WALAUPUN dilanda pelbagai kontroversi yang boleh meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga mereka, tautan cinta antara Datuk Siti Nurhaliza (Siti), 30, dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) ini, 47, sedikit pun tidak goyah.
Majlis sambutan ulang tahun Siti ke-30 yang diadakan di kediaman mewah mereka di Bukit Antarabangsa, Sabtu lalu, cukup membuktikan betapa kasihnya Datuk K terhadap penyanyi nombor satu negara itu.
Rasa terharu jelas sekali terpancar di raut wajah si jelita yang baru saja melancarkan album tradisional, Lantera Timur, apabila dia memaklumkan kepada media majlis itu adalah anjuran suami tercinta.
“Terima kasih kepada suami serta keluarganya kerana menganjurkan majlis ini. Mulanya, saya fikirkan majlis kecil saja tapi tidak sangkalah pula siap berbelon,” katanya.
Ucapan terima kasih juga ditujukan buat kedua-dua kakak iparnya, Kak Tun (Zaiton Mohd Jiwa) dan Rozie (Rozie Abdul Razak) yang menguruskan majlis itu.
Sambung bicara wanita yang dilahirkan pada 11 Januari 1979 ini, dia berasa amat bertuah mempunyai suami penyayang, melayani dan menghargainya sebagai seorang wanita. Meskipun rumah tangganya sering ditabur fitnah gara-gara orang yang cemburu atau tidak senang melihat kebahagiaan mereka.
“Saya bertuah mempunyai suami penyayang dan melayani saya dengan baik. Biarlah, orang lain tidak tahu kebaikan Datuk K, saya sebagai isteri amat bahagia dengannya.
“Dia suami romantis dan selalu buat saya rasa tersentuh meskipun pada perkara kecil yang mungkin bagi sesetengah lelaki tidak penting,” katanya.
Sama seperti pasangan lain, Siti dan suaminya turut mempunyai cara memupuk kasih sayang setiap hari. Jelas Datuk K, setiap kali bangun tidur dia akan mengucup pipi Siti dan perkara sama turut dilakukan Siti.
“Tidak kisah siapa yang dulu memulakan namun, itu adalah cara kami memupuk kasih sayang supaya sentiasa subur. Selain selalu mengungkapkan ‘I love you’ untuk mengingatkan diri masing-masing tidak kira ketika berbual di telefon mahupun SMS.
“Bagi saya, ucapan cinta perlu diungkap setiap hari dan diamalkan dalam rumah tangga bukan ketika zaman bercinta saja,” katanya.
Beralih pada peningkatan usia, jika kebanyakan wanita bimbang meninggalkan usia 20-an namun tidak bagi Siti yang begitu teruja menyambut ulang tahun ke-30.
“Sesetengah orang takut pada angka, tetapi entahlah saya rasa tidak sabar untuk menyambut ulang kali ini. Angka itu bagai membawa saya melangkah ke satu lagi frasa kehidupan yang lebih matang. Sekarang saya melihat diri sebagai wanita yang sebenar.
“Pastinya seiring kematangan usia saya mahu lebih berjaya dalam hidup, menjadi seorang ibu bukan saja kepada anak Datuk K menerusi perkahwinannya sebelum ini tetapi juga mempunyai anak sendiri. Selain mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya bukan saja dalam bidang muzik tetapi juga dalam bidang lain.
“Dari sudut insani saya mahu mempertingkatkan keimanan, ketakwaan, menjadi isteri, ibu dan anak yang baik serta artis yang dihormati masyarakat,” katanya.
Jika tahun lalu, Siti dikatakan menerima hadiah sebuah kereta sport ‘Mercedes Benz’ daripada suaminya, tahun ini hadiah istimewa diterima wanita berbintang Capricon ini adalah seutas jam tangan berjenama.
“Datuk K ada bertanya apa hadiah saya inginkan sempena ulang tahun ke-30 tempoh hari, adakah saya mahukan jam tangan atau barang kemas. Ikhlas dari hati saya katakan kepadanya saya tidak mahukan apa-apa.
“Cuma yang saya harapkan, sebagaimana dia menjaga dan menyayangi saya sekarang ini begitulah juga, dia akan melayan saya untuk hari seterusnya dan sampai bila-bila,” katanya.
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin dan isteri, serta Ketua Perniagaan Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Selain itu Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan isteri Noorzita Abdul Samad; Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.
Malam bertemakan putih dan merah jambu itu turut diserikan dengan acara nyanyian daripada Siti sendiri, adiknya Siti Sairah manakala penyanyi kelahiran Singapura Imran Ajmain menyampaikan dua lagu antaranya satunya Seribu Tahun, pelakon jelita Diana Danielle serta pasangan suami isteri Syed Sobri dan Azie. Siti memotong kek kira-kira jam 11 malam.
Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Sharudin Mustafa dan wartawan hiburan Berita Harian, Farihad Shalla turut mendedikasikan lagu khas buat Siti.
Sementara itu, Datin Seri Tiara Jacquelina antara kenalan rapat yang mengambil kesempatan mengucapkan selamat ulang tahun kepada Siti malam itu.
“Siti penghibur tersohor yang banyak mencipta kejayaan sama ada di negara ini mahupun peringkat antarabangsa. Setinggi manapun dia terbang, Siti ibarat resmi padi makin berisi makin menunduk dan itulah perkara yang paling saya kagumi mengenai Siti.
“Dia sangat merendah diri, tidak pernah lupa asal-usul, penuh kesederhanaan dan sentiasa tenang. Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari jadi Siti, semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” katanya.

