Perbuatan wartawan Iraq, Muntadar Al Zeidi membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush

Perbuatan wartawan Iraq, Muntadar Al Zeidi membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush pada sidang akhbar Ahad lalu, terus menjadi bahan bualan hangat di seluruh dunia.

Muntadar berdepan kemungkinan dipenjarakan jika sabit kesalahan atas tuduhan menyerang dan memalukan pemimpin asing.

Ketika nasib wartawan itu menjadi tanda tanya, rakyat Iraq dan ramai warga dunia menyokong tindakannya itu yang dilihat sebagai ‘sangat patut dilakukan’. Muntadar kini dianggap sebagai hero terutama oleh dunia Arab.

Peristiwa dan reaksi positif Bush dibaling kasut jelas mencerminkan sentimen kebencian terhadap beliau kerana mengarahkan pencerobohan tentera ke atas Iraq pada 20 Mac 2003.

Menurut jurnal perubatan Lancet, kira-kira 600,000 rakyat Iraq terkorban sepanjang pencerobohan tersebut walaupun angka kematian itu dipersoalkan oleh pihak berkuasa AS.

Sehingga hari ini, Iraq tidak pernah aman dan nyawa rakyatnya seperti tiada nilai. Maka kita boleh faham kewajaran tindakan Muntadar. Ia juga boleh memberi mesej kepada bakal Presiden AS, Barrack Obama agar mengambil pengajaran daripada tindakan menindas negara lemah.

Tetapi apa maknanya setakat berseronok dan rasa puas melihat Bush dibaling kasut? Apa sahaja dilakukan sekarang sudah terlewat dan tidak dapat menyelamatkan Iraq yang telah musnah dan ternoda. Persoalannya, cukupkah ikhtiar kita untuk menghalang pencerobohan AS sebelum ini? Yang sedihnya ada negara Islam turut membantu kuasa besar itu menyediakan kemudahan tentera dan lokasi melancarkan serangan. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang lebih diletakkan harapan, juga gagal. OIC yang Malaysia turut anggotai seperti biasa, lebih banyak bercakap daripada bertindak.

Pemimpin seperti Bush sebenarnya sudah bersedia untuk hadapi bukan setakat balingan kasut malah apa sahaja termasuk risiko dibunuh. Jika mati sekalipun, Bush sebenarnya telah berjaya menyempurnakan agenda pentadbirannya menawan Iraq yang mempunyai kedudukan strategik dan kaya minyak, menghapuskan Saddam yang anti-AS dan mengukuhkan lagi survival sekutu utamanya, Israel.

Baru-baru ini apabila Bush (tanpa nada penyesalan) mengakui AS tersilap menyerang Iraq yang sememangnya tiada senjata pemusnah besar-besaran, dunia hanya berdiam.

Mesejnya juga bahawa AS memang sengaja menggunakan muslihat pembohongan untuk mencapai misi mereka. Dunia telah diperbodohkan oleh Bush dan itulah pengajaran yang amat bernilai. Sesungguhnya kita semua tidak mengambil langkah yang cukup untuk menghalang pencerobohan itu. Salah siapa?

This entry was posted in World. Bookmark the permalink.

Leave a Reply