Bintang popular senang bekerjasama dengan KRU
PENANTIAN selama sejam untuk pembikinan sesi fotografi bintang jelita, Tamara Bleszynski yang memegang watak Rrama di dalam filem Cicak-Man 2: Planet Hitam pada 29 November lalu begitu menguji kesabaran.
Bayangkan saat temu janji di sebuah hotel yang dirancang, Tamara yang ditemani pengurusnya Liza hadir tanpa secalit mekap kerana dilanda sakit mata yang amat sangat.
Namun, dek sikap Tamara yang sangat merendah diri dan baik hati, semuanya diperjelaskan sebaik mungkin biarpun konsep fotografi yang diingini Hip tidak dapat dijelmakan. Hip dimaklumkan kedatangan Tamara kali ini ke Malaysia sangat menduga diri pelakon dan model ini. Ada beberapa perancangan pihak KRU tidak dapat dipenuhi seperti menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini kerana diserang sakit perut.
Begitu juga dengan keadaan matanya yang sakit tetapi atas dasar profesionalisme, dia masih menggagahkan diri untuk memberikan pose dengan syarat mengenakan kaca mata hitam. Pada malam hari yang sama, Tamara juga perlu melunaskan tugas sebagai penyampai anugerah di sisi aktor, Fahrin Ahmad. Sesi temu bual berjalan rancak dan setiap butir pertanyaan dijawab dengan baik.
Filem Cicak-Man 2 menjadi batu loncatan pertama buat dirinya melebarkan sayap di Malaysia. Ternyata terkejut ditawarkan watak Rrama oleh Yusry sejak setahun setengah yang lalu, perkenalannya dengan Yusry terjalin melalui kawan yang juga mengenali mereka berdua. Jika ada tawaran yang kunjung tiba kepadanya untuk berlakon lagi di sisi Saiful Apek pasti diterimanya.
GAYA Tamara sebagai peragawati terserlah biarpun sakit mata dan terpaksa berkaca mata hitam.
“Tawaran yang diterima ini (memegang watak Rrama) umpama air mengalir deras dan ia peluang terbaik untuk saya mencuba meneroka pasaran Malaysia. Saya begitu teruja dengan tawaran itu apatah lagi dapat memegang watak yang berbeza daripada kebiasaan. Saya menonton filem Cicak-Man pertama, ia sebuah karya lucu, bagus dan kesan khas yang digunakan juga amat mengesankan.
“Saya senang sekali dapat berlakon dengan Saiful Apek kerana saya pasti tidak kering gusi dengan jenaka spontannya. Begitu juga dengan pengarahnya (Yusry), dia sangat kacak, berbakat dan tahu matlamat yang diingininya di dalam pembikinan filem,” katanya di awal perbualan.
Selama 17 tahun menjejaki dunia seni, Tamara begitu diingati dengan drama Hikmah lakonannya yang disiarkan di Malaysia juga di samping menjadi antara model paling lama dan setia mengikat kontrak sabun Lux (sudah 16 tahun).
Dunia lakonan baginya umpama darah daging yang tidak boleh ditukar ganti dan ketika melanjutkan pengajian sekolah rendah di Australia, dia sanggup mengambil kelas lakonan selama enam tahun. Namun selepas sekolah menengah, janda anak satu ini kembali ke Indonesia dan berjinak-jinak dengan dunia peragawan.
BERSAMA Yusry sewaktu malam gala Cicak-Man 2: Planet Hitam, baru-baru ini. Watak yang dilakonkan dalam filem Cicak-Man 2.
Kata Tamara, dunia lakonan memberinya ruang untuk meluahkan perasan dan bebas menjadi sesiapa berdasarkan tuntutan watak yang diingini. Ketika di Australia andai rindukan kampung halaman, kelas lakonan inilah yang banyak membantunya mengikis ingatannya terhadap Indonesia.
Baru saja dilantik sebagai duta tinju Persatuan Tinju Nasional Amatur (Pertina) selama tiga tahun, Tamara membabitkan diri di dalam sukan ini sejak dua tahun lalu.
“Selain sibuk dengan aktiviti mempromosikan filem Cicak-Man 2, saya juga sudah selesai menjalani penggambaran beberapa buah drama seperti Bu Sonia dan Menantu Kesayangan. Insya-Allah tidak lama lagi, saya akan terbabit dengan sebuah filem yang menjadikan sukan tinju sebagai subjek. Ia bakal diarahkan pengarah Rizal Mantovani yang cukup meledak dengan filem Kuntilanak dan Jelangkung.
“Bagi saya tidak kiralah berlakon filem, drama atau teater sekali pun selagi jalan cerita dan skripnya menarik di samping dapat membawa watak baru, saya pasti menghargai tawaran yang kunjung tiba. Selain berlakon, saya juga bernyanyi tetapi bukan atas dasar profesional sebaliknya hanya menyanyikan lagu daripada runut bunyi drama atau filem, sekadar suka-suka,” katanya yang memeluk agama Islam sejak 10 tahun lalu.
Tidak serik kahwin lagi
UMUM juga sudah tahu mengenai kisah perceraiannya dengan bekas suami, seorang ahli perniagaan bernama Teuku Rafly Pasya Teuku Syahrul pada tahun lalu. Hasil perkahwinan mereka pada tahun 1997, mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 4 Februari 1999, diberi nama Rassya Islamay Passya. Keputusan perbicaraan di mahkamah akhirnya menyebelahi bekas suaminya dalam soal penjagaan Rassya.
Bahagia dengan kehidupan solo, wanita tabah dan berdikari ini tidak pernah menjadikan perceraian sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupan. Ditanya apakah yang bakal berlaku 10 tahun mendatang, pintasnya manja, mungkin ketika itu, dia mungkin sudah berkahwin dan mempunyai anak lagi.
