PELBAGAI persiapan dilakukan penyanyi yang bakal membawakan lagu di Anugerah Juara Lagu kali ke-23 (AJL23), pada 18 Januari ini, di Stadium Putra, Bukit Jalil, jam 9 malam.
Ada yang masih memikirkan konsep sesuai dengan tema lagu dan tidak kurang gugup untuk berhadapan dengan persaingan terutama apabila memikirkan hadiah besar disediakan TV3 selaku penganjur.
Kepada mereka yang tidak menaruh harapan besar bagi menjuarai kategori juara keseluruhan (hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi) atau juara kategori etnik kreatif, pop atau balada (wang tunai RM12,000), mereka mengharapkan mampu merebut anugerah khas iaitu persembahan terbaik dan vokal terbaik yang menyediakan wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Sudah tentu pada malam AJL23 itu nanti, perhatian tertumpu kepada dua penyanyi popular iaitu juara Akademi Fantasia Musim Kedua (AF2), Ahmad Zahid Baharudin atau Zahid menggantikan Mawi dengan lagu Doa Dalam Lagu bersama Heliza dan Ziana Zain yang lagu Dingin dipilih pada saat akhir.
Ketika ditemui selepas cabutan undi giliran persembahan di Sri Pentas, Damansara Utama, baru-baru ini jelas Zahid dia tidak berasa gusar menggantikan tempat Mawi dan yakin mendendangkan Doa Dalam Lagu dengan baik.
“Lagipun dua tahun lalu saya pernah beraksi di pentas Juara Lagu mendendangkan Warkah Buat Laila yang menjuarai kategori balada, jadi pengalaman itu sedikit sebanyak membantu.
“Cuma sekarang saya sedang giat mengadakan latihan bersama Heliza. Setakat ini kami boleh serasikan diri. Cuma apa yang membimbangkan saya adalah darah gemuruh Heliza.
“Ketika menyaksikan persembahan Heliza dan pada pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik Etnik Kreatif saya lihat tumpuannya sedikit terganggu kerana gementar.
“Diharapkan apabila di pentas AJL23, perkara itu tidak berulang. Buat masa sekarang saya sedang membantunya untuk mengatasi masalah itu,” katanya.
Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Mawi yang akan berbulan madu pada hari pertandingan berlangsung kerana menaruh kepercayaan kepada kemampuan dan bakatnya.
“Mawi sendiri menghubungi saya dan menawarkan untuk menggantikan tempatnya. Alasan diberikan Mawi, suara saya lebih sesuai jika digandingkan dengan Heliza.
“Pada saya selain membantu rakan ia turut membuka ruang ketengahkan bakat. Kalau boleh mahu juga mengulangi sejarah kejayaan Warkah Buat Laila,” katanya.
Bagi Ziana Zain tiada apa yang lebih penting baginya dalam masa beberapa hari sebelum AJL23 berlangsung selain memastikan kesihatannya baik.
“Pada saya kesihatan adalah kunci kepada segala-galanya dalam berhadapan saingan pada malam AJL23 itu nanti, kerana kalau tidak sihat sudah tentu tumpuan akan terganggu.
“Untuk itu saya tidak mahu terlalu menekan diri. Pada saya pada malam pertandingan itu nanti saya keluar dengan memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Pada waktu sama Ziana tidak nafikan dia melakukan beberapa persiapan seperti menjalani latihan untuk mengasah vokal.
“Dingin bertanding dalam kategori balada dan biasanya apabila lagu dalam kategori ini orang lebih mahu memberi tumpuan kepada penyanyinya berbanding apa yang berlaku di keliling. Atas alasan itu saya akan tampil solo di atas pentas.
“Bagaimanapun, bagi peminat apabila sebut saja Ziana Zain, apa yang mereka lihat adalah penampilan dan baju apa yang akan saya pakai. Jadi perkara itu turut saya berikan penekanan,” katanya.
Anggota kumpulan Meet Uncle Hussein, Nor Azlan Roslee atau Lan (vokalis), Nik Mustaza Nik Mustapha (Taja/gitar), dan Mohd Fathi Mohd Darwis atau (Afat/bass), 28, mahu penampilan mereka di pentas AJL23 menerusi lagu ciptaan sendiri, Lagu Untukmu memberi impak kepada peminat.
Menurut Lan, selain corak persembahan, mereka turut menitikberatkan penampilan.
“Kami tidak nafikan cukup gementar untuk mengadakan persembahan pada malam AJL23 ini kerana saingan cukup kuat. Apatah lagi apabila kami mendapat angka giliran paling akhir iaitu nombor 14.
“Ada orang kata kalau dapat giliran akhir ini boleh tenang sikit sebab boleh menyaksikan peserta lain buat persembahan, tetapi bagi kami ia memberikan tekanan kerana tumpuan lebih akan diberikan juri dan penonton kepada kami sebagai peserta terakhir,” katanya.
Waktu sama, jelas Lan mewakili anggota lain, pada peringkat awal mereka tidak menaruh harapan Lagu Untukmu ke peringkat akhir, namun apabila tersenarai, harapan bergelar juara itu timbul dan mereka berharap ia mendapat tempat di hati juri AJL23.
