Bakal Juara Anugreah LAGU 2009

Sentuhan magis Azlan Abu Hassan dan Azalea letakkan lagu Dingin dendangan Ziana Zain ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-23

SEGALA yang manis pernah dikecapi penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain selama hampir dua dekad meniti hidup sebagai anak seni membuatkan dia masak benar dengan ragam industri hiburan.

Namun, sesuatu yang tidak pernah berubah mengenai penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka ini adalah sifat merendah diri yang utuh menjadi pegangannya meskipun era 90-an lalu namanya pernah bertakhta di atas.

Banyak pengalaman dilalui membuatkan penyanyi yang memuncak dengan lagu Madah Berhelah ini semakin matang mendepani dugaan dan menangani kritikan.

Andai dulu segala yang diperkatakan khalayak akan terpahat dalam kotak fikirannya, malah berterusan bermain membuatkan minda Ziana tidak tenang namun hari ini, dia akur keupayaan diri.

Akui Ziana, dia tidak boleh berterusan memaksa diri untuk memuaskan hati orang lain. Apa yang termampu dilakukan adalah memberikan yang terbaik atas kapasiti kebolehannya.
GAYA seorang penghibur.

Bercerita mengenai kepulangannya ke pentas prestij Anugerah Juara Lagu Ke-23, 18 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ziana tidak menafikan akan harapan besar yang tergalas di pundaknya.

Mempertaruhkan Dingin yang mendapat sentuhan magis, Azlan Abu Hassan dan lirik nukilan, Azalea, Ziana berkata, dia akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik tanpa terlalu memikirkan soal kemenangan.

Pengiktirafan katanya, adalah bonus atas usaha kerasnya memenuhi tanggungjawab yang diberikan pencipta dan penulis lirik.

“Saya cuma mahu memberikan yang terbaik, memuaskan hati komposer dan penulis lirik yang memberi amanah kepada saya untuk mencantikkan lagu ciptaan mereka. Di samping itu, saya juga cuba memenuhi harapan peminat untuk melihat saya membawa lagu itu dengan berkesan.

“Itu lebih penting kerana apabila memberikan yang terbaik, khalayak akan mengiktiraf kemampuan saya dalam liga yang selesa. Namun itu bukan bermakna saya sudah boleh mendabik dada.

“Sampai sekarang saya masih meletak diri dalam proses pembelajaran, berusaha dan terus bekerja untuk memperbaiki kelemahan walaupun dulu saya pernah mengecapi segala nikmat sebagai anak seni.

“Saya pernah merasai detik di puncak tetapi sampai bila saya mahu mengejar populariti? Saya kini cuma menyambung perjuangan, meneruskan apa yang saya usahakan dulu tanpa terlalu memikirkan untuk kembali berada di puncak,” kata Ziana, akur hakikat roda kehidupan yang ligat berputar.

Ibu kepada dua cahaya mata lelaki, Muhammad Aiman, 8, dan Muhammad Ammar, 5, ini realistik dengan putaran kehidupan yang dilaluinya. Atas alasan itu, Ziana menerima hakikat akan kesukaran untuk memuaskan hati semua pihak.

Katanya, sebagai manusia yang memiliki pelbagai kekurangan dia juga tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan. Namun, ulangi Ziana, dia hanya mampu berusaha memberikan yang terbaik berdasarkan kemampuannya.

“Dulu setiap kali berbuat silap dalam persembahan, saya selalu memikirkan apa yang orang akan cakap. Semua itu memberi tekanan. Lama kelamaan saya mula terfikir sampai bila harus begitu.

“Saya kena terima hakikat saya juga ada kekurangan. Apa yang termampu, saya cuba berusaha memberikan yang terbaik dan meneruskan apa yang diperjuangkan. Hanya dari situ, kegembiraan akan datang dalam diri,” kata penyanyi ini lagi.

