Drama Idaman

BERKESANNYA lakonan Rozie Othman sebagai ibu tiri yang garang dan kejam bernama Latifah dalam drama bersiri Natasha 1 dan 2, membuatkan penonton menyampah sehingga dia pernah dicubit dan dipukul. Kejadian itu membuatkan Rozie takut hendak keluar rumah.

Katanya, apabila jumpa masyarakat di luar, mereka cubit lengannya sampai lebam kerana marah dengan watak Latifah. Sambil menahan sakit, Rozie hanya mampu tersenyum dan beritahu mereka dia cuma berlakon dan di luar lokasi bukan macam itu.

“Dalam hati geram juga kerana sakit dan saya kata pada anak saya Sofea, ‘nasib baik mama pelakon, kalau tak aku balas balik’. Nanti kalau saya ambil serius perkara macam itu, kecoh pula jadinya. Lagipun itu menunjukkan lakonan saya berjaya memberi impak kepada penonton.

“Begitu juga lakonan saya sebagai Datin Rocky dalam drama Idaman. Penonton benci betul dengan karektor itu kerana terlalu jahat dan busuk hati,” katanya ketika ditemui, di majlis kesyukuran sempena kejayaan drama Mentua vs Menantu mencatat jumlah penonton yang tinggi.

Rozie yang turut berlakon sebagai ibu mentua yang tidak sukakan menantunya, Nurul Ain (Erra Fazira) dalam Mentua vs Menantu, berkata watak sebagai Latifah dan Datin Rocky lebih garang dan dibenci.

“Dalam Mentua vs Menantu saya masih diberi watak wanita sombong, mementingkan diri sendiri dan tak sukakan menantu pilihan anaknya, Rosyam (Aqasha) tetapi watak Datin Faridah dalam cerita itu agak lembut sedikit kerana drama itu ada unsur komedi.

“Sekarang saya banyak terima tawaran watak seperti itu. Susah juga hendak mencorakkan watak tersebut supaya tidak kelihatan sama. Kini setiap kali ada tawaran berlakon, saya tanya dulu watak apa. Tapi saya masih diberi watak sama tetapi hendak menolak, semua tawaran itu tidak boleh.

“Apa yang boleh saya buat, pilih mana yang ada kelainan dari segi perwatakan. Apabila dapat tawaran watak Datin Faridah, saya berfikir hendak tampilkan imej dan watak yang macam mana.

“Datin Faridah tidaklah sekejam Latifah atau Datin Rocky tapi berhadapan Nurul Ain menantu yang suka melawan dalam diam,” katanya.

Dalam Mentua vs Menantu juga, wajah Rozie nampak sembab dan tubuhnya agak berisi sehingga dia dikatakan menyuntik botox.

“Cuba tengok muka ini dah berkedut, mana ada ambil botox. Penggambaran drama Mentua vs Menantu tidak berhenti selepas siap satu episod, terus ditayangkan di Astro Prima menyebabkan saya kepenatan, lalu saya ambil vitamin yang ada campuran yis. Sudahnya, muka jadi kembang dan selera makan bertambah.

“Erra pun hairan kenapa muka saya sembab. Kalau benar saya suntik botox, mana boleh terus pergi penggambaran kerana kesan suntikan itu akan membengkak dan saya kena berkurung beberapa hari sehingga bengkak itu hilang.

“Jadi saya berhenti ambil vitamin itu dan muka saya kembali seperti biasa. Badan pun dah susut sedikit,” katanya.

Rozie yang sudah 26 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan rindu untuk membawa watak orang kampung. Jelasnya, waktu mula berlakon dulu banyak tawaran seperti itu sekarang pengarah suka memberinya watak wanita korporat.

“Saya teringin hendak jadi orang kampung semula yang ringkas dari penampilan dan solekan. Dan biarlah watak wanita kampung yang baik. Pun begitu kepada yang mahu melihat saya bawa watak baik, saksikan kemunculan saya dalam drama Cinta Untuk Ain lakonan bersama Nabila Shuhaimi dan Que Haidar,” katanya.

Di luar lokasi, ibu tunggal dua cahaya mata itu mudah didekati, mesra dan merendah diri. Katanya, dia selesa menjalani kehidupan seperti orang biasa.

This entry was posted in Artis, TV. Bookmark the permalink.

Leave a Reply