Best of The Best

SERAMAI lebih 15 selebriti dan warga media menyahut cabaran menyertai aktiviti lasak, Green Rough Road Rally (GRRR) 2009. Program anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Perlis (MTPN Perlis) dan ANCM Creative Sdn Bhd buat julung kali memilih Perlis sebagai destinasinya.

Ikut perancangan program rekreasi sempena mempromosikan destinasi menarik di sekitar Utara Semenanjung itu membabitkan empat kategori seperti perlumbaan kenderaan meliputi pacuan empat roda (4X4), all-terrain vehicle (ATV), scrambler dan juga basikal.

Bagaimanapun, penganjur terpaksa menangguhkan tiga kategori iaitu ATV, scrambler dan basikal ke tahun depan untuk memberi laluan penganjuran 4X4 yang mendapat sambutan hangat.

GRRR dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan membabitkan penyertaan gabungan peserta wakil media serta selebriti. Antara selebriti yang terbabit ialah penyanyi, Naufara Yasin, Saiful (Malaysia Idol), Juril (Duta), Hairie dan Riot (KOOL), Achong (Sweet Child), Yasin (Senario), pelakon siri Dunia Baru, Zazleen selain penyampai radio KLFM, Pool.

Riot atau nama sebenarnya Shaiful Azri Mohd Ariffin menyifatkan dia melalui pengalaman menarik dan menyeronokkan sepanjang dua hari menyertai program itu. Walaupun penat dia tetap gembira apabila menjadi sebahagian peserta yang menyertai aktiviti berkenaan.

Dia yang digandingkan bersama jurupandu, Dik Din dan Naufara mengakui berdepan cabaran sengit ketika diberikan ujian seperti halangan yang ditempuhi kenderaan 4X4, meredah ladang tebu, persembahan dan pertandingan menghias kenderaan.

“Setiap kenderaan pacuan empat roda (4X4) membabitkan satu kumpulan yang dianggotai tiga peserta. Selain menempuhi pelbagai halangan menaiki kenderaan, peserta diuji pelbagai tugasan berat.

“Peserta perlu melaksanakan tugasan yang diberi seperti membina laluan jambatan, membuka tayar kenderaan ala perlumbaan rally.

“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti membabitkan 4X4. Memang mencabar tetapi seronok. Di samping melatih melakukan kerja secara berkumpulan ia juga menuntut kesabaran peserta dalam mengharungi tugasan yang diberikan,” katanya.

Program berkenaan turut berlangsung di sekitar Perlis seperti Kuala Perlis, Sungai Batu Pahat, Guai Jentik, ladang tebu Chuping dan Padang Besar.

Kata Riot, program berkenaan bukan hanya dapat mengeratkan hubungan ukhuwah sesama insan sebaliknya menguji semangat juang peserta.

“Menerusi penganjur program ini, selebriti dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama artis sama ada yang senior mahupun pendatang baru datang dunia seni tanah air.

“Saya dan Hairie sememang meminati aktiviti lasak seperti ini. Program ini sememangnya mencabar. Setidak-tidaknya menerusi penyertaan ini sekurang-kurangnya dapat merehatkan minda dan tekanan kerja.

“Program ini ternyata melatih peserta melaksanakan kerja secara bersama dan membina jati diri untuk menyahut cabaran yang diberikan,” katanya yang pernah menyertai aktiviti lasak seperti Best of The Best di Sungai Sedin dan Eco Challenge Gunung Jerai, Kedah tahun lalu.

Rakan sepasukannya, Naufara turut bersetuju dan menyambut baik usaha pihak penganjur untuk melaksanakan program berkenaan secara tahunan. Malah mengakui menimba pengalaman menarik ketika menyertai program itu.

“Memang seronok dapat berkumpulan bersama rakan artis yang jarang bertemu. Selain itu dapat berkenalan dengan ramai orang. Penyertaan menerusi aktiviti seperti ini turut memberi pengalaman baru bagi saya. Selain melaksanakan tugas secara berkumpulan ia juga benar-benar menguji kesabaran peserta,” katanya.

Sementara itu vokalis kumpulan Duta, Juril yang meminati aktiviti lasak sejak sekolah juga berpendapat melalui aktiviti itu, selebriti terutama mereka yang baru hendak mencipta nama dalam bidang seni akan lebih dekat dengan masyarakat.

“Menariknya di samping aktiviti lasak ia turut menggalakkan peserta memulihara alam sekitar. Saya mengambil kesempatan menyertai aktiviti ini untuk bercuti di samping berkenalan dengan lebih banyak individu daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Kemuncak acara menyaksikan persembahan khas peserta seperti acara hiasan perkahwinan, persembahan nyanyian dan sketsa.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply