pernikahan dan persandingan Raja SMS Ekin Mawi 20 Dis

PADA ketika ini orang ramai terutama peminat fanatik Mawi sudah berkira-kira untuk duduk depan televisyen pada 20 Disember ini bagi menyaksikan secara langsung upacara pernikahan dan persandingan Raja SMS itu bersama pasangannya, Ekin.

Sekarang ini pun dah banyak promo mengenai perkahwinan yang dikatakan sensasi ini ditayangkan di saluran Astro yang mendapat hak tayangan dan penyiar rasmi perkahwinan Mawi-Ekin.

Banyaklah perancangan program yang telah dibuat untuk menghidangkan hanya yang menarik dan terbaik khusus untuk peminat penyanyi itu dan penonton Astro yang disiarkan melalui tiga saluran iaitu Oasis, Ria serta Prima.

Bermula dengan siaran langsung pengumuman khas tarikh pernikahannya di saluran Awani program istimewa sempena majlis itu akan bermula pada 17 Disember ini.

Ini termasuk tayangan kursus perkahwinan Mawi-Ekin sebanyak tiga bahagian ketika pasangan itu menghadiri kursus tersebut di Masjid Putrajaya.

Ia kemudiannya disusuli majlis pernikahan, majlis resepsi, dokumentari khas kisah cinta Mawi-Ekin dan majlis resepsi istimewa di sebuah hotel di ibu kota.

Ada khabar angin yang mengatakan melalui jalinan kerjasama itu, Mawi menerima bayaran berjuta ringgit, secara tepatnya RM5 juta.

Namun Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah menafikan dan memberitahu, “Kami tidak membeli hak penyiaran tetapi ini adalah tanda kerjasama antara Astro dan Mawi.”

Sementelah Mawi sendiri bintang paling ternama kelahiran mereka. Justeru, apa salahnya memberi ‘hadiah’ kepada bintang tersohor mereka dan memberi balik kepada peminat yang selama ini menyokong saluran berbayar itu.

Tapi pada Wanda, kalau Mawi mendapat bayaran pun apa salahnya sebab dah sah-sah adanya keberuntungan melalui penyiaran hak tayangan sebagai media rasmi.

Namanya sahaja Mawi! Bukan sahaja ramai yang berebut-rebut nak bagi tajaan menjayakan majlis perkahwinannya, Wanda percaya para pengiklan pun berduyun-duyun nak membeli slot programnya itu.

Lagipun, amalan membeli-menjual begini sudah lama dipraktikkan negara barat. Lihat sahaja artis Hollywood misalnya, memperoleh berjuta dollar kerana menjual hak eksklusif peribadi mereka, tidak sahaja perkahwinan tetapi juga wajah anak-anak.

Tapi hak eksklusif ini tidak sahaja kepada stesen televisyen malah merangkumi media cetak. Majalah terkenal umpamanya sentiasa berebutkan hak eksklusif.

Majalah seperti Hello! dan Ok! merupakan antara majalah yang sanggup melabur sehingga berjuta dollar membayar para artis bagi mendapatkan hak eksklusif perkahwinan dan cerita peribadi artis.

Majalah gosip selebriti OK! misalnya mendapat scoop perkahwinan sensasi artis antaranya Catherine Zeta-Jones dan Michael Douglas, David dan Victoria Beckham serta Britney Spears dan Kevin Federline.

Malah majalah popular British itu memenangi tuntutan mahkamah sebanyak £1,033,156 apabila ‘musuh’ tradisi mereka, Hello! turut menyiarkan gambar perkahwinan Catherine Zeta-Jones dan Michael Douglas sedangkan mereka yang mendapat hak eksklusifnya.

Paling sensasi tentunya penjualan hak eksklusif wajah anak kembar pasangan Angelina Jolie dan Brad Pitt, Knox Léon Jolie-Pitt dan Vivienne Marcheline Jolie-Pitt yang berjumlah AS$14 juta dan dikatakan jumlah paling tinggi pernah dibayar untuk gambar selebriti.

Hak penjualan imej anak-anak Jolie-Pitt itu yang dijual kepada People dan Hello! dan duit berkenaan dimasukkan ke Yayasan Jolie/Pitt.

Imej anak sulung pasangan kekasih itu, Shiloh Nouvel Jolie-Pitt yang dilahirkan di Swakopmund, Namibia pada Mei 2006 juga dijual kepada pengedar gambar antarabangsa, Getty Images kerana Jolie tidak mahu gambar-gambar anaknya terlepas ke tangan paparazzi.

People membayar AS$4.1 juta bagi hak cipta Amerika Utara sementara majalah Hello! pula mendapatkan hak cipta antarabangsa dengan membayar sejumlah AS$3.5juta.

Kesemua keuntungan daripada penjualan hak eksklusif itu didermakan oleh Jolie-Pitt kepada badan kebajikan yang dirahsiakan.

Wajah anak kembar pasangan suami isteri Jennifer Lopez dan Marc Anthony, Emme Marbiel Muñiz dan Maximilian “Max” David Muñiz pula dibayar AS$6 juta oleh People yang menyiarkan gambarnya sebulan selepas dilahirkan, Mac lalu.

Apa pun, Wanda tetap angkat tabik pada Datuk Siti Nurhaliza kerana berjaya memberi dimensi baru kepada sifat eksklusif perkahwinan artis kita apabila memberikan hak penyiaran eksklusif kepada TV3 bagi majlis perkahwinannya dengan Datuk Seri Khalid Jiwa.

Kerana dia orang pertama yang melakukan biarpun Wanda rasa, perkahwinan paling meriah yang Wanda hadiri adalah perkahwinan Ziana Zain dan Armin yang diserbu kira-kira 10,000 orang – tetamu dan peminat – yang hanya berlangsung di kediaman keluarganya di Shah Alam, sedekad lalu.

This entry was posted in Artis, Mawi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply