AF7 Kecoh tarian Menuju Puncak Hilang

JANGGAL apabila di konsert pertama Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), peserta terpilih tidak mempersembahkan tarian Menuju Puncak yang menjadi tradisi saban tahun.

Tarian itu diibaratkan tunjang kerana ia mengandungi falsafah rancangan berkenaan dan menjadi pengikat antara peserta dan penonton setia.

Apabila kali ini atas lesen transformasi, Menuju Puncak tidak dipersembahkan, sudah tentu ia memberi kesan kepada kehangatan konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Sewaktu sidang akhbar khas selepas konsert, Pengurus Saluran Astro, Khairul Mizan Shagul pada peringkat awal bertegas mengatakan bahawa Menuju Puncak ada dipersembahkan di pembukaan konsert.

Kenyataan itu seperti sengaja mahu menidakkan hakikat bahawa yang mengadakan persembahan bukan peserta sebaliknya penari jemputan dan mereka hanya keluar di akhir lagu, bergaya depan kamera dan menunjukkan angka tujuh. Itu saja.

Apabila didesak, akhirnya Khairul mengakui peserta tidak melakukan persembahan Menuju Puncak kerana mereka belum bersedia menyebabkan perancangan awal dibuat terpaksa ditarik balik.

Kenyataan diberikan membuatkan pihak media yang hadir hairan kerana setiap hari dalam rancangan Diari penonton menyaksikan peserta membuat latihan.

Di mana silapnya apabila peserta dikatakan belum bersedia? Adakah guru tari A Aris A Kadir gagal melaksanakan tugasnya?

Rancangan Akademi Fantasia sebelum ini tidak pernah meninggalkan Menuju Puncak walaupun selalunya penonton menyaksikan kebanyakan peserta menari ‘tunggang-langgang’ pada minggu pertama.

Namun itulah keindahannya kerana perubahan ditunjukkan kemudian membuatkan penonton jatuh cinta seperti apa yang berlaku kepada juara musim lalu, Zahid AF2 dan Mawi AF3.

Apabila perkara ini ditanya kepada pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina, jawapan berbeza pula diberikan.

Tema transformasi untuk AF7 digunakan sebagai lesen untuk membolehkan persembahan utama berkenaan ditiadakan pada minggu pertama musim ini.

“Banyak sebenarnya perubahan yang cuba kami lakukan. Kalau ia mendatangkan kebaikan, apa salahnya. Mengambil contoh sepanjang musim ini saya sudah mula melakukan beberapa transformasi kecil seperti membenarkan semua orang memakai kasut dalam akademi,” katanya.

Transformasi dan perubahan yang pastinya tidak membantu perkembangan bakat pelajar.

Apa kaitan memakai kasut dalam akademi dengan vokal dan persembahan nyanyian?

Adakah perubahan seperti itu lebih penting berbanding penonton menyaksikan kebolehan peserta menyanyi sambil menari dalam Menuju Puncak?

Peranan lagu dan persembahan Menuju Puncak daripada pelajar juga penting kerana ia menunjukkan kebolehan terutama dalam nyanyian harmoni, di samping gerak tari.

Apabila ia ditiadakan pada konsert pertama, apa lagi seri yang ada selain penonton bosan menyaksikan persembahan beberapa peserta yang rata-rata syok sendiri dengan lagu pilihan mereka.

Bukan itu saja, konsert AF7 minggu pertama boleh dianggap kurang menyerlah apabila sebahagian besar pelajar gagal memberikan persembahan yang mampu memberi impak, sekali gus membuatkan penonton terpaku.

Perkara itu turut diberi perhatian pengkritik tetap, komposer, Edri Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramli.

Walaupun kritikan diberi agak berlapik, ketiga-tiga mereka seakan faham akan keresahan penonton di stadium mahupun di rumah menyaksikan persembahan ‘lemah’ sebahagian besar peserta.

Khatijah menegur beberapa peserta yang dilihat mendendangkan lagu kurang sesuai dengan kemampuan suara.

Boleh dikatakan lagu dipilih dan didendangkan pada malam konsert pertama ibarat tidak mengukur baju di badan sendiri apabila ia terlalu berat berbanding vokal mahupun corak persembahan.

Malah, sebelum melakukan persembahan, ada antara mereka yakin berkata akan membuat penonton menangis, namun sebaik muncul di pentas, penonton ketawa melihat gaya persembahan mereka yang tidak ubah seperti badut. Cakap tidak serupa bikin.

Menerusi minggu pertama ini, hanya beberapa peserta dilihat berbakat besar dan begitu menonjol sewaktu mempersembahkan lagu mereka seperti peserta dari Kuching, Sarawak, Mohd HafizMohd Suip atau Hafiz yang menyanyikan Lagu Kita dengan begitu bersahaja.

Antara peserta lain yang berjaya menonjolkan kemampuan vokal dan persembahan menarik, Siti Aishah Bujang yang turut berasal dari Kuching, menyanyikan lagu Dan Sebenarnya ciptaan Yuna, Zizie Mohd Tahil (Molek nyanyian asal Elyana) dan Mohd Qhaud Abdul Rashid menyanyikan lagu ciptaan asal M Nasir, Phoenix Bangkit Dari Abu.

This entry was posted in Artis, TV. Bookmark the permalink.

Leave a Reply