Disiplin

CIK Normah sedih melihat keadaan seorang penyanyi ini selepas tidak lagi bersama ahli kumpulannya. Mana tidaknya, dulu ketika hebat di pentas menyanyi, ramai yang memuja suaranya lunak seperti buluh perindu. Dia juga dilihat tidak kekok apabila berhadapan dengan kamera dalam beberapa filem yang dilakonkannya.

Maklumlah, penyanyi muda ini bukan saja dikenali sebagai penyanyi tetapi juga pelakon untuk beberapa filem. Walaupun hanya muncul dalam beberapa babak, tetapi lakonannya tetap meninggalkan ingatan kepada penonton.

Namun itu semuanya dulu. Sekarang cerita mengenai kehebatannya sudah tidak kedengaran. Kawan-kawannya mengambil keputusan untuk menggugurkan namanya daripada kumpulan yang kini sudah mendapat pengganti.

Dengar kata masalah disiplin sudah menjadi makanan penyanyi ini. Itu yang menyebabkan anggota kumpulannya juga sudah muak untuk menelan masalah yang sudah memakan masa bertahun-tahun lamanya, namun tidak nampak perubahan.

Berbalik kepada kesedihan yang Cik Normah nak ceritakan itu, suatu malam ketika Cik Normah mahu pulang dari pejabat, tiba-tiba perut ini terasa lapar sangat, lalu Cik Normah pun singgah di sebuah gerai nasi lemak. Terlihat kelibat penyanyi ini yang sedang beratur untuk membeli nasi lemak bungkus sama seperti yang dipesan oleh Cik Normah.

Kebetulan di sisinya ada seorang remaja lelaki yang juga sedang beratur di depan penyanyi ini. Lalu terdengar perbualan singkat seolah-olah sedang berkenalan. Mereka pun bertukar-tukar nombor telefon. Apa yang peliknya remaja ini tidak mengenali langsung penyanyi ini disebabkan penampilan penyanyi ini nampak kusut masai dan berserabut. Lalu remaja ini bertanyakan nama penyanyi ini untuk disimpan di dalam telefonnya. Akhirnya remaja ini terus berlalu tanpa persoalan lanjut.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply