KEHADIRAN pelbagai model telefon bimbit pintar dengan ciri-ciri menarik dan sofistikated di pasaran tentunya membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk memilikinya.
Namun, pernahkah anda mengetahui di sebalik kecanggihan tersebut, terdapat sebuah perisian yang memainkan peranan penting dalam membantu pengguna menjalankan tugas harian, berkomunikasi dan juga berhibur dengan aplikasi yang ditawarkan.
Diperkenalkan oleh pengeluar perisian paling popular di dunia, Microsoft Corporation, Windows Mobile 6.1 merupakan perisian terbaik untuk memberi platform bertenaga dan luar biasa kepada pelbagai jenis telefon bimbit pintar.
Perisian edisi penambahbaikan dari versi sebelum ini iaitu Windows Mobile itu menampilkan pelbagai ciri baru seperti pengurusan dan navigasi yang semakin mudah, peningkatan dari segi sekuriti serta inovasi yang memberi manfaat dan pengalaman mobiliti terbaik kepada pengguna.
Menurut Pegawai Pemasaran Saluran Pengguna Microsoft, David Tse, pengenalan kepada perisian berkenaan adalah bertepatan dengan kehendak pengguna yang menginginkan pengalaman komunikasi mobiliti secara kompleks.
“Setiap orang tentunya mengimpikan sebuah telefon bimbit dengan fungsi yang fleksibel sebagai pelengkap kepada pelaksanaan aktiviti harian mereka.
“Jadi, kami di Microsoft memfokuskan kepada keperluan itu tidak kira untuk tujuan bekerja, bermain atau berhibur,” katanya pada taklimat media mengenai perisian tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, perisian berkenaan menyokong sehingga 140 model dari 50 jenama telefon bimbit yang terdapat di pasaran dengan lebih 18,000 aplikasi komersial.
Antara jenama tersebut adalah seperti HTC, Sony Ericsson, Palm, Samsung, Asus, Motorola, LG dan pelbagai lagi model pada alat pembantu digital peribadi (PDA).
Bagi menawarkan dimensi baru dalam paparan pelayaran internet mobiliti, perisian berkenaan telah meningkatkan keupayaannya dari segi paparan skrin penuh dan juga permainan multimedia di web.
Bukan setakat itu, malah ia juga menawarkan kelebihan paparan panel mudah kepada notifikasi seperti panggilan tidak berjawab, khidmat pesanan ringkas (SMS), temu janji, emel, mesej bersuara dan juga perkongsian muzik serta foto.
Menerusinya juga, aplikasi sambungan seperti Bluetooth, Wi-Fi dan e-mel dapat dilaksanakan dengan mudah dan pantas.
Faktor keselamatan turut dititikberatkan melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peranti Mobiliti Pusat 2008 yang menawarkan sekuriti terbaik terhadap kandungan, maklumat dan aktiviti perkongsian yang dilakukan.
Untuk pengguna baru, mereka akan dibantu oleh aplikasi Getting Started Center bagi melaksanakan aturan operasi asas dalam masa sepuluh hari pertama seperti masa, tarikh, e-mel, kata laluan sekuriti, nada dering dan juga pemindahan fail dari telefon bimbit ke komputer.
Peningkatan fungsi lain yang ditawarkan pula adalah seperti paparan dan pemilihan mesej, produktiviti salinan dan tampal, aplikasi pengurusan tugas, program multimedia, pelayaran internet, pengurusan memori serta bateri.
Kelebihan paling menarik perisian berkenaan adalah dari segi kebolehannya disesuaikan dengan pelbagai model telefon bimbit mengikut keperluan dan permintaan.
