Ramai yang mengenali penyanyi yang berbakat besar ini. Sebut sahaja nama Dia Fadila tentu ramai yang mula teringatkan wajah manis gadis ini dan terbayangkan lagu Andai dan Aku Masih Setia.
Tambahan pula lagu duetnya bersama dengan rockers terkenal, Hattan menerusi lagu Tangisan Marhaenis memang disukai ramai satu ketika dahulu.
Kunjungan Dia ke Studio Utusan baru-baru ini bukan sekadar mahu berkongsi cerita tentang kelahiran album kompilasi terbarunya, malah turut sama membawa khabar gembira bahawa dia sudah bersedia mahu mendirikan rumahtangga.
Kehadiran Dia yang ditemani ibu tersayang langsung tidak membataskan kata-kata. Dia dilihat lebih tenang menjawab segala soalan yang dilontarkan walaupun ada kalanya menyentuh soal peribadi.
Terlalu klise untuk berbicara mengenai album baru, lantas tumpuan terarah kepada kisah peribadinya. Selama ini Dia bukanlah artis yang sering dilanda kontroversi seperti rakan-rakan artis yang lain.
Bukan mudah untuk mengorek cerita peribadi daripada pensyarah muzik Akademi Seni dan Warisan (Aswara) ini. Mungkin sudah biasa berhadapan dengan media, Dia tidak kekok menjawab sebarang pertanyaan.
Akui Dia, dia sekarang sedang mengenali hati budi seseorang. Namun enggan mendedahkan siapakah gerangan yang bertakhta di hatinya buat masa ini.
“Memang Dia akui, Dia masih lagi dalam proses mengenali hati budi. Tapi yang pastinya dia bukan suami orang atau yang seangkatan dengannya.
“Kalau diikutkan perancangan, memang Dia dah bersedia untuk bergelar isteri buat masa ini. Tapi semuanya masih lagi dalam perancangan maknanya belum ada hitam putih. Jadi Dia sendiri tak berani nak buat sebarang kenyataan pada masa ini,” ujar anak sulung ini.
Katanya, dia mendambakan seorang lelaki yang benar-benar mampu menjaganya dan memahaminya bukan sebagai seorang penyanyi sahaja tetapi juga seorang pensyarah yang kadangkala kesuntukan waktu.
Ramai yang melihat Dia sebagai seorang artis yang mementingkan kedua-dua kerjayanya sekarang. Bagi Dia, dia mahukan seorang lelaki yang tidak memandang dirinya sebagai seorang artis sebaliknya mahu lelaki tersebut menerima dirinya seadanya.
“Macam teman istimewa Dia sekarang, dia mengenali mak dahulu barulah mengenali Dia. Dia nak lelaki tersebut benar-benar disukai oleh keluarga terlebih dahulu.
“Mungkin Dia dan mak sama cita rasa. Dia nak mak selesa dengan lelaki tersebut barulah boleh membuat perhubungan yang lebih serius selepas itu” kata Dia.
Bukan tak mahu popularKalau diikutkan perkembangan semasa, wajah manis Dia jarang sekali muncul di media massa. Adakah dia sudah tidak popular seperti dahulu atau memang mahu lari daripada gosip-gosip yang sering melanda artis tempatan.
Bagi Dia, bukan dia tidak mahu popular atau menghiasi dada-dada akhbar tetapi biarlah apa yang dipaparkan itu benar-benar membina kerjayanya.
“Pada Dia isu popular ataupun tidak bukanlah satu isu yang besar yang menuntut dirinya untuk terus mencari populariti sebaliknya mahu apa yang dipaparkan itu tidaklah sampai menjejaskan kerjaya Dia.
“Dia rasa bertuah sangat sebab sepanjang kerjaya seni Dia, belum ada lagi gosip yang teruk sehingga menjejaskan kerjaya seni atau gosip yang membuatkan keluarganya tertekan.
“Memang Dia akui populariti penting bagi menaikkan nama seseorang artis tapi biarlah Dia gunakan cara yang lebih positif dan agar memastikan kerjaya seni Dia diterima kerana bakan yang dimiliki dan bukannya kerana cerita panas tentang Dia,” ujarnya lagi.
Memang sukar untuk memenuhi hati semua pihak. Akui Dia, dia memang berharap agar peminat menghargai bakat yang ada pada dirinya dan bukannya kerana gosip yang melanda.
Semasa diawal kemunculannya dahulu, dia terpaksa membahagikan masa kerana melakukan dua tugasan pada satu masa, menjadi penyanyi dan pelajar universiti.
Kemudian apabila Dia habis sahaja belajar, dia menjawat jawatan pensyarah muzik di Aswara sebagai pensyarah muzik pula. Mungkin sebab itu Dia jarang ‘dihujani’ publisiti oleh pihak media.
Untuk album Terbaik Dariku, memang Dia berpuas hati walaupun ia hanya sebuah album kompilasi. Katanya walaupun hanya dua buah lagu baru sahaja yang dimuatkan, Dia tetap berharap agar album tersebut diterima oleh peminat.
“Kebanyakan orang hanya mengenali nama Dia Fadila menerusi tiga lagu popular itu. Kebanyakan peminat tidak mengetahui sangat mengenai album kedua kerana kekurangan publisiti.
“Sebab itu untuk album terbaru Dia sepakat dengan syarikat rakaman untuk membuat kompilasi memandangkan lagu-lagu daripada album sebelum ini tidak pernah didengar oleh peminat,” jelas gadis berusia 25 tahun ini.