“Secara bertulis dan rasminya, bekas suami mempunyai hak penjagaan anak yang lebih berbanding saya. Namun, sebagai ibu saya sudah berjuang untuk memastikan hak penjagaan beralih ke saya. Apa terjadi berdasarkan hukum mutlak, dia tetap anak saya dan tiada siapa yang mampu memisahkan kami. Hubungan saya dengan bekas suami masih baik.
“Saya pasti akan kahwin lagi tapi bukanlah sekarang. Biarlah saya nikmati zaman solo ini sepuas-puasnya. Saya ingin nikmati kehidupan ‘single’ dan ‘fabulous’ ini dengan hati yang girang. Dalam kehidupan, pasti ada turun naik dan itu lumrah. Saya sudah diuji dengan perceraian ini, namun saya harus melaluinya biarpun hanya Tuhan saja yang tahu situasi sebenar saya,” ungkapnya yang berkawan baik dengan duta dan model sabun Lux, Luna Maya dan Dian Sastrowordoyo.
Nama Tamara juga bukan asing dengan kisah kontroversi, fitnah dan skandal di negara kebanggaannya. Itulah harga yang perlu dibayar apabila menjadi selebriti popular. Ditanya bagaimana dia berdepan dengan segala kekalutan itu, jawabnya apa pun terjadi namanya sudah terjejas gara-gara kisah kurang enak. Sambil tersenyum, Tamara memberi contoh beberapa situasi dihadapinya seperti memakai cincin dikatakan sudah bertunang, datang ke Malaysia dikata bercinta dan gemuk dikata hamil.
Bagaimanapun, kisah yang dianggap mengarut ini tidak pernah membuatkan dia bermusuh dengan wartawan di sana. Hubungannya dengan wartawan masih boleh dianggap baik kerana masing-masing saling memerlukan dan mencari rezeki. Cuma jelas Tamara, perlu ada ruang privasi yang perlu dihormati antaranya dan wartawan.
“Saya andaikan hubungan dengan wartawan seperti gula dan semut. Di mana ada saya, di situlah ada wartawan. Tidak dinafikan saya rapat dengan beberapa wartawan senior yang mula menyokong kerja saya sejak dulu. Ada kalanya apabila berdepan dengan kontroversi mungkin berdiam diri adalah terapi terbaik. Buat apa dijawab kerana ia hanya fitnah semata-mata dan saya lebih suka berkongsi kisah mengenai kerjaya.
“Terbit juga rasa bimbang kadang-kadang dek kenyataan yang diberi mampu diputar belit. Kalau saya mampu menjawab, saya akan menjawab dengan baik dan menjelaskan keadaan sebenar kepada wartawan. Yang pasti, kebebasan media di negara saya memang tidak boleh diterima akal kerana ada kisah yang tidak benar boleh menjurus ke arah fitnah. Saya tidak ralat dan orang boleh bercakap apa saja mengenai saya, biarlah saya menjalani kehidupan dan kerjaya ini seadanya.
“Media di sana terlalu ekstrim hingga boleh dianggap seperti paparazzi tetapi berbeza media di sini yang lebih beradab dan menjaga perasaan. Bukan saya mahu membodek tetapi ia satu kebenaran dan etika yang perlu ada pada mereka yang bergelar wartawan,” katanya yang pernah berlakon iklan Guess, KIA dan Samsung.
INFO: Pendapat Tamara Bleszynski
# Drama: Wataknya di dalam filem Cicak-Man 2: Planet Hitam, seekor kupu-kupu berwarna kelabu.
# Rassya Islamay Passya: Cinta hati saya.
# Impian: Perlu menjadi kenyataan.
# Cicak-Man 2: ‘Keren’ Banget (Bagus sekali)
# Drama Hikmah: Antara drama yang membuatkan dirinya popular.
# Rahsia sukses: Sentiasa berfikiran positif, harus tegar biarpun terpaksa berdepan dengan hidup yang sukar. Tidak perlu tertekan atau serius dan sentiasa ketawa serta berfikir (mengatasi masalah) dengan cara humor.
PROFIL: Tamara Bleszynski
# Nama penuh: Tamara Bleszynski Zbignew Bleszinski (nama Islam), asalnya sebelum menjadi mualaf ialah Tamara Natalia Christina Mayawati Bleszynski.
# Tarikh lahir: 25 Disember 1974
# Tempat lahir: Bandung, Indonesia
# Berdarah Poland (sebelah bapa) dan ibu (Sunda)
# Nama bekas suami: Teuku Rafly Pasya Teuku Syahrul (ahli perniagaan)
# Nama anak: Rassya Islamay Passya (lahir pada 4 Februari 1999).
# Drama lakonan: Shangrilla, Asmara, Doaku Membawa Berkah 1 & 2, Hikmah 1,2 & 3, Wah Cantiknya, Iman, Goal, Cinta Itu Tak Buta Kok.
# Filem: Issue, The Big Day (filem pendek Lux), Sang Penari dan Cicak-Man 2: Planet Hitam
# Kejayaan: Anugerah Artis Paling Disukai versi Panasonic 2005, Anugerah Artis Paling Disukai versi Panasonic 2004 , Anugerah Artis dan Model Paling Disukai 2005, Artis dengan Imej Terbaik, Tercantik, Termodern dan Terintelektual versi majalah Marketing 2004, Artis dengan Payudara Terindah versi majalah Dewi, Pencalonan Panasonic Awards 2006 sebagai Aktres Kegemara, Pencalonan Artis Ngetop di SCTV Award 2001, Pencalonan Aktres Ngetop SCTV Awards 2004, Artis Indonesia Termahal, Bintang Lux terlama.