Kali terakhir menyertai AJL, enam tahun lalu menerusi lagu Menadah Gerimis, Ziana berkata, dia bersyukur kerana rezeki untuknya beraksi dalam pentas berprestij itu masih terbuka.

Biarpun pengumuman penyertaan Dingin hanya diumumkan pada saat akhir ketika persaingan Separuh Akhir Muzik Muzik kategori Pop Rock, Ziana tidak menolak rezeki yang tertulis itu.

“Antara percaya dan tidak, saya melihat penyertaan Dingin adalah rezeki buat Azlan dan Azalea yang menghasilkan ciptaan yang indah buat saya. Saya juga ingin sekali berterima kasih kepada peminat yang banyak memberikan kata semangat dan dorongan ketika pertandingan berlangsung.

“Mereka semua menjadi sumber kekuatan untuk saya terus melayari kehidupan sebagai anak seni,” katanya.

Bangga dengan ciptaan anak muda

SEPANJANG 17 tahun bergelar penyanyi, menempuhi pelbagai evolusi dalam industri muzik, Ziana menyatakan kekagumannya kepada kreativiti komposer muda tempatan yang disifatkannya tampil dengan variasi idea segar.

Jelas katanya, mutu ciptaan komposer tempatan semakin berkembang malah kemajuan teknologi turut membantu mereka untuk bersaing di liga yang lebih besar.

“Berada di studio rakaman dan melihat sendiri segala kemudahan yang ada membuat saya merenung kembali perjalanan ketika mula bertapak sebagai penyanyi.

“Dulu untuk menyiapkan rakaman satu lagu cukup mencabar. Selagi tidak mampu memberikan yang tepat, selagi itu kami harus mencuba membuatkan saya terasa betapa mudahnya laluan penyanyi sekarang,” katanya, kagum melihat evolusi muzik yang dipertandingkan dalam AJL23.

Menyentuh mengenai Dingin, Ziana berterima kasih kepada Azlan kerana sentuhan emasnya yang memberi keajaiban kepada lagu itu.

Permintaannya supaya komposer itu menggabungkan identiti nyanyiannya yang tersendiri namun pada masa sama menyuntik sesuatu yang segar menghasilkan keajaiban yang membuatkan Ziana cukup berpuas hati membawakan Dingin.

Malah, pertama kali mendengar lagu itu Ziana sudah tertarik dan kerana itu dia berbangga biarpun terpaksa menanti lama sebelum Dingin disiapkan.

“Penyampaian lagu ini memberikan cabaran terutama pada nada rendah kerana tidak pernah merakamkan lagu seperti itu sebelum ini. Setiap kali membawa Dingin, saya diburu kebimbangan jika tidak disokong sistem bunyi yang baik.

“Pernafasan juga perlu dijaga, selain monitor yang jelas kerana jika tidak saya akan mengalami masalah untuk membawakan lagu itu dengan baik.

“Walaupun sudah lama dalam industri, saya tidak pernah mendabik dada dan menganggap diri ini terbaik. Dingin banyak mengajar saya pelbagai perkara baru dalam nyanyian,” katanya.

INFO: Ziana Zain

# Nama Penuh: Siti Roziana Zain

# Tarikh Lahir: 2 Mei 1968

# Umur: 40 tahun

# Asal: Kampung Simpang Merpati, Melaka

# Album: Madah Berhelah (1991), Ziana Zain (1993), Setiaku Di Sini (1995), Puncak Kasih (1997), Ziana Zain (1998), Aku Cintakan Mu (2000) dan No. 1s Live (2003)

# Album Kompilasi: Ziana Zain Unplugged (1996) dan The Best of Ziana Zain (1998)

# Filem: Sembilu (1994), Sembilu 2 (1996), Maria Mariana (1997), Merah (1999), Maria Mariana 2 (1998), Sembilu 2005 (2005), Pontianak Menjerit (2005) dan Qabil Kushry Qabil Igam (2007)

# Duta Produk: Omega, Slim World, Nutrimetics dan Vono.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply