Gadis berusia 22 tahun

Seorang gadis hanya mampu berbaring dan langsung tidak mampu membuka mata dipercayai terlalu mabuk ketika ditahan sepasukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah kelab malam di daerah ini, malam kelmarin.

Dalam serbuan tiga jam bermula jam 1 pagi itu, seramai 25 pengunjung beragama Islam yang dikesan meminum minuman keras dan memakai pakaian menjolok mata diberi surat hadir ke pejabat Jais untuk diambil keterangan.

Gadis berusia 22 tahun itu juga terpaksa dikejutkan bagi diambil keterangan, tetapi masih gagal dibangunkan sekali pun pelbagai cara dilakukan termasuk merenjis air ke mukanya.

Dia dibawa pulang rakannya.

Operasi bersepadu yang turut disertai penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan polis itu turut dilempar gelas ketika menyerbu kelab itu dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan tindakan dilakukan itu.

Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata ketika serbuan, kelab malam berkenaan dipenuhi pengunjung.

“Ketika pemeriksaan pegawai Jais, terdapat pengunjung yang sengaja melemparkan gelas ke arah mereka dan nyaris mengenai kepala seorang daripada anggota terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan individu yang bertindak agresif terbabit gagal dikesan.

Sementara itu, Ketua Cawangan Siasatan Jenayah Syariah Selangor, Ahmad Tarnuzi, berkata sasaran ditujukan kepada pengunjung pusat hiburan berkenaan yang beragama Islam.

“Serbuan kali ini turut dibantu 10 anggota termasuk pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Subang Jaya malah kehadiran penguat kuasa jelas menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengunjung.

“Insiden gelas ‘terbang’ jelas menunjukkan rasa kurang senang mereka namun sedikitpun tidak menjejaskan tugas kami,” katanya.

Harian Metro difahamkan, kesalahan meminum minuman keras dan berpakaian menjolok mata jelas melanggar undang-undang majlis mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

“Hasil pemeriksaan, 25 pengunjung kelab malam yang beragama Islam dan meminum arak serta berpakaian menjolok mata diberikan notis menghadirkan diri ke pejabat Jais Rabu ini untuk proses kaunseling,” katanya.

This entry was posted in Forum. Bookmark the permalink.

Leave a Reply