Rita RUdaini dan Aidil Menjawab Persoalan Nikah!

“Saya rayu pihak media memberi ruang kepada saya mahupun isteri menyelesaikan beberapa perkara sebelum kami tampil memberikan sidang akhbar,” kata Mohd Aidil Zafuan, 21, yang dihubungi bagi mendapatkan kenyataan balas mengenai pernikahannya dengan pelakon popular, Rita Rudaini, 33.

Mohd Aidil turut meminta semua pihak menghormati pendiriannya dengan tidak mengganggu atau cuba mendapatkan kenyataan daripada ahli keluarganya mahupun keluarga Rita.

“Saya akui dalam hal ini saya yang bersalah dan kerana itu kami memohon maaf kepada ibu bapa saya dan keluarga.

“Tidak dinafikan dalam hal ini saya sepatutnya tampil dan memberikan kenyataan mengenai perkara ini, cuma masalahnya sekarang masa tidak mengizinkan kerana ada beberapa perkara yang perlu saya dan Rita selesaikan terlebih dulu.

“Nantilah, apabila segalanya sudah beres, saya bersama Rita akan mengadakan sidang media dan menjemput semua rakan wartawan serta menjawab segala soalan berbangkit,” katanya.

Mohd Aidil juga menafikan dia dan Rita cuba melarikan diri daripada media dengan menegaskan tiada apa yang mahu disorok kerana perkara sudah berlaku dan perkahwinan itu dibuat dengan tujuan baik.

“Saya bimbang kalau sidang akhbar diadakan sekarang, nanti ia akan berpanjangan, sekali gus memberikan kesan kepada semua orang bukan saja saya dan Rita, malah keluarga.

“Tekanan diberikan pihak luar yang mahu mendapatkan kenyataan balas kami mahupun ahli keluarga lain juga akan mempengaruhi kesihatan ibu bapa saya.

“Kasihanilah mereka dalam hal ini kerana ibu bapa saya tidak bersalah,” katanya lagi tanpa mahu mengulas panjang.

Kelmarin keluarga Mohd Aidil, mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan mengenai pernikahan Mohd Aidil dan Rita di Selatan Thailand, 25 Februari lalu.

Dalam kenyataan diberikan bapa Mohd Aidil, Abd Radzak Saleh, 59 menyatakan keluarganya menerima kenyataan membabitkan pernikahan itu tetapi terkilan kerana ia dirahsiakan.

Ramai di kalangan rakan kepada pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, mengakui tidak tahu-menahu mengenai pemain itu sudah berkahwin dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini Mokhtar, walaupun mereka sentiasa bersama dalam pasukan bola sepak Negeri Sembilan.

Malah, mereka terkejut dengan berita yang tersiar di semua akhbar utama semalam mengenai pendedahan ahli keluarga Mohd Aidil yang mengakui pemain itu sudah berkahwin dengan artis berkenaan sejak lebih 10 bulan lalu iaitu pada 25 Februari tahun ini.

Seorang daripada rakannya dalam pasukan itu, Rezal Zambery Yahya, berkata dia tidak mengetahui mengenai perkahwinan Mohd Aidil, 21, dengan Rita Rudaini, 32, di Songkla, Thailand.

Menurutnya, dia dan rakan lain juga tidak melihat perubahan pada pemain pertahanan kebangsaan dan Negeri Sembilan itu sejak Februari lalu, malah Mohd Aidil tidak pernah menceritakan hubungannya dengan artis terbabit sama ada sebagai kawasan biasa mahupun sebagai isteri.

“Walaupun kami bersama dalam satu pasukan bola sepak, kami tidak pernah diberitahu mengenai perkahwinan mereka, malah sepanjang tempoh berkenaan, kami juga tidak melihat apa-apa perubahan pada diri Mohd Aidil.

“Kami sebenarnya baru hari ini (semalam) mendapat tahu mengenai perkahwinan Aidil dengan Rita selepas membaca akhbar.

Walaupun beberapa tahun sebelum itu akhbar mendedahkan hubungan mereka tetapi kemudian senyap seketika,” katanya di sini, semalam.

Rezal Zambery yang juga kapten pasukan Negeri Sembilan, bagaimanapun menyifatkan tindakan itu tiada salahnya kerana perkahwinan sesuatu yang baik walaupun tindakan Mohd Aidil dan artis itu mengguris hati keluarga masing-masing.

Menurutnya, jodoh pertemuan ketentuan Tuhan dan pemilihan Rita Rudaini sebagai isteri hak pemain itu.

“Saya mendoakan mereka berdua bahagia dan berharap Mohd Aidil tidak hilang tumpuan untuk membantu pasukan bola sepak Negeri Sembilan mencatat kejayaan cemerlang,” katanya.

Seorang lagi pemain pasukan itu yang enggan dikenali juga terkejut dengan berita perkahwinan rakannya itu.

Keluarga Rita Rudaini di Kampung Sentua, Utan Aji, dekat sini, dikatakan cuba menyembunyikan diri selepas pendedahan kes pernikahan pelakon popular itu dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, semalam.

Harian Metro yang cuba mendapat ulasan keluarga pelakon itu di Perlis mengenai penikahan Rita dan Mohd Aidil Zafuan di Songkhla gagal selepas mendapati rumah pelakon berkenaan ditutup rapat dan berkunci.

Bagaimanapun, kehadiran dua kereta jenis Toyota Vios dan Proton Wira dilihat di hadapan rumah itu menimbul tanda tanya, manakala ucapan salam tidak dijawab seolah-olah rumah berkenaan tidak berpenghuni.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia melihat seorang lelaki dipercayai bapa tiri Rita Rudaini keluar dari rumah terbabit untuk membeli sarapan pagi di kedai berhampiran.

“Saya pun tidak tahu ke mana keluarga terbabit pergi tetapi (pagi semalam) saya lihat bapa tiri Rita keluar dari rumah untuk ke kedai berhampiran,” katanya.

This entry was posted in Artis, Rita Rudaini. Bookmark the permalink.

Leave a Reply