SEJAK dua bulan bergelar suami isteri, penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi dan Nora ‘Ashikin Rahmat atau Ekin, kini mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baru berumahtangga.
Bagaimanapun, Mawi menyedari ada tanggungjawab lebih berat menantinya sekaligus sebagai ketua keluarga. Akuinya, tidak mudah untuk melayari bahtera rumah tangga kerana banyak cabaran yang menanti. Apatah lagi bagi mereka bergelar artis.
“Kami mendapat banyak nasihat dan sokongan padu ahli keluarga mengenai kehidupan berumahtangga. Pada masa sama, kami mendapat tips dari rakan artis yang sudi berkongsi pengalaman dan pandangan mereka sekaligus menjadi panduan buat kami suami isteri untuk memastikan rumah tangga berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Apapun, saya akui kehidupan saya jauh lebih teratur berbanding ketika zaman bujang dulu. Saya juga beruntung kerana Ekin bijak menguruskan rumah tangga.
“Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana Ekin lebih suka menguruskan semuanya sendiri. Dari soal memasak, mengemas rumah sehinggalah membasuh baju semuanya diuruskan sendiri,” katanya ketika ditemui di majlis sdiang media konsert Malam Sinar Maulidurrasul, kelmarin.
Cerita Mawi, dia juga suka makan di rumah kerana ia `air tangan’ isteri. Malah ada cerita menarik mengenai Mawi yang tidak kira siang malah jam tiga pagi masih meminta Ekin masakkan cucur ikan bilis.
“Ekin memang pandai memasak dan tidak kekok di dapur. Antara masakan kesukaan saya yang selalu dia masak, asam pedas dan masak kicap. Setiap kali makan, saya makan banyak berbanding Ekin sikit saja.
“Tapi kalau apa yang dimasaknya tidak habis dimakan, Ekin jadi risau. Maklumlah kami hanya tinggal berdua, kalau makanan yang dimasak tidak habis, siapa pula yang nak makan?,” katanya.
Bagi Ekin, dia bersyukur kerana segala gosip liar dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya sejak berkawan dengan Mawi semakin reda sejak mereka berkahwin.
“Gosip terbaru yang dilontarkan kepada saya cuma pemecatan Pengurus Mawi, Wan yang dikatakan berpunca kerana saya ingin mengambil alih tugas menjadi pengurus Mawi.
“Gosip itu tidak berasas kerana saya hanya menemani Mawi dan dia masih ada pengurusnya sendiri. Kalau orang tanya jadual kerja Mawi, saya suruh mereka merujuk kepada pengurusannya.
“Selagi gosip itu tidak mengaibkan, saya buat `bodoh’ sajalah. Apa yang penting, kami bahagia dengan kehidupan sekarang,” katanya.
Kata Ekin lagi, buat masa ini dia memang ada kelapangan untuk menemani Wawi kerana projek butik Muslimah yang direncanakan belum beroperasi lagi.
“Bukan mudah untuk membuka butik kerana kami perlu mencari lokasi sesuai. Butik ini adalah usahasama saya dengan Aein dan seorang lagi adik.
“Apabila butik ini beroperasi nanti, masa saya lebih terisi dan mungkin saya tidak dapat selalu menemani suami seperti sekarang kerana tumpuan perlu diberikan pada butik kami.
“Daripada memerap di rumah tanpa berbuat apa-apa, lebih baik saya menemani suami ke mana majlis yang dihadirinya. Sejak berkahwin, kami juga belum pernah berjauhan dan sering kemana-mana berdua,” katanya.
Akui Ekin, dia tidak kekok menguruskan rumah tangga kerana sudah dididik ibunya sejak zaman anak dara lagi. Katanya, Mawi pula tidak cerewet soal makan. Antara makanan kegemarannya ialah asam pedas dan masak kicap ikan atau ayam.
“Saya tidak ada masalah untuk masak kerana kami hanya tinggal berdua saja. Mawi juga boleh memasak dan dia rajin membantu saya di dapur,” katanya.
Pada masa sama, Ekin dan Mawi berharap mendapat anak kembar. Walaupun sedar tanggungjawab lebih besar kalau mempunyai anak kembar, Ekin ingin merasai bagaimana susah ibunya menjaganya dan Aein ketika kecil dulu.
“Apapun, saya dan suami tidak kisah untuk mendapat berapa orang anak pun kerana ia terpulang pada rezeki daripada Allah,” katanya
