“Payahlah sikit…tapi tak tahulah kita hanya merancang,” kata Nor Radhiah Ramli, 23, ketika ditanya sama ada dia bersedia menerima kembali pelakon, penerbit dan pengarah terkenal, Aziz M Osman, 47, sebagai suami selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, memutuskan bahawa perkahwinan pasangan itu tidak sah menurut hukum syarak.
Nor Radhiah yang dihubungi malam tadi, berkata Aziz belum tentu mahu melamarnya semula, tetapi menyerahkan segalanya kepada jodoh.
Dia bagaimanapun lega dengan keputusan mahkamah itu kerana semua kemelut sudah dapat dijelaskan.
“Kami ambil tindakan mahkamah untuk selesaikan kekusutan dan alhamdulillah semuanya berakhir. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutama mahkamah dan keluarga yang membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Aziz pula menganggap perkahwinan kini bukan lagi perkara utama dalam hidupnya.
“Soal saya (kembali pada Nor Radhiah), biar jodoh tentukan kerana pastinya saya akan dulukan anak, manakala yang lain terserah kepada keadaan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas prosiding itu.
Aziz sempat berseloroh dengan berkata dia dan Nor Radhiah akhirnya kembali ‘bujang’.
Seterusnya, dia bersyukur kerana segala kesangsian berhubung pernikahan mereka yang mencuri tumpuan ramai itu berakhir.
“Alhamdulillah, semua kesangsian sudah terjawab. Selama ini, ramai kata saya berdiam diri tapi sebenarnya saya bukan ahli (dalam hal terbabit) dan hakim sudah membuat keputusan.
“Saya bersyukur tapi bukan gembira kerana ia menyentuh perasaan ramai, banyak kerja tergendala dan keluarga terabai,” katanya.
Dia yang sempat bertemu Nor Radhiah di luar mahkamah, menegaskan secara peribadi, kes terbabit satu pengajaran baginya supaya jangan gopoh apabila membuat sesuatu.
Ketika itu, menurutnya, dia mungkin membuat keputusan drastik untuk bernikah kerana hendak membawa Nor Radhiah ke Bali tanpa memikirkan kesannya.
Sebelum memasuki kamar mahkamah, pasangan berkenaan dilihat sempat bertentangan mata dan bercakap kira-kira jam 9 pagi.
Aziz dilihat datang seorang diri ke mahkamah dengan memakai kemeja dan seluar biru manakala Nor Radhiah berpakaian baju kurung berbunga biru dan tudung sedondon ditemani kakak ipar, Marliana Ibrahim, 26, dan ibu mentua abangnya, Fatimah Jaafar, 58.
Duda anak enam itu diijabkabulkan dengan Nor Radhiah di Masjid Padang Nenas, Tepuh, Kuala Terengganu pada 16 Ogos tahun lalu dan dinikahkan bapa pengantin perempuan, Ramli Yusuf, 52, disaksikan jurunikah mukim Batu Rakit, Ismail Yusuf, 63, yang juga bapa saudara Nor Radhiah.
Sebaik penghakiman dibuat, Aziz kedengaran bertanya kepada Nor Radhiah, “Awak okey ker?” sambil dibalas guru agama itu, “Saya okey“.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Ismail Yahya memanggil Aziz dan Nor Radhiah bersama peguam masing-masing ke dalam kamar sebelum membaca keputusan di mahkamah.
Dalam keputusannya, Ismail membacakan satu persatu persoalan dibangkitkan dalam perkahwinan pasangan berkenaan sebelum memutuskan perkahwinan itu perlu difarakhkan.
“Selepas membuat penilaian mengikut fakta kes dikemukakan, saya berpuas hati bahawa sepanjang akad nikah Aziz dengan Nor Radhiah pada 14 Syaaban 1429 bersamaan 16 Ogos 2008, saya sabitkan ia tidak sah mengikut hukum syarak.
“Ini kerana jarak pernikahan pertama dan kedua Nor Radhiah hanya 20 hari sedangkan dia hanya boleh berkahwin selepas edah tiga kali suci daripada perkahwinan pertamanya yang terbatal seperti diputuskan Mahkamah Rendah Syariah di sini, 28 Julai 2008,” katanya membacakan penghakiman setebal 28 muka surat.
Ismail berkata, apabila syarat kepada rukun nikah tidak dipatuhi, bermakna rukun nikah dalam akad nikah dalam perkahwinan itu tidak sempurna.
“Saya berpuas hati dalam permohonan itu rukun nikah kedua ketika akad nikah perkahwinan Aziz dengan Nor Radhiah yang dilangsungkan pada 16 Ogos 2008 adalah tidak sempurna.
“Akibatnya, akad nikah perkahwinan berkenaan menjadi tidak sah mengikut hukum syarak,” katanya
Hakim turut menyatakan mahkamah mempertikaikan ikrar dibuat Nor Radhiah yang mengakui sebagai anak dara dalam borang permohonan untuk kebenaran berkahwin bagi perempuan dan tidak mengemukakan Perintah Mahkamah Rendah Syariah berhubung status pernikahan pertamanya.
Ketika Nor Radhiah memohon kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Daerah Kuala Terengganu untuk mendapat kebenaran berkahwin dengan Aziz, kata Ismail, mahkamah mendapati dia membuat ikrar yang dirinya seorang dara.
Sedangkan pada masa itu, dia diarahkan Mahkamah Rendah Syariah supaya menjalani edah tiga kali suci bermula 28 Julai 2008 kerana berlaku persetubuhan syubhat dengan bekas suami pertamanya, Engku Ahmad Hisham Engku Abdullah berikutan sabitan perkahwinan mereka didapati tidak sah.
“Soalnya kenapa Nor Radhiah tidak mengemukakan perintah Mahkamah Rendah Syariah ketika mengemukakan permohonan untuk berkahwin dengan Aziz? Sebaliknya membuat akuan bahawa dirinya seorang anak dara dan pada masa itu tidak menjadi isteri sesiapa dan tidak dalam edah sesiapa.
“Mungkin pemohon keliru dengan statusnya selepas perkahwinan pertamanya difarakhkan kerana tidak menepati rukun nikah,” katanya.
Ismail turut mengingatkan orang ramai bahawa jika mahkamah mengeluarkan perintah farakh, persetubuhan yang dilakukan dianggap persetubuhan syubhah dan bukan zina.
Dengan keputusan itu, hakim mengarahkan pasangan itu dipisahkan dari tarikh mahkamah membuat sabitan akad nikah itu tidak sah iaitu semalam.
Nor Radhiah juga diarahkan supaya menjalani tempoh edah tiga kali suci mulai semalam bagi perkahwinannya yang tidak sah dengan Aziz.
