenuhi jadual promosi sebagai ikon Celcom.
Dia lelaki yang budiman
SEMENTERA itu, Scha tenang saja apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Fahrin.
Dia yang kini sedang giat menjalani penggambaran drama bersiri Awan Dania, mengakui berasa selesa dan serasi bersama anak muda kelahiran Johor Bahru itu.
Pelakon berusia 25 tahun yang bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul Histeria itu juga, menjelaskan dia tidak mempunyai ramai rakan lelaki, lebih-lebih lagi yang dianggap akrab seperti Fahrin.
Begitupun dalam mengulas lebih lanjut hubungannya dengan Fahrin, Scha tidak menafikan kemungkinan untuk berputik perasaan cinta tetapi ketika ini biarlah ia bermula sebagai kawan terlebih dulu.
PROFIL: Sacha
# Nama sebenar: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir
# Tarikh lahir: 30 Mei 1983
# Asal: Sungai Petani, Kedah
# Adik-beradik: Anak kedua daripada empat beradik
# Akademik: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL
# Profesion: Model iklan dan pelakon
# Drama: Impian Illyana, Honeyz, Bella
# Filem: Antoo Fighter, Histeria, Papadom
INFO: Fahrin Ahmad
# Berasal dari Johor Bahru dan dilahirkan pada 9 Mei 1979
# Profesionnya sebagai usahawan, pengacara, pelakon dan model.
# Drama pertama lakonannya ialah Salina dan filem pula ialah Qaisy & Laila.
# Pernah bergandingan dengan Ziana Zain untuk dua telefilem iaitu Tetamu Allah dan Nur Kasih Di Jabal Rahmah terbitan Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
# Telefilem lain yang pernah dibintanginya Kau Mencipta Dosaku, Qasidah Buat Laila dan Tasbih Cinta.
# Pernah berlakon filem Persona Non Grata, Puaka Tebing Biru dan 9 September
# Antara drama lakonannya ialah Simbiosis, Villa Cinta Daddy, Graduan, Elit dan Dalam Hati Ada Cinta.
