Sehati Berdansa di Astro Ria

JIKA diikut pada peratusan undian sistem pesanan ringkas (SMS) penonton, kemungkinan langkah tarian pasangan Sabrina Ali dan suami, Mohamad Shahrin Abdul Halim akan ‘terhenti’ minggu ini. Bukan cuba menidakkan bakat mereka tetapi berdasarkan markah.

Boleh dikatakan setiap minggu pasangan ini berada di tangga terbawah dalam persaingan Sehati Berdansa di Astro Ria setiap Sabtu, jam 9 malam. Namun, pada saat akhir keputusan berubah dan mereka terselamat. Justeru, ia jelas membuktikan Sabrina dan Mohamad Shahrin memang ada bakat tarian.

Namun, sejauh manakah ‘nasib’ sentiasa berpihak kepada mereka? Memang sukar dijangka kerana kejutan boleh berlaku bila-bila masa. Umpama pasangan penyanyi Ani Mayuni atau Aishah An-Nur Osman dan Zairi Azmi yang tidak diduga tersingkir pada minggu keempat.

Walaupun gerak tari Ani dan Zairi tiada ‘cacat cela’, undian penonton tidak berpihak kepada mereka. Disebabkan itulah, apakah pada minggu keenam ini Sabrina dan Mohamad Shahrin akan menjadi mangsa seterusnya? Segalanya terletak atas pilihan penonton.

Selain itu, tidak ketinggalan turut berada di kedudukan rapuh ialah pasangan Shasha Mohamad Saidin dan Salyo

Priyanto Notosoemarsono. Biarpun, gerak tari mereka menunjukkan peningkatan tetapi peratusan SMS diraih tidak begitu tinggi.

Hanya beberapa peratus saja yang memisahkan pasangan ini dengan Sabrina dan suami. Barangkali, populariti Shasha sudah tidak seperti dulu ketika bersama Elite. Apapun, semangat juang penyanyi dan pelakon itu tetap tinggi untuk terus bertahan.

Ia boleh dilihat dalam persaingan tarian irama global (minggu keempat) dan rock & roll (minggu kelima) yang berjaya memberi Shasha dan Salyo markah agak tinggi daripada juri profesional. Boleh dikatakan markah melebihi 80 sudah dianggap bagus.

Bagi tangga ketiga pula, tentunya pasangan pengantin baru, Mohd Kharulnizam Mohammad Wahi atau Khai dan Rosmayati Sidik (Rosma). Sama kecil sama padan, gerak tari merpati dua sejoli ini seronok ditonton kerana setiap minggu menonjolkan keserasian.

Pasangan muda ini boleh diibaratkan ‘irama dan lagu’ kerana gerak tari mereka sentiasa seiring. Ada unsur emosi, ceria, bersatu dan sejiwa. Apakah kerana mereka pernah belajar menari dengan juri profesional, Linda Jasmine dalam Akademi Fantasia dulu?

Maka, bagi merealisasikan setiap gerak tari begitu mudah. Berikanlah apa saja cabaran tarian pada Khai dan Rosma, hasilnya tidak mengecewakan. Mungkinkah hasrat untuk menjadi dua pasangan layak ke peringkat akhir Sehati Berdansa musim ini sudah meluap-luap.

Pastinya Khai dan Rosma yang ada jawapan itu. Tetapi, laluan mereka seakan-akan tidak mudah kerana pasangan Mohd Fauzi Mohd Nawawi (Fauzi) dan Lis Dawati Nazaruddin (Lisda) juga hebat. Sudah dua minggu berturut-turut Fauzi dan Lisda meraih markah tinggi daripada juri.

Sekali gus, membantu meningkatkan undian mereka untuk kekal ke minggu seterusnya. Apapun, kelincahan tarian pasangan ini tidak boleh disangkal kerana lagak Fauzi dan isteri bagaikan penari profesional. Ini diakui sendiri juri tetap, Linda Jasmine.

Ternyata Fauzi dan Lisda cuba membuktikan pelakon juga sebenarnya boleh menari dengan baik sekiranya mendapat latihan yang betul. Malah, koreografer mereka, Rey Redzuan Awang turut dianggap sebagai pereka tari muda amat kreatif.

Gerak tari yang dilatih Rey kepada Fauzi dan Lisda sangat kreatif dan mencabar. Namun, mampu dilakukan pasangan intim yang memiliki seorang cahaya mata perempuan itu dengan berkesan. Cuma, dari segi peratusan masih berada di tangga kedua setiap minggu.

Pasangan terakhir yang menjuarai carta tangga teratas undian penonton pastinya Amyza Aznan dan suami, Kharil Izhar Mohd Nazir. Biarpun mengakui tidak pandai menari tetapi kesungguhan menampilkan persembahan yang baik tidak pernah pudar di wajah Amyza.

Sekalipun ada kalanya pakaian suaminya kelihatan agak ‘kurang sesuai’, namun tugasan tetap disempurnakan sebaik mungkin. Hasilnya, bukan saja markah juri tetap tinggi tetapi undian penonton berjaya meletakkan Amyza dan Khairil Izhar juara SMS setiap minggu.

Malah, ada suara nakal mula mengatakan pasangan Amyza dan Lisda akan mara ke peringkat akhir. Namun, dua pasangan ini tidak sesekali akan menjadi ‘juara dirancang’. Masing-masing menonjolkan kelebihan dan penonton bertanggungjawab menentukan segalanya.

This entry was posted in Artis, News. Bookmark the permalink.

Leave a Reply