KEMENANGAN awal filem Slumdog Millionaire yang mengisahkan seorang budak diburu kerana memenangi wang tunai RM1 juta pada majlis anugerah Critic Choice Awards menjadi petanda awal kemungkinan ia mengungguli anugerah utama pada Majlis Anugerah Golden Globe berlangsung di Beverly Hilton, Beverly Hill, California pagi ini.
Khamis lalu, filem diarahkan Danny Boyle dan menampilkan lakonan hebat Dev Patel, Freida Pinto, Madhur Mittal, Anil Kapoor dan Irfan Khan memenangi Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Pelakon Terbaik dan Komposer Terbaik.
Bagaimanapun, saingan terdekat filem ini dilihat datang dari Revolutionary Road yang diangkat daripada novel karya Richard Yates, arahan Sam Mendes dan menampilkan lakonan mantap Leonardo DiCaprio bersama Kate Winslet.
Turut dicalonkan dalam kategori filem terbaik ini The Curious Benjamin Button, Frost/Nixon dan The Reader.
Sayangnya, lakonan mantap dipersembahkan Dev Patel dalam Slumdog tidak disenaraikan untuk memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik kategori drama.
Ini secara tidak langsung memberikan laluan mudah kepada Sean Pean yang memegang watak sebagai pejuang hak asasi gay dan senator di San Francisco untuk memenangi anugerah itu menerusi Milk.
Calon lain turut disenaraikan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Frank Langella (Frost/Nixon), Brad Pitt (The Curious Case Of Benjamin Button) dan Mickey Rouke (The Wrestler).
Menarik apabila teman wanita dan ibu kepada anak Brad Pitt, Angelina Jolie sekali lagi dicalonkan dalam Golden Globe menerusi filem The Changeling selepas pernah memenanginya menerusi Gia dan Girls Interrupted.
Begitupun kali ini laluan Angelina tidak mudah kerana rata-rata pengkritik berasakan Anne Hathaway lebih layak memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem (Drama) menerusi filem Rachel Getting Married dan Meryl Streep menerusi filem Doubt.
Turut disenaraikan dalam kategori ini, Kate Winslet (Revolutionary Road) dan Kristin Scott Thomas (I’ve Love You So Long).
Kategori Filem Terbaik Muzikal atau Komedi pastinya pilihan pengkritik lebih berat kepada Mamma Mia yang turut menampilkan lakonan mantap Meryl Streep yang turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Muzikal atau Komedi).
Filem lain turut dicalonkan Burn After Reading, Happy Go Lucky, In Bruges dan Vicky Cristina Barcelona.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Muzikal atau Komedi) semua pelakon yang dicalonkan iaitu Javier Bardem (Vicky Cristina Barcelona), Colin Farrell (In Bruges), James Franco (Pineapple Express), Brendan Gleeson (In Bruges) Dustin Hoffman (Last Chance Harvey) mempunyai kelebihan sama rata. Begitupun pencalonan dua watak In Bruges sudah tentu menjadi petanda awal.
Untuk Pelakon Wanita Terbaik Komedi atau Muzikal saingan terdekat Meryl Streep datang dari Emma Thompson yang memberikan persembahan mantap dalam Last Chance Harvey Best. Turut dicalonkan dalam kategori ini Rebecca Hall (Vicky Cristina Barcelona), Sally Hawkins (Happy Go Lucky) dan Frances McDormand (Burn After Reading).
Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik antara calon pilihan sudah tentu Heath Ledger menerusi The Dark Knight.
Ramai menjangkakan mereka yang disenaraikan dalam kategori ini tidak akan mampu menandingi persembahan diberikan mendiang Heath yang mati mengejut akibat pengambilan ubat berlebihan akhir tahun lalu.
Turut dicalonkan dalam kategori sama Ralph Fiennes menerusi filem The Duchess, Tom Cruise (Tropic Thunder), Robert Downey Jr. (Tropic Thunder) dan Philip Seymour Hoffman (Doubt).
Bagi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita pula antara calonnya Amy Adams (Doubt), Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Viola Davis (Doubt), Marisa Tomei (The Wrestler) dan Kate Winslet (The Reader).
