SEKALIPUN industri hiburan tanah air tidak sebesar mana, namun artis, karyawan seni serta pekerja di belakang tabir di negara ini sangat bertuah. Ini kerana pelbagai majlis anugerah untuk mengiktiraf bakat dan sumbangan mereka dianjur sepanjang tahun.
Bahkan, banyak kategori anugerah disediakan sama ada terbaik mahupun popular. Malah, tidak ketinggalan anugerah untuk ‘penampilan’ artis juga diadakan. Justeru, apakah lambakan majlis anugerah diadakan itu benar-benar perlu untuk insan seni?
Bagi menghurai kemelut penganjuran majlis anugerah ini, tiga panel jemputan diundang membincangkannya dalam program bual bicara, Fenomena Seni bertajuk Anugerah Sana, Anugerah Sini pada Jumaat minggu lalu yang dihoskan Rosyam Nor.
Disiarkan di RTM1 bermula jam 9.30 malam, ahli panelnya ialah Pengerusi Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan, Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Hassan Benyahya dan Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri.
Menurut A Rahman, pemberian anugerah kepada insan seni adalah sesuatu yang perlu dan bagus kepada industri. Cuma, sekarang ini dipelbagaikan dan anugerah itu pula ada kelainan masing-masing. Namun, ia tetap satu pengiktirafan.
“Pada masa sama, penganjuran juga dilihat sebagai memeriahkan industri. Bagaimanapun, dengan banyak majlis diadakan secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan terutama dalam mengkategorikan antara anugerah tulen dan komersial.
“Apa yang boleh saya katakan, anugerah Oskar anjuran PPFM boleh dikategori anugerah tulen kerana ia khusus mengiktiraf pekerja di belakang tabir dan penilaian dibuat juri. Begitu juga dengan Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Festival Filem Malaysia (FFM).
“Manakala Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Era pula boleh dikatakan sebagai anugerah komersial apabila artis popular dipilih atas undian pembaca serta peminat. Apapun, anugerah ini tidak lari konsep,” katanya.
Kata A Rahman lagi, itulah tuah artis sekarang jika hendak dibandingkan dengan zamannya. Mengikut cerita beliau, anugerah pertama pernah dimenanginya pada 1967 yang dipanggil Anugerah Oscar di Stadium Negara. Ia hanya diberi kepada tujuh pemenang.
“Saya mampu mengingatinya kerana tarikh penganjuran diadakan pada 30 dan 31 Julai. Bahkan, satu daripada tarikh itu adalah hari lahir saya. Apapun, anugerah diterima diperbuat daripada kayu dan logam saja. Namun, ia sangat bermakna,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Hassan berkata secara rumusannya adalah patut penganjuran majlis anugerah diadakan secara sederhana. Malah, tahu arah mana hala tujunya supaya masyarakat tidak keliru dengan objektif penganjuran sesuatu majlis.
“Justeru, fokus penganjuran sangat penting apabila pihak berwajib perlu lihat majlis anugerah apa yang harus diperkembangkan. Ia bagi mengelak pertindihan kategori yang disediakan penganjur. Tetapi, kini mungkin terlepas pandang.
“Apapun, sekiranya ada inisiatif untuk menyatukan semua kategori dalam satu majlis anugerah seperti FFM ada baiknya. Seperti contoh, memasukkan kategori apa yang tidak ada sebelum ini terutama penghargaan buat pekerja di belakang tabir,” katanya.
Jelas Mohamed Hassan, disebabkan pembahagian tidak menyeluruh itu menyebabkan PPFM perlu menganjurkan anugerah Oskar walaupun terpaksa mengumpul dana sendiri. Katanya pekerja belakang tabir wajar diberi pengiktirafan kerana jika tiada mereka, industri takkan wujud.
“Bagi penghasilan drama atau filem, selain pelakon dan pengarah semestinya kehadiran kru belakang tabir juga penting. Saya yakin jika tiada jurulampu, jurukamera, gaffer atau apa saja tugas belakang tabir memang sesuatu karya tidak dapat disiapkan,” katanya.
Menurut Hartati pula, media membantu memberikan liputan kepada artis dan penganjur bukan sebagai ambil kesempatan. Katanya sudah nama majlis anugerah, ia penghargaan bermakna pada insan seni atas sumbangan menyalurkan hiburan.
“Penghargaan ini bukan mudah diperoleh. Setahu saya, atas kesepakatan wartawan hiburan mampu mewujudkan majlis anugerah untuk mengiktiraf anak seni pada 1980. Oleh itu, jelas menunjukkan keinginan wartawan melihat artis tanah air diiktiraf.
“Secara tidak langsung usaha ini memang berjaya memeriahkan industri dan kegembiraan buat penggiat seni. Cuma, apabila banyak sangat majlis anugerah sekarang, seolah-olah ada banyak pilihan. Justeru, matlamatnya seperti kurang jelas.
“Sehubungan itu, seharusnya matlamat dasar penganjuran majlis anugerah ini perlu diperkasakan. Biar ada selektif supaya tiada orang akan memperlekehkan. Malah, perlu ada satu badan ditubuhkan untuk memastikan prestij majlis dianjurkan dinilai,” katanya.
Menurut Hartati, lihat saja di Hollywood, Anugerah Oscar adalah majlis terulung bagi karyawan seni filem di sana. Anugerah Golden Globe pula untuk mengiktiraf drama terbitan stesen televisyen. Manakala, anugerah Emmy untuk penyanyi dan pemuzik.
