BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tanggungjawab sepatutnya digalas insan bergelar suami dan bapa, tetapi kini terpaksa dilakukan datuk yang sudah lanjut usia.
Namun, kerana kasihkan anak dan kasihankan cucu, Wan Mohd Husain, 72, rela berulang-alik dari rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur untuk mengambil cucunya yang bersekolah di Damansara ketika Wan Nor Azlin, 41 menjalani penggambaran drama. Apalah dayanya kerana tiada lelaki bergelar suami tempat anak perempuannya bergantung.
Akui Wan Nor Azlin, dia kasihankan ayahnya kerana bukan tugasnya lagi menjaga cucu. Sepatutnya lelaki tua itu berehat tambahan pula ibunya baru meninggal dunia setahun lalu.
“Saya tahu ayah masih bersedih dengan pemergian emak. Hari ini (kelmarin) genap setahun emak menyahut panggilan Ilahi.
“Apatah lagi usianya sudah lanjut dan kesihatan pun sering terganggu, tetapi hendak buat macam mana kerana tiada siapa lagi yang boleh saya harapkan. Jika tiada penggambaran, saya uruskan anak termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.
“Jika ada penggambaran drama pada musim cuti sekolah, saya hantar mereka tinggal bersama datuknya di Keramat. Tak perlulah ayah berulang ke rumah saya kerana agak jauh juga. Jika saya terpaksa keluar bekerja waktu anak bersekolah, terpaksalah ayah uruskan persekolahan mereka.
“Dengan keadaan sekarang, saya tak mampu mengambil pembantu rumah. Saya berusaha memahamkan anak keadaan sekarang tak sama seperti dulu lagi. Saya tidak mampu memberi kemewahan kepada mereka. Mereka merengek juga minta itu dan ini. Dalam soal makan minum, saya tidak berkira kerana itu rezeki mereka.
“Apabila dapat bayaran berlakon saya penuhi keinginan mereka hendak makan apa saja tetapi kalau ada yang minta permainan terpaksa saya tolak. Kedudukan kewangan sempit sekarang, mana hendak bayar ansuran kereta, bil air, elektrik dan segalanya.
“Tak ada kereta susah hendak bergerak dan kalau anak sakit demam tengah malam siapa hendak tolong hantarkan ke klinik,” katanya ketika ditemui selepas muncul dalam program bual bicara Ally di studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam.
Meskipun hati Wan Nor Azlin kecewa dengan tindakan suami, Mohd Yazli Yaacob, 39, tetapi kerana anak dia mahu Yazli balik menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua rumah tangga.
Dia kesal dengan sikap Yazli yang mengabaikan peranannya sebagai bapa kepada tiga cahaya mata mereka, Daniel Luqman, 8, Danny Iskandar, 7, dan Dania Camelia, 5, yang sangat memerlukannya.
“Anak adalah tanggungjawab dia, apa jua alasan dia mesti balik ke rumah. Sama ada dia bekerja atau tidak, itu belakang kira. Saya mahu dia balik dan berbincang untuk mengatasi masalah yang ada. Anak semakin membesar, perbelanjaan kian bertambah. Saya tak malu mengaku susah sangat sekarang.
“Bulan lepas sepatutnya ada tawaran berlakon tetapi tak tahu kenapa tiba-tiba tak jadi. Bulan ini adalah juga. Selama sembilan tahun berkahwin saya tidak bekerja. Sekarang apabila dah berlakon semula, anak mengadu saya jarang berada di rumah. Mereka juga diajar berdikari seperti membasuh pinggan sendiri.
“Daniel dan Danny boleh faham keadaan kami kerana sudah tiga kali Yazli meninggalkan rumah. Namun, kasihan Dania yang selalu bertanyakan bapanya. Ini mungkin apabila dia tengok sepupunya datang ke rumah mereka ada ayah ibu tetapi dia tiada (bapa). “Dia rindukan belaian bapanya. Mujurlah abang dan adik saya sangat menyayangi mereka serta sering bertandang ke rumah. Tak adalah sunyi sangat. Usahkan suami hendak mengambil tahu hal anak, keluarga mentua pun tidak pernah bertanya khabar.
“Cuti semester sekolah lalu, saya bawa Daniel dan Danny berkhatan. Seboleh mungkin saya mahu mereka membesar seperti kanak-kanak lain. Sebenarnya saya malu apabila orang baca cerita saya dalam akhbar tetapi apa pilihan yang ada?
“Mewakili ibu tunggal dan wanita senasib dengan saya, kita jangan mengalah dan putus asa. Kita patut pertahankan hak sebagai isteri,” katanya.
Di samping berlakon, Wan Nor Azlin menyertai perniagaan produk kesihatan yang bernaung di bawah Stars2u. Artis lain turut sama berniaga, antaranya, Nash Lefthanded, Awie, Ramli Sarip, Fauziah Latiff, Jehan Miskin, Afdlin Shauki dan Sabri Yunus. Mereka yang ingin membeli produk itu boleh hubungi Wan Nor Azlin di talian 016-3643650.
“Jika ada yang ingin membantu, saya berminat untuk mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan sendiri. Saya perlu berusaha mencari rezeki untuk anak dan mengubah kehidupan menjadi lebih baik,” katanya yang pernah merangkul Aktres TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2001 kerana kecemerlangannya dalam Takbir Untuk Abdah.

